Husam DIBEBASKAN Selepas DITAHAN REMAN oleh Polis
[HD] KOTA BHARU: Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa direman selama dua hari selepas ditahan di bawah Seksyen 4(1) Akta Hasutan di Kuala Lumpur petang semalam.
Majistret Nik Ambri Mohamad membuat keputusan itu pada permohonan reman dikemukakan polis di lokap Ibu pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Bharu hari ini.
Peguam Hisham Fauzi yang mewakili Husam berkata, pada awalnya pihak polis memohon tahanan reman sehingga empat hari.
“Namun kami pasukan peguam membantah dengan alasan Husam ditahan di bawah Seksyen 4 Akta Hasutan 1948, di mana akta itu mensyarat sama ada perkataan yang diucap termasuk dalam kategori menghasut atau tidak.
“Lagi pun polis sudah mendapat rakaman ucapan dan boleh buat keputusan sama ada menghasut atau tidak. Kalau menghasut polis boleh buat pertuduhan di mahkamah dan jika tidak hendaklah bebaskan segera,” katanya kepada pemberita di luar IPD.
Hisham bersama empat lagi peguam mengendalikan kes tersebut bagi pihak Husam yang juga Adun Salor.
Menurutnya tidak timbul keperluan polis menahan lebih lama Husam dan tidak memerlukan kehadirannya lebih lama di lokap IPD.
Malah keterangan saksi-saksi lain yang diperlukan boleh dilakukan tanpa perlu Husam berada di lokap.
“Tidak perlu menahan lebih lama. Mahkamah arah bebas esok sebelum jam 12 malam,” ujarnya.
Menurutnya juga permohonan reman dibuat polis kepada mahkamah negeri Kelantan bagi mengadakan mahkamah tertutup di IPD.
Sedangkan kata Hisham, Naib Presiden PAS itu bersedia untuk hadir ke mahkamah bagi permohonan reman tersebut.
“Sepatutnya didengarkan di mahkamah majistret. Kalau polis hendak sambung reman mereka kena buat permohonan lagi kepada mahkamah.
“Jadi siasatan perlu diselesaikan hari ini dan esok. Malam ini Husam akan bermalam di lokap,” katanya.
Hisham yang juga Pengerusi Lajnah Guaman dan Hak Asasi Manusia PAS Kelantan turut melahirkan rasa kesal terhadap polis Kelantan kerana tidak membenarkan Menteri Besar, Ustaz Datuk Ahmad Yakob datang melawat Husam di IPD.
Menurutnya, polis perlu sedar Husam merupakan Naib Presiden PAS dan seorang Yang Berhormat mewakili rakyat Kelantan dan bukannya rakyat biasa.
“Sepatutnya polis benarkan MB datang menziarahi Husam di lokap IPD. Kami peguam meluah rasa kesal kerna polis enggan membenarkan MB atau mana-mana Exco menziarahi Husam di lokap, tanpa sebarang alasan.
“Kami amat kesali. Sepatutnya tidak dilakukan polis. Ini menggambarkan mereka tidak menghormati kerajaan dan rakyat negeri Kelantan.
“Saya berharap polis segera mengubah keputusan itu dan membenarkan MB hadir menziarahi Husam. Negeri ini ada ketua dan sepatutnya MB dibenarkan menziarahi mana-mana Adun yang ditahan,” ujarnya.
Kata beliau polis bersikap tidak profesional dan memberi imej yang buruk dalam sebuah negara demokrasi.
Berkaitan:
Keluarga Tidak Dibenarkan Melawat Husam
Isteri dan keluarga terdekat beserta orang ramai menunggu ketibaan Husam di IPD Pengkalan Chepa, malam tadi. |
[HD]KOTA BHARU: Kawalan ketat di pekarangan Ibu Pejabat Polis (IPD) Kota Bharu, tempat Naib Presiden PAS, Datuk Husam Musa ditahan.
Orang ramai tidak dibenarkan berada di kawasan IPD kecuali wartawan dan peguam.
Ramai anggota polis berkawal termasuk pasukan Unit Simpanan Persekutuan (FRU).
Hanya dua peguam sahaja dibenarkan masuk ke kawasan IPD iaitu Abdul Rashid Yah bersama seorang peguam.
Selain itu kelihatan isteri Husam, Datin Rohana Ab Rahman kelihatan memasuki IPD.
Difaham Husam sampai dari Kuala Lumpur jam 1.30 am pagi tadi. Isteri beliau yang berada di IPD sehingga jam 10.50 pagi ini tidak dibenarkan bertemu, termasuk anggota keluarga terdekat.
Difahamkan juga sepatutnya pagi ini Husam dibawa ke mahkamah majistret untuk mendapat perintah tahanan reman namun majistret pula dibawa ke IPD.
Pagi tadi ramai datang ke mahkamah bagi mengikuti kes berkenaan namun pulang hampa.
Ketua Pemuda PAS Kelantan, Abdul Latiff Abdul Rahman menyifatkan apa yang berlaku terhadap Husam cukup luar biasa kerana keluarganya tadi tidak dibenarkan menemuinya.
Kemas Kini:
Husam Dibebaskan dengan Jaminan
[MK] Naib Presiden PAS Datuk Husam Musa hari ini dibebaskan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Bharu pada kira-kira jam 5 petang ini dengan jaminan RM3,000.
Menurut peguamnya, Hisham Fauzi, Husam dibebaskan dengan jaminan polis selama sebulan.
"(Dibebas dengan) jaminan polis untuk sebulan dan dengan surat penjamin dan RM3,000. Kalau nak dakwa pun mungkin dalam tempoh itu. Tapi tak tahu lagi (didakwa atau tidak).
"Sama ada siasatan disambung atau tak kita tak ada masalah dan kita boleh bawa Datuk Husam untuk beri keterangan lagi," katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Majistret Kota Bharu semalam membenarkan polis menahan Husam selama dua hari untuk melengkapkan siasatan.
Beliau dibawa ke Kota Bharu sebaik ditahan pada petang Sabtu lalu di Kampung Pandan, Ampang mengikut Akta Hasutan 1948.
Siasatan tersebut dijalankan ke atas kenyataannya yang dilaporkan mengajak orang ramai menyertai perhimpunan 'Black 505' di ibu negara.
Akhbar Harakahdaily antaranya melaporkan Husam sebagai berkata: "Andaikata kita terkorban, atau satu daripada kita terkorban, insya Allah ia adalah syahid fi sabillah."
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.