Insiden Pelajar Bukan Islam SK Pristana Makan di Bilik Mandi, Apa Respons Pemimpin Islam?
[TMI] Tokoh-tokoh Islam terkejut dengan langkah sebuah sekolah di Sungai Buloh yang mengarahkan murid bukan Islam untuk makan di bilik mandi bagi menjaga kesucian bulan Ramadan.
Mereka mengatakan ia bukan cara sesuai untuk mendidik murid bukan Islam dalam menghormati Ramadan.
“Sekalipun sekolah mahu mendidik murid menghormati umat Islam yang berpuasa, ia harus dilakukan dengan cara memberi nasihat, bukan tindakan sebegini.
“Kalau insiden ini benar-benar berlaku, ia bukanlah sesuatu yang wajar,” kata Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin ketika dihubungi The Malaysian Insider.
Timbalan Ketua Dewan Ulama PAS, Datuk Dr Mahfodz Mohamed juga bersetuju ia bukan cara untuk mendidik murid bukan Islam.
Katanya, sekolah seharusnya menyediakan tempat lebih baik bagi murid bukan Islam jika kantin sedang diubah suai.
“Sekolah seharusnya memilih tempat yang lebih baik seperti bilik darjah jika mahu mengasingkan pelajar Islam yang berpuasa dan bukan Islam.
“Walaupun orang Islam berpuasa di bulan Ramadan ini, tidak wajarlah kalau diasingkan bukan Islam di tempat seperti bilik air. Mereka pun hilang selera untuk makan,” katanya.
Sekolah SK Seri Pristana heboh di media selepas laporan keluar murid bukan Muslim diarah makan di bilik mandi semasa waktu rehat pada bulan Ramadan.
Gambar menunjukkan murid sedang makan di bilik mandi tersebar luas di Facebook.
Setakat ini, pentadbiran sekolah belum mengeluarkan kenyataan tetapi Kementerian Pendidikan semalam mengarahkan sekolah itu menghenti perbuatan murid bukan Islam makan di bilik mandi.
Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin juga mengarahkan Kementerian Pendidikan menjalankan siasatan berhubung dakwaan itu dan memberi amaran tindakan akan diambil jika benar.
Timbalan Menteri Pendidikan, P Kamalanathan mengatakan walaupun Ramadan merupakan bulan suci kepada umat Islam, tidak seharusnya menghalang bukan Muslim untuk makan di tempat awam.
Setakat ini, satu laporan polis dibuat terhadap sekolah itu, semalam.
Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan (NUTP) pula mengatakan: “Salah bagi sekolah untuk melakukan perkara ini di atas nama agama.”
Presiden NUTP, Hashim Adnan berkata mereka yang bertanggungjawab harus meminta maaf kepada murid dan ibu bapa mereka.
Bagaimanapun, beliau mengatakan guru besar mungkin tidak sedar perkara itu dan mungkin berlaku disebabkan oleh orang bawahannya.
“Sesiapa sahaja yang membuat keputusan itu, salah. Tidak boleh diterima untuk memaksa murid makan di bilik mandi.”
Presiden Majlis Permuafakatan Persatuan Ibu Bapa dan Guru-guru Nasional, Datuk Mohd Ali Hassan menyifatkan tindakan sekolah itu 'tidak berperikemanusiaan'.
Beliau menggesa Jabatan Pendidikan untuk menjalankan siasatan dan mengambil langkah sepatutnya agar insiden itu tidak merebak ke sekolah lain. – 24 Julai, 2013.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.