Ku Nan Mahu Bersihkan KL daripada Pengemis, Bekas Mufti Perlis Tuntut KL Bersihkan Pusat Hiburan
Sekadar hiasan. |
[The Malaysian Insider] Bekas Mufti Perlis Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin turut mencadangkan kerajaan membersihkan Kuala Lumpur daripada pusat hiburan selepas Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu negara.
Asri berkata, bagi menjaga imej negara Islam itu sendiri, ibu negara seharusnya aman dan selamat buat pengunjungnya.
"Kepada pihak yang ingin membersihkan bandaraya Kuala Lumpur daripada peminta dan pemberi sedekah atas alasan ingin elak Kuala Lumpur tercemar serta untuk menjaga nama baik ibu kota negara Islam ini, mohon saya mencadangkan atas hasrat baik pihak tuan agar pihak tuan membersihkan Kuala Lumpur daripada pusat hiburan dan segala aktiviti yang merosak dan meruntuhkan moral dan akhlak manusia," katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook Dr Maza.com.
Beliau berkata, kerajaan juga seharusnya menunjukkan dakwaan berpegang kepada Islam dengan menjadikan Kuala Lumpur sebagai bandar yang melambangkan kemakmuran dan kesantunan.
"Jadikanlah ia kota yang selamat dan berkat. Makmurkan ia dengan kesantunan dan kemakmuran yang mendamaikan jiwa setiap pengunjung.
"Jadikanlah ia kota yang setiap orang masuk ke dalamnya merasa aman untuk dirinya, keluarganya dan temannya.
"Buktikanlah dakwaan ini negara yang berpegang kepada Islam dan ibu kotanya juga tentu melambangkan kemakmuran, kedamaian, keluhuran budi dan kesantunan moral selaras dengan kehendak Islam yang membangunkan manusia dan kemanusiaan," katanya.
Tengku Adnan sebelum ini dikritik hebat kerana melarang kegiatan meminta sedekah dan memberi sedekah di ibu kota berkenaan.
Beliau turut memberi amaran kepada badan bukan kerajaan (NGO) yang berpusat di Kuala Lumpur diberi tempoh hingga Isnin depan untuk berpindah keluar dari pusat bandar sekiranya tidak mahu dikenakan tindakan saman DBKL.
Menteri Wilayah Persekutuan itu berkata, tindakan itu diambil sebagai langkah serius kerajaan membersihkan kegiatan golongan tidak berumah dan pengemis di ibu negara.
Beliau berkata, kewujudan NGO yang memberi makanan kepada golongan gelandangan menyebabkan imej Kuala Lumpur terjejas teruk terutama daripada aspek kebersihan.
"Mengenai golongan tidak berumah ini kita bukan tidak cuba carikan kerja untuk mereka. Bila kita beri mereka kerja mereka tidak mahu kerana adanya NGO yang memudahkan mereka mendapatkan makanan.
"Imej bandar raya terjejas teruk, bukan saja jalan kotor tetapi ada antara mereka penghidap HIV, penagih dadah," katanya.
Tengku Adnan berkata, meskipun tindakan tersebut kelihatan kejam namun ia terpaksa dilakukan untuk mendisplinkan masyarakat.
Katanya, NGO berkenaan juga perlu mencari lokasi lain luar dari pusat bandar sekiranya mahu memberikan makanan percuma.
Tengku Adnan berkata, DBKL juga menetapkan jarak 2km dari pusat bandar bagi NGO untuk memberikan makanan percuma.
"Kalau mereka hendak bagi makan jangan bagi makan dalam bandar paling kurang 2km dari pusat beli-belah Lot 10," katanya. – Mohd Farhan Darwis/ 4 Julai, 2014.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.