Ingat Kes Pembunuhan Chee Gaik Yap? Anak Datuk Diarah Bela Diri
[Utusan Malaysia] PUTRAJAYA 13 Okt. - Mahkamah Rayuan hari ini memerintahkan seorang ahli perniagaan membela diri terhadap tuduhan membunuh eksekutif pemasaran, Chee Gaik Yap yang mayatnya ditemui dalam keadaan separuh bogel di kawasan perumahan elit Kelab Cinta Sayang, Sungai Petani, Kedah, lapan tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Linton Albert yang bersidang bersama Datuk Wira Mohtarudin Baki dan Datuk Abdul Rahman Sebli membuat keputusan itu selepas membenarkan rayuan Timbalan Pendakwa Raya, Awang Armadajaya Awang Mahmud.
Kuorum itu sebulat suara berpuas hati, wujud kes prima facie terhadap Shahril Jaafar, 33, (responden) yang memerlukannya membela diri terhadap tuduhan membunuh.
Shahril yang merupakan anak seorang kenamaan bergelar Datuk didakwa membunuh Gaik Yap di kawasan kelab tersebut antara pukul 5.30 petang, 14 Januari 2006 dan pukul 3.05 pagi, keesokannya.
Sehubungan itu, panel tersebut mengetepikan keputusan Mahkamah Tinggi pada 25 Jun tahun lalu yang melepas dan membebaskan Shahril tanpa dipanggil membela diri terhadap tuduhan membunuh.
Panel itu menetapkan 19 Oktober ini bagi sebutan kes di Mahkamah Tinggi Alor Setar manakala responden yang dilarang jamin kini direman di Penjara Alor Setar sementara menunggu perbicaraan.
Dia didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Terdahulu, Awang Armadajaya berhujah supaya kes itu dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar responden dipanggil membela diri terhadap tuduhan yang sama.
Pendakwa raya menghujahkan, hakim bicara gagal menimbang secukupnya bukti keterangan yang paling penting berhubung ujian asid deoksiribonukleik (DNA) yang boleh dikaitkan dengan responden.
Hujah Awang Armadajaya, keterangan ahli kimia menunjukkan empat daripada lima profil ujian DNA melibatkan sampel darah dan air mani yang diambil daripada mangsa adalah sepadan dengan profil yang dimiliki oleh responden.
Sehubungan itu, beliau berhujah, dapatan fakta oleh hakim bicara yang mengatakan wujud penglibatan pihak ketiga dalam kejadian itu tidak wajar diterima kerana tidak selari dengan bukti keterangan yang dikemukakan.
Selain itu, pendakwa raya juga menghujahkan responden telah berlepas ke Australia tanpa memaklumkan kepada pihak polis sedangkan ketika itu kes berkenaan masih dalam siasatan.
Hujah beliau, tindakannya itu seolah-olah menunjukkan dia mempunyai rasa bersalah dan cuba melarikan diri meskipun kes tersebut dalam siasatan polis.
Dalam pada itu, peguam Shamsul Sulaiman yang mewakili responden berhujah, isu berhubung pemergian anak guamnya ke Australia tidak dibangkitkan dalam petisyen rayuan.
Mangsa yang merupakan bekas penuntut Universiti Utara Malaysia (UUM) dibunuh dengan kejam selepas dipercayai dirogol dan mayatnya ditemui pada awal pagi 15 Januari 2006 dalam keadaan separuh bogel di Jalan Kelab Cinta Sayang.
Pembunuhan kejam itu berlaku semasa Gaik Yap keluar berjoging bersama adik perempuannya berusia 24 tahun.
Selepas enam tahun, kes berkenaan kembali menjadi perhatian apabila akhbar pada Januari 2012 melaporkan seorang ahli perniagaan yang melarikan diri selama enam tahun ketika disiasat dalam kes rogol dan bunuh seorang gadis, akhirnya berjaya dikesan dan ditangkap polis. -Oleh NORLIZAH ABAS/14/10/14
Bapa mangsa dikatakan mahu membunuh diri selepas kecewa dengan keputusan mahkamah. |
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.