Peminat Muzik Keras Angkat Sumpah Presiden Indonesia Ke-7
Jokowi Angkat Sumpah Sebagai Presiden Ke-7 Indonesia
Presiden baru Indonesia Joko Widodo melambai selepas mengangkat sumpah di Dewan Perwakilan Rakyat di Jakarta hari ini. – Gambar Reuters, 20 Oktober, 2014.
[Bernama] Joko Widodo hari ini mengangkat sumpah sebagai presiden ketujuh Indonesia untuk memimpin negara berpenduduk 250 juta orang itu dalam istiadat di Majlis Permesyuaratan Rakyat (MPR), badan perundangan tertinggi negara itu.
Joko yang lebih popular dengan panggilan Jokowi dalam kalangan rakyat Indonesia mengambil alih kepimpinan daripada Susilo Bambang Yudhoyono (SBY) yang menjadi Presiden sejak tahun 2004.
Turut mengangkat sumpah di hadapan lebih 1,000 anggota MPR itu ialah Jusuf Kalla sebagai naib presiden.
Kedua-duanya mengangkat sumpah memegang jawatan itu untuk tempoh lima tahun pada istiadat itu yang mendapat liputan meluas oleh semua media tempatan dan asing sambil disaksikan oleh berjuta rakyat republik itu menerusi siaran langsung pelbagai stesen televisyen tempatan.
Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Najib Razak yang menerima undangan peribadi daripada Jokowi, 53, bagi menghadiri majlis bersejarah Indonesia itu, dengan diiringi isteri Datin Seri Rosmah Mansor menyertai kalangan 18 kenamaan asing dan sembilan ketua kerajaan pada istiadat itu.
Lewat petang ini, Najib juga diberi keistimewaan oleh republik itu apabila menerima undangan untuk membuat kunjungan hormat dan merakamkan ucapan tahniah bagi pihak rakyat dan kerajaan Malaysia kepada Jokowi, walaupun pemimpin itu mempunyai jadual padat termasuk untuk menemui penyokongnya dalam pelbagai majlis hari ini.
Antara ketua negara yang hadir bagi menyaksikan istiadat mengangkat sumpah itu ialah Sultan Brunei Sultan Hassanal Bolkiah, Perdana Menteri Singapura Lee Hsien Loong, Perdana Menteri Australia Tony Abbott dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat John Kerry.
Jokowi, bekas gabenor Jakarta dan gandingannya Jusuf memenangi Pilihan Raya Presiden apabila memperoleh 70,990,832 undi atau 53.15% daripada sejumlah 133,567,276 undi.
Calon lawannya Prabowo Subianto dan gandingannya Hatta Rajasa, yang turut hadir pada istiadat hari ini, memperoleh 62,576,444 atau 46.85%.
Sementara itu, di sebalik kawalan ketat dan sekatan jalan raya oleh pihak keselamatan Indonesia di perkarangan Dewan Perundangan itu serta laluan utama menuju ke kawasan itu, wakil media dan penyokong Jokowi sejak awal pagi lagi berkumpul bagi mengikuti perjalanan istiadat angkat sumpah itu.
Sepanjang istiadat itu, para penyokong Jokowi yang ditempatkan di kawasan khas sambil mengikuti majlis menerusi layar gergasi, tidak putus-putus memberikan tepukan dan sokongan sebaik sahaja wajah pemimpin mereka kelihatan.
Dalam ucapan pertamanya di MPR selepas mengangkat sumpah, Jokowi turut merakamkan ucapan terima kasih kepada kesemua pemimpin negara jiran dan asing yang hadir bagi memberikan sokongan masing-masing pada majlis itu.
Presiden ketujuh republik itu turut berjanji dan menyatakan ikrar untuk bersama-sama dengan masyarakat antarabangsa dalam setiap usaha bagi mengekalkan keamanan dan kedamaian dunia.
Jokowi juga merakamkan ucapan penghargaan kepada SBY yang disifatkannya menjalankan tugas presiden dengan baik sepanjang tempoh 10 tahun lepas.
Presiden baru itu juga beberapa kali menggulangi perkataan "Kerja, Kerja, Kerja" sepanjang ucapannya sebagai iltizam bahawa sepanjang tempoh kepimpinnnya, beliau akan bekerja keras untuk membawa Indonesia ke era yang lebih baik dan maju sambil berharap rakyat Indonesia terus memberikan sokongan padu. – Bernama, 20 Oktober, 2014.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.