Liwat II: Mantan Hakim Mahkamah Persekutuan Ketuai Pasukan Peguam Anwar
[Malaysia Kini] Empat tahun selepas perbicaraan Liwat II bermula, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang kini berusia 67 tahun akan tahu hari ini atau esok sama ada Mahkamah Persekutuan akan mengekalkan hukuman ke atasnya dan dipenjarakan.
Dalam tempoh dua hari ini, panel lima anggota hakim di mahkamah tertinggi di negara ini akan membuat keputusan mengenai rayuan ketua pembangkang itu dan juga rayuan balas pihak pendakwaan untuk menambah tempoh hukuman penjara ke atas Anwar.
Pasukan peguambela Anwar telah mengemukakan 35 alasan dalam
merayu keputusan Mahkamah Rayuan pada 7 Mac yang mendapati MP Permatang Pauh itu bersalah atas tuduhan liwat - sabitan kedua bagi tuduhan tersebut dalam tempoh 10 tahun.
Pihak pendakwaan pula telah mengemukakan empat alasan untuk menambah tempoh hukuman penjara itu, di mana ia merasakan tempoh lima tahun penjara yang dijatuhkan ke atas ketua umum PKR itu sebagai tidak cukup berbanding dengan hukuman maksimum 20 tahun penjara dan hukuman sebat yang diperuntukkan di bawah Kanun Keseksaan.
Sekiranya Anwar didapati bersalah, beliau secara automatik akan kehilangan kerusi Parlimen Permatang Pauh dan pilihan raya kecil dijangka diadakan.
Bekas pengerusi Majlis Peguam dan peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah akan sekali lagi mengetuai pasukan peguambela Anwar.
Sulaiman pada mulanya mewakili Anwar pada peringkat awal kes itu apabila beliau pertama kali didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada bulan Ogos 2008.
Bagaimanapun Karpal Singh mengambil alih apabila perbicaraan bermula di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua tahun kemudian. Karpal meninggal dunia dalam nahas jalan raya pada bulan April tahun ini, dan Sulaiman kembali sebagai peguambela utama Anwar.
Perbicaraan hari ini juga menjadi tumpuan pemerhati antarabangsa, termasuk Inter-Parliamentary Union, Union for Civil Liberty, LawAsia serta Badan Peguam Malaysia. Kes itu juga dijangka menarik kehadiran pegawai kedutaan asing, sebagai pemerhati.
LAPORAN LANGSUNG
9.30am: Peguam Gopal Sri Ram mula berhujah. Beliau berkata tidak ada saksi kepada dakwaan jenayah itu.
Gopal berkata Saiful mendakwa dia terpaksa melakukan perbuatan itu (liwat) dan pelincir digunakan (KY jelly).
"Ini adalah keterangannya bahawa perbuatan itu begitu kuat, dia memicit tuib jeli dan ia (jeli) jatuh ke karpet.
"Saiful berkata ia mencuci dirinya sendiri dan menghantar emel untuk meletak jawatan sebagai pembantu Anwar."
9.27am: Peguambela utama Gopal Sri Ram mahu membaca senarai pemerhati antarabangsa tetapi Ketua Hakim Arifin berkata tidak ada keperluan untuk berbuat demikian kerana ia sudah diketahui.
Gopal memberitahu mahkamah bahawa pihak peguambela menambah satu lagi alasan rayuan.
Muhammad Shafee Abdullah tidak membantah alasan tambahan itu.
9.22am: Peguambela Latheefa Koya memberitahu wartawan bahawa empat orang akan menyampaikan hujah bagi pembelaan - Gopal, Surendran, Ram Karpal dan Sangeet.
Mahkamah mula bersidang dengan dipengerusikan oleh Ketua Hakim Negara Tun Arifin Zakaria ketua.
Terdapat perubahan dalam panel hakim - Ahmad Maarop digantikan oleh Hakim Mahkamah Persekutuan Datuk Ramly Ali.
9.10am: Menteri Besar Selangor yang juga Timbalan Presiden PKR Azmin Ali juga kelihatan di mahkamah, bersama-sama dengan Ahli Parlimen Wangsa Maju Tan Kee Kwong, pemangku pengerusi DAP dan Ahli Parlimen Cheras Tan Kok Wai, pengerusi DAP Perak dan Ahli Parlimen Beruas Datuk Ngeh Koo Ham dan penyokong kuat parti itu Ronnie Liu.
Galeri awam yang mempunyai kira-kira 70 tempat duduk sudah penuh sesak.
"Kalau tak cukup kerusi, boleh sertai saya di kandang tertuduh," kata Anwar berseloroh.
8.59am: Anwar tiba bersama isterinya yang juga presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Seorang lagi anggota pasukan peguam Anwar ialah Gobind Singh
Deo. Anwar dilihat berbincang sesuatu dengan peguam utamanya, Gopal Sri Ram.
8.56am: Berlaku sedikit kekecohan di luar mahkamah ketika sekumpulan wartawan cuba mengekori Anwar di luar mahkamah.
Kira-kira 20 petugas media menyelinap melewati kawalan polis dan mengekori Anwar sehingga ke ruang legar mahkamah, tetapi ramai lagi masih berada di luar apabila anggota polis berjaya menutup pintu.
Orang ramai melaungkan "Reformasi" semasa ketibaan Anwar, sehingga beliau masuk ke Istana Kehakiman sejurus kemudian.
8.55am: Dalam satu perkembangan baru, bekas Hakim Mahkamah
Persekutuan, Tan Sri Gopal Sri Ram menggantikan Sulaiman mewakili Anwar.
Difahamkan Gopal dilantik di saat-saat akhir. Menurut peguam Latheefa, Sulaiman tidak sihat dan terpaksa menarik diri.
8.40am: Selain Latheefa, turut menganggotai pasukan peguambela ialah Surendran, R Sivarasa, Sangeet Kaur, J Leela, Ram Karpal dan Eric Paulsen.
Bagi pihak pendakwa, Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah dibantu peguam dari firma guamannya, bersama dengan timbalan ketua bahagian pendakwaan di Pejabat Peguam Negara, Mohd Hanafiah Zakaria.
Shafee dan peguam kanan Datuk Sulaiman Abdullah, belum sampai.
Turut kelihatan di galeri awam adalah bekas Setiausaha Agung PKR, Datuk Saifuddin Nasution Ismail dan Ahli Parlimen Lumut Laksamana (B) Mohamad Imran Abdul Hamid.
8.28am: Lima panel hakim Mahkamah Persekutuan diketuai oleh Ketua Hakim Negara, Tun Arifin Zakaria.
Yang lain ialah Presiden Mahkamah Rayuan Tan Sri Md Raus Sharif, Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Abdull Hamid Embong, Tan Sri Suriyadi Halim Omar dan Tan Sri Ahmad Maarop.
Di antara mereka yang dilihat di mahkamah ialah Naib Presiden PKR dan Ahli Parlimen Lembah Pantai Nurul Izzah Anwar.-Hafiz yatim/ 28/10/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.