APABILA AWANG SELAMAT HANYA MEMANDANG KE KIRI!
Saya tidak menafikan realiti sebahagian daripada tulisan provokatif Awang Selamat dalam Utusan Malaysia semalam. Memang benar sektor ekonomi di negara ini dikuasai oleh kaum Cina, begitu juga tentang kecenderungan sesetengah orang Cina mendukung sistem pendidikan vernakular daripada sistem pendidikan kebangsaan, dan ketegasan/'kedegilan" TG Datuk Nik Aziz Nik Mat menyokong Pakatan Rakyat daripada BN yang didukungi oleh UMNO.
Namun, ada beberapa persoalan yang wajar direnung oleh Awang sebelum menulis artikel tersebut.
1. Sistem pendidikan vernakular memang pada pandangan saya wajar dikaji semula kerana untuk mewujudkan satu masyarakat yang bersatu padu, perlulah bermula di peringkat sekolah. Bagaimana mahu bersatu jika masing-masing belajar di sekolah berlainan, malah menggunakan bahasa pengantar yang berlainan juga. Justeru, untuk merealisasikan perpaduan golongan pelajar perlulah ditempatkan dalam satu sekolah dan menggunakan satu bahasa pengantar tanpa meminggirkan bahasa ibunda kaum masing-masing. Bahkan dengan mewujudkan subjek bahasa minoriti di sekolah kebangsaan, hal ini dapat dimanfaatkan oleh kaum Bumiputera untuk mempelajari bahasa tersebut. Hal ini dapat mengatasi fenomena kegagalan kaum minoriti menguasai bahasa kebangsaan sejak dahulu lagi sekali gus memberikan peluang pelajar Melayu menguasai bahasa Tamil dan Mandarin. Persoalannya, benarkah hanya DAP sahaja yang mempertahankan dasar pendidikan ini, bagaimana pula dengan peranan MCA, MIC, dan GERAKAN? Bagaimana pula dengan peranan persatuan pendidikan Cina yang sering kali bertemu dengan PM dan Menteri Pelajaran? Bukankah mantan Menteri Pelajaran dan PM sendiri turut mempertahankan dasar ini demi kepentingan politik?
2. Pendirian TG Nik Aziz berpadu dengan DAP dan PKR daripada berpadu dengan UMNO yang sama agamanya dengan beliau juga dipersoal oleh Awang. Dalam hal ini, TG dikatakan bersimpati dengan DAP berbanding dengan parti yang sama agama dengannya (namun ironi, apabila ada pemimpin parti itu dikaitkan dengan rasuah dan pertuduhan jenayah). Suatu kenyataan yang amat menyentuh hati saya. Antara kenyataan Awang, "DAP memberi jaminan bahawa Pas tidak akan mampu menubuhkan negara Islam, walaupun Nik Aziz menjanjikannya." Namun, persoalannya, selama 52 tahun UMNO memerintah negara ini, tertubuhkah negara Islam seperti yang diimpikan oleh PAS? Memang benar DAP menentangnya? Namun, DAP sahajakah yang menentangnya? Bukankah UMNO turut mempertikaikannya? DAP sudah tentu jahil tentang Islam, UMNO? Tidak menghairankan jika DAP berprasangka tentang negara Islam, kerana majoriti ahli yang menganggotai dalam parti itu bukan Islam. Namun, wajarkah UMNO yang tentunya Islam turut menolak negara Islam? Selanjutnya, siapakah yang memperlekeh hukum hudud yang dicadangkan oleh PAS? Siapakah yang menghalang pelaksanaan hukum tersebut? Siapakah yang menggugat perkembangan dan menarik semula peruntukan untuk sekolah agama rakyat (SAR)? Bagaimana pula nasib sekolah pondok di negara ini? Siapakah yang mempersenda hadis nabi? Apakah yang telah dilakukan oleh pemerintah untuk menangani gejala murtad di negara ini? Lebih menarik, mengapakah perihal perpaduan ini ditimbulkan pada saat UMNO yang tewas teruk dalam pilihan raya mula kehilangan sokongan rakyat? Bukankah hal ini seolah-olah ada udang di balik batu? Berdasarkan persoalan-persoalan ini, wajarkah TG Nik Aziz dan PAS berpadu dengan parti UMNO?
3. Awang turut menyentuh tentang institusi raja dan kepentingan Bumiputera. Menurutnya, "Banyak lagi perkara yang Awang bimbang terutama institusi raja yang kini sentiasa diperlekehkan. Malah sudah ada gerakan tersusun untuk membubar dan menulis semula Perlembagaan negara." Sekali lagi Awang seharusnya perlu melihat sejarah, siapakah yang sebenarnya memperlekehkan institusi raja di negara ini? Siapakah yang menggunakan institusi raja untuk kepentingan politik, misalnya seperti yang berlaku di Perak? Siapakah yang bertanggungjawab meminda Perlembagaan yang menyentuh tentang institusi raja? Siapakah dan parti apakah yang diwakili orang yang membawa kain rentang "Kami Nak Deris, Natang"? Perihal/kronologi penderhakaan parti yang didukung oleh Awang ini ada dijelaskan di sini. Cerita tentang hak Bumiputera, siapakah yang "menjual/melelong" tanah rezab Melayu dalam skala yang besar? Namun, yang diheboh-hebohkan se-Malaysia suatu ketika dahulu ialah tindakan kerajaan negeri Perak di bawah pentadbiran Datuk Nizar berhubung dengan isu pajakan tanah kepada penduduk Kampung Baru. Walhal penduduk Kampung Baru itu turut melibatkan orang Melayu dan pajakan tanah itu untuk manfaat rakyat biasa, bukannya golongan tauke yang kaya raya. Perihal "melelongkan" tanah rezab Melayu ini ada disentuh di sini. Bagaimana pula dengan Singapura dan Pulau Batu Putih? Kelalaian siapakah yang menyebabkan kita kehilangan pulau-pulau tersebut? Bagaimana pula dasar liberalisasi ekonomi PM yang menyentuh kepentingan Bumiputera? Bagaimana pula dengan isu "biasiswa nasional"? Kita pernah menyaksikan segerombolan rakyat dan pelajar UiTM berdemo apabila pembangkang menyentuh isu DEB dan biasiswa. Sedangkan hal itu hanya disentuh sahaja, berbanding dengan tindakan PM merombak perihal ekuiti dan biasiswa tersebut. Mengapakah orang Melayu seperti Awang ini hanya berdiam diri? Tiada demo, tiada suara. Inilah sikap hipokrit manusia yang hanya tahu bermuka-muka dan bertindak hanya atas kepentingan politik semata-mata. Bagaimana pula peranan BN yang memperlekeh kemampuan bahasa kebangsaan dalam menguasai ilmu sains dan teknologi? Siapakah yang merendah-rendahkan bahasa yang kita tutur sejak lahir? Bodoh sangatkah tokoh seperti Pak Ungku Aziz, Pak Samad Said, dan majoriti rakyat yang menolak PPSMI? Bijak sangatkah tokoh BN apabila melaksanakan dan mempertahankan dasar itu? Salahkah Pak Ungku Aziz apabila mengatakan "Apa bahasa matematik? Bahasa simbolik, angka, semua simbol. Matematik ini bahasa simbolik. Kalau guna bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, pilih bahasa Inggeris untuk belajar Matematik, (itu tindakan) gila. Kalau hendak belajar bahasa Inggeris dengan bahasa matematik, bagaimana boleh belajar?"
Kesimpulannya, jatuh bangunnya bangsa Melayu selama ini adalah disebabkan oleh orang Melayu sendiri. Bukan Cina atau India yang "menjual" Melayu. Nasib bangsa, bahasa, dan agama kita terletak di tangan pemimpin Melayu. Janganlah menuduh sana, menuduh sini, kerana itu hanyalah tuduhan/ramalan/imaginasi/prasangka, sedangkan apa-apa yang berlaku sekarang ini adalah realiti dan semuanya di bawah tanggungjawab pemimpin Melayu yang sering melaungkan istilah "Ketuanan Melayu" namun pada masa yang sama kita dapat melihat pelbagai perkara yang merugikan bangsa Melayu berlaku dengan wewenang. Justeru, sebelum menulis janganlah hanya memandang ke kiri sahaja, kerana sebelum melintas jalan pun kita perlu memandang ke kiri dan ke kanan agar tidak dilanggar kenderaan yang lalu lalang!
Berkaitan:
* Liberalisasi Ekonomi: Najib Cuma Nak Jadi Popular, Kata Mahathir
* Wajarkah Korbankan DEB Kerana Undi Minoriti?
Ni komen hamba...
"Fakta dan dalil akan hanya tinggal sebagai maklumat jika tidak ada AKA yg TAJAM mengadunkannya kepada ILMU. Dan HATI yang bersih mensintesiskannya menjadi HIKMAH yang mendidik..."
Jadi...sebelum menilai orang lain, nilailah diri kita sendii dahulu...samada btul @ tidak...
Wallahua'lam