Dakwaan Enam Budak Diseludup di FB Tidak Benar
[HM] Alor Setar: Dakwaan penahanan sebuah lori ayam yang dipercayai cuba menyeludup enam kanak-kanak tempatan ke negara jiran untuk diambil organ mereka seperti tersebar dalam laman sosial Facebook sejak semalam disifatkan sebagai tidak berasas.
Difahamkan, ‘kekecohan’ tercetus di ruang maya berikutan status seorang lelaki dalam laman sosial berkenaan mendakwa kejayaan Unit Pencegah Penyeludupan (UPP) Bukit Kayu Hitam menahan lori ayam terbabit.
Lelaki itu turut mendakwa lori terbabit membawa enam kanak-kanak iaitu tiga daripada mereka tidak boleh bercakap, dibius dan disorokkan di bahagian tengah kenderaan terbabit.
Pada masa sama, status berkenaan turut tersebar luas melalui aplikasi Whatsapp dan WeChat yang bertujuan untuk disebarkan kepada orang ramai bagi memaklumkan kejayaan pihak berkuasa itu.
Komander UPP Kedah Abdul Latiff Abdul Rahman berkata, pihaknya sudah menyiasat laporan seperti didakwa menerusi status laman sosial itu tetapi tiada sebarang tangkapan membabitkan lori ayam dilaporkan setakat ini.
Menurutnya, pihaknya masih menyiasat tujuan pemilik akaun Facebook itu membuat status demikian selain meminta orang ramai tidak panik atau bimbang mengenai apa yang dinyatakan dalam laman sosial berkenaan.
“Saya dimaklumkan mengenai perkara ini dan tidak tahu menahu mengenai penahanan lori ayam berkenaan. Ini berikutan setiap laporan berkaitan tangkapan akan dimaklumkan kepada saya terlebih dahulu, tetapi semua anggota dan pegawai saya tidak tahu mengenai perkara itu.
“Adalah mustahil penyeludupan membabitkan lori ayam dari negara ini ke Thailand kerana biasanya lori ayam hanya akan masuk dari negara jiran ke sini dan kenyataan itu membuktikan ia adalah tidak sahih,” katanya ketika dihubungi, di sini.
Menurutnya, anggota UPP melakukan pemeriksaan ketat di kedua-dua hala laluan dalam sekatan di Kilometer 1.3 Lebuhraya Changlun-Bukit Kayu terhadap kenderaan yang keluar masuk dari negara ini ke Thailand selain dibantu kamera litar tertutup (CCTV) di sekitar kawasan itu untuk pemantauan.
Katanya, beliau tidak menafikan berkemungkinan penyeludupan kanak-kanak boleh berlaku, tetapi pasukan UPP bersama agensi penguat kuasa lain di sekitar kawasan sempadan sentiasa melakukan pemeriksaan dari semasa ke semasa untuk memastikan perkara itu tidak akan berlaku.
“Saya meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berhubung penyeludupan manusia boleh menghubungi balai polis berhampiran atau memaklumkan kepada UPP supaya tindakan boleh diambil, bukan sekadar menghebahkannya melalui laman sosial kerana akan mencetuskan panik.
“Malah, kita menasihatkan ibu bapa supaya mengawasi anak-anak mereka supaya tidak menjadi mangsa penyeludupan dan sebarang maklumat kehilangan anak atau anggota keluarga boleh memaklumkan kepada pihak berkuasa supaya siasatan boleh dilakukan,” katanya. -28/5/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.