[PANAS] Majlis Antara Agama Dakwa Sejarah, Perlembagaan BUKTI Malaysia Negara SEKULAR
Presiden MCCBCHST Jagir Singh berkata negara sekular tidak bermakna pemisahan agama dan negara. – Gambar fail The Malaysian Insider. |
[The Malaysian Insider] Majlis Antara Agama Kebangsaan berkata Malaysia adalah sebuah negara sekular dengan membawa bukti sejarah dan Perlembagaan yang diperakui perdana menteri terdahulu.
Memetik dokumen sejarah seperti Memorandum Perikatan yang dihantar kepada Suruhanjaya Reid pada 1956 dan kertas putih kerajaan British pada Jun 1957, majlis itu berpendapat tiada dokumen sejarah yang bercanggah Malaysia sebuah negara sekular.
Memorandum Perikatan oleh Umno, MCA dan MIC kepada Suruhanjaya Reid menyatakan secara spesifik mereka mahukan sebuah negara sekular meskipun agama Persekutuan adalah Islam.
Ini merupakan respon Majlis Rundingan Buddha, Kristian, Hindu, Sikh dan Taoism (MCCBCHST) terhadap kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom, yang mendakwa Malaysia bukan negara sekular.
Jamil Khir berkata, pembentukan Malaysia adalah berdasarkan pentadbiran Islam dan Sultan Melayu merupakan ketua dalam negeri di bawah jajahannya.
Presiden MCCBCHST Jagir Singh berkata negara sekular tidak bermakna agama dan negara berpisah secara keseluruhannya.
"Sebagai contoh, negara seperti Turki dan Indonesia mengamalkan prinsip Islam tetapi mereka adalah sekular.
"Maka, Malaysia boleh diklasifikasikan sebagai sekular dengan Islam sebagai agama Persekutuan, tetapi Islam tidak membentuk undang-undang rasmi kerana Perlembagaan Persekutuan adalah undang-undang tertinggi negara," katanya.
Jagir berkata, Perkara 4 (1) jelas meletakkan Perlembagaan sebagai undang-undang tertinggi dan bukannya undang-undang syariah.
Katanya, perkataan undang-undang Islam dan mahkamah syariah tidak dijumpai dalam Perlembagaan pada 1957.
"Mahkamah orang Islam dinamakan mahkamah syariah pada 1976 dengan meminda Jadual 9. Begitu juga undang-undang orang Islam dipinda menjadi undang-undang Islam," katanya.
Atas dasar itu, Jagir berkata pihaknya menentang sebarang usaha melaksanakan hukum hudud di Malaysia.
Katanya, MCCBCHST bimbang pelaksanaan hukuman itu akan mengenepikan konsensus dicapai pelbagai kaum, Perlembagaan dan hak asasi, termasuk kebebasan beragama.
“Ia akan menjadikan negara berubah daripada demokrasi berparlimen kepada negara Islam yang mengutamakan undang-undang Tuhan berpandukan Al-Quran dan Sunnah dengan tidak lagi berpandukan Perlembagaan,” katanya.
Jager berkata, daripada 57 negara Islam seluruh dunia, hanya sebilangan negara yang melaksanakan hudud dan ini tidak termasuk Indonesia dan Bangladesh.
“Keadaan di Malaysia tidak sesuai untuk melaksanakan hudud kerana ia memerlukan masyarakat yang jujur dan apabila hukuman dijatuhkan, ia tidak boleh ditarik balik,” katanya.
Persatuan Taoist Malaysia pula berpandangan, proses Islamisasi hanya bermula pada 1980-an sebagai respon politik kepada kesederhanaan dan modernisasi.
“Ini menjadikan pemikir Islam mewujudkan zon agama yang lebih selamat dengan memperkenalkan syariah dan instrumen kawalannya iaitu hudud,” kata presidennya, Daozhang Tan Hoe Chieow.
Persatuan Hindu Sangam pula berkata walaupun tanpa hudud, bukan Islam terus ditekan kerana banyak institusi terus memejamkan mata dalam kes pertukaran agama dan hak penjagaan anak serta rampasan Bible oleh Jais.
“Rampasan Bible membuktikan mereka mahu mengatur agama lain. Tanpa hudud sekali pun, banyak yang tidak adil dan institusi yang tidak berfungsi, malah hal sebegini akan bertambah buruk jika hudud diperkenalkan,” kata presidennya, Datuk RS Mohan Shan.
Mohan berkata, tidak benar hudud tidak memberi kesan kepada bukan Islam kerana Seksyen 52 Enakmen Jenayah Syariah Kelantan menyatakan bukan Islam juga tertakluk kepada undang-undang itu.
“Ia bercanggah dengan Perlembagaan dan ia mesti dihalang untuk dibentangkan,” katanya.
Sementara itu, Majlis Gereja Malaysia berkata hudud adalah contoh hal ehwal Islam diganggu gugat politik.
“Mereka yang bercakap tentang isu itu cuba meningkatkan tauliah mereka sementara Umno dan PAS masing-masing mahu mengkafirkan sesama sendiri,” kata setiausaha agungnya, Dr Hermen Shastri.
Hermen berkata, apa yang diperlukan negara adalah sistem urus tadbir yang adil, telus dan bertanggungjawab. – Jennifer Gomez/29 Jun, 2014.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.