[Video] Cerita Pertemuan Muhyiddin dan Tun Mahathir dengan Penyokong di Kelab Sultan Sulaiman
Dr M: Arab gila pun tak akan derma RM2.6 bilion
Tun Dr Mahathir Mohamad mempertikaikan penjelasan bahawa RM2.6 bilion yang dimasukkan ke dalam akaun peribadi Datuk Seri Najib Razak adalah derma daripada Timur Tengah.
Secara sinis beliau berkata, jika “tok Arab” itu gila sekali pun, pasti beliau tidak akan menderma sejumlah wang yang amat banyak itu.
“Saya akan hadir ke mesyuarat agung Umno bagi mendengar (mengenai kewangan parti), yang mana bendahari mesti ikut peraturan jelaskan kewangan Umno, ada atau tidak RM2.6 bilion?
“Kalau tidak ada, di mana (duit itu)? (Kalau) duit itu dari tok Arab, saya ingat tok Arab itu gila,” katanya.
Malah, katanya, pengalaman beliau sendiri meminta derma, seperti untuk penubuhan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) sebelum ini amat sukar.
“Tahu dari negara mana (yang bagi)? Kosong, katanya sambil disambut gelak ketawa peserta dalam acara di Kuala Lumpur bersama Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin sebentar tadi.
Sementara itu, Mahathir juga berkata pernah meminta derma bagi menyiapkan dewan Pusat Islam namun tidak ada negara yang sudi memberikan sumbangan.
“Saya tulis surat, semasa itu saya belum jadi perdana menteri, tulis surat minta derma untuk kita sudahkan dewan saya cuma dapat jawapan dari Libya, lain-lain negara tidak jawab.
“Saya tidak dapat satu sen, (yang saya minta) ini untuk Islam.
“Tiba-tiba Datuk Seri Najib dapat RM2.6bilion,” sindirnya.
Dr M: Najib patut ditangkap bawah Sosma
Bekas perdana menteri Tun Mahathir Mohamad berkata Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak perlu dipenjarakan bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2015 (SOSMA).
Mahathir mengaitkan Najib dengan pemenjaraan bekas pemimpin bahagian Umno Datuk Seri Khairuddin Abu Hassan dan peguamnya Matthias Chang selepas membuat laporan polis dalam isu 1MDB.
“Saya ingat Najib perlu disiasat polis dan ditahan bawah Sosma lebih lama daripada Khairuddin.
“Kalau orang seperti Khairuddin, kena soal sebab buat laporan polis, saya ingat Najib kena soal dalam Sosma kerana tidak demokrasi.
“Najib kongkong mesyuarat agung dan tidak benarkan orang bercakap,” katanya kepada 1,000 hadirin di Kelab Sultan Sulaiman malam ini.
Mahathir turut berkata, Najib tidak layak menjadi perdana menteri kerana menggunakan kekerasan terhadap mereka yang mengkritik presiden Umno itu.
“Najib tidak layak jadi PM, dia akan guna kekerasan untuk tangkis desakan kepadanya, dia guna kekerasan untuk bagi amaran kepada kita.
“Kalau awak bercakap kami akan ambil tindakan.
“Itu negara demokratik ala Najib, kalau dia terus kekal, negara ini akan hancur, yang jadi mangsa bukan sahaja Melayu, Cina, India turut jadi mangsa,”
Mahathir turut mengingatkan hadirin yang hadir untuk mempersoalkan isu berkatan 1MDB dan derma RM2.6 bilion tanpa gentar.
“Jangan terima Datuk Seri Najib dalam apa cara sekalipun, persoalkan 1MDB, RM2.6 bilion tanpa gentar.
“No risk no gain, kalau balik nak senyap sahaja nanti akan jadi pengemis dalam negara kita,” katanya.
'Yang jadi barah, nanah dalam Umno mesti ditolak'
Timbalan Presiden Umno Tan Sri Muhyiddin Yassin malam ini tampil melontarkan kritikan terhadap kepimpinan Datuk Seri Najib dan isu-isu berbangkit dalam negara, terutamanya dalam kes 1MDB.
Dalam ucapannya di hadapan ramai penyokong di Kampung Baru, Kuala Lumpur, Muhyiddin menegaskan bahawa pihak yang bermasalah dalam Umno harus ditolak.
“Siapa yang menjadi barah dan nanah dalam Umno mesti ditolak,” katanya sambil disambut sorakan orang ramai yang kelihatan amat bersemangat.
“Untuk selamatkan negara, (masalah ini) harus dibuang.”
Beliau berkata demikian apabila bercakap soal perubahan yang perlu dibuat oleh Umno supaya tidak ditolak oleh rakyat.
“Saya suka merayu untuk jalani pembedahan yang menyakitkan ini daripada menderita koma dan mati perlahan-lahan,” katanya bekas timbalan perdana menteri itu dengan berkias.
Muhyddin pada peringkat awal ucapannya dilihat agak berhati-hati.
Ketika mengulas tentang gesaan ke arah pengunduran Najib, beliau berkata mendapat banyak pesanan di laman sosial yang memintanya menyampaikan perkara itu.
Malah, katanya, gesaan itu yang kedua terbanyak diterimanya selepas kebimbangan berkaitan kenaikan kos sara hidup.
Muhyiddin juga ada awal ucapannya berkata Najib harus berehat sementara sementara dakwaan-dakwaan berkaitannya, termasuk isu 1MDB, diselesaikan.
“Rehat sementara. Bukan berhenti. Rehat saja, sementara. Jangan timbul persepsi PM campur tangan. Ambil cuti sampai kes selesai.
“Kemudian kalau tidak terlibat, kita doa tidak terlibat, baliklah (bertugas) semula,” katanya.
Tun Dr Mahathir Mohamad dan Naib Presiden Umno Datuk Seri Shafie Apdal turut hadir dalam acara bertemu penyokong itu di Kuala Lumpur malam ini.
Perhimpunan itu diadakan setelah Muhyiddin tidak lagi diberi peluang berucap kepada perwakilan dalam perasmian sayap ketika-tiga parti itu seperti kelaziman sebelum ini. -Malaysia Kini/8/12/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.