[Bantuan] Pesakit Kronik Perlukan Bantuan Anda
[SH] IPOH - “Mama... ini dugaan untuk abang. Mama jangan bimbang. Mama cuma doakan abang supaya cepat sembuh dan boleh bermain dengan kawan-kawan macam biasa.”
Walaupun baru berusia lapan tahun, si kecil memahami situasi perasaan dilalui ibunya. Malah dia masih mampu tampil ceria.
Wajah manisnya yang gemar mengorak senyum, menutup segala derita dilaluinya.
Wan Arif Ferdaus Wan Ahmad Affendy, dari Kampung Sentang, Batu Gajah, dekat Ipoh bukan menderita sakit biasa. Anak kecil itu disahkan menghidap kanser tulang tahap empat.
Wan Arif Ferdaus, murid tahun dua Sekolah Kebangsaan Toh Indera Wangsa Ahmad menghidap kanser di bahagian kaki kiri dan memerlukan kira-kira RM80,000 untuk menampung kos pembedahan dan pemindahan tulang titanium.
Kanak-kanak ini juga berharap cepat sembuh agar cita-citanya sebagai angkasawan dapat dicapai.
Bertemu ibunya, Zetty Ramli, 28, merungkai cerita detik permulaan bagaimana penyakit anaknya itu mula dikesan. Sinar Harian bertemunya di Pusat Khidmat dan Aduan BN Perak yang hadir untuk meminta bantuan daripada Ketua Urusetianya, Mohd Rawi Abdullah.
“Ia bermula pada Februari tahun lalu selepas Wan Arif Ferdaus terjatuh ketika bermain di sekitar rumah kemudian mengadu sakit kaki kiri.
“Bermula dari insiden itu, Wan Arif Ferdaus dibawa ke Hospital Batu Gajah (HBG) sebelum dirujuk ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk pemeriksaan lanjut.
“Pemeriksaan awal menyatakan anak saya hanya mengalami bengkak biasa, malah ia dikatakan selalu terjadi ke atas kanak-kanak sebaya dengannya.
“Namun dua bulan kemudian, anak saya kembali sakit dan sekali lagi dibawa ke HRPB untuk mendapatkan rawatan tetapi penyakitnya masih belum dapat dikesan sepenuhnya,” ceritanya.
Ibu kepada tiga anak itu berkata, setiap malam anak sulungnya pasti mengadu sakit hingga tidak dapat tidur.
“Kami akhirnya membuat keputusan untuk membawa anak kami menjalankan pemeriksaan di Hospital Pantai dengan meminjam wang daripada ahli keluarga.
“Selepas menjalankan Gema Pengimejan Magnetik (MRI) dan x-ray, doktor mengesahkan ada sesuatu yang tidak normal pada kaki anak kami,” katanya.
Tambahnya, keputusan itu dirujuk ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan ujian biopsi mengesahkan Wan Arif Ferdaus mengidap kanser tulang tahap dua.
Pada 26 Mac lalu, kanser Wan Arif Ferdaus sudah merebak dan difahamkan sudah berada di tahap empat dan pembedahan perlu dijalankan segera sekurang-kurang dalam tempoh dua bulan ini.
“Kata doktor, peluang untuk anak kami sembuh hanya 40 peratus,” katanya yang turut membawa anaknya menjalani rawatan tradisional.
Sementara itu, bapa kanak-kanak itu, Wan Ahmad Affendy Wan Mohd Yaakob, 33, yang hanya bekerja kilang berterus-terang dia tidak mampu untuk menampung kos pembedahan tersebut.
“Setakat ini hampir RM20,000 dibelanjakan untuk rawatan anak kami dengan bantuan yang disumbangkan ahli keluarga serta rakan-rakan sekerja.
“Saya turut mencuba nasib meminta bantuan beberapa pihak tertentu, namun tidak dilayan dengan memberikan pelbagai alasan,” katanya yang kecewa dengan sikap pihak berkenaan.
Menurutnya, anaknya sudah menjalani rawatan kemoterapi sebanyak tiga kali dan akan menjalani rawatan seterusnya pada 16 April ini.
Sementara itu, Mohd Rawi berkata, pihaknya akan cuba memohon bantuan daripada orang ramai mahupun badan korporat untuk mendapatkan dana bagi membantu menampung kos pembedahan kanak-kanak tersebut.
Bagi mereka yang ingin menghulurkan bantuan boleh berbuat demikian melalui akaun Maybank atas nama Wan Ahmad Affendy Wan Mohd Yaakob 158015114461 atau menghubungi talian 017-5208839 (Zetty) atau 012-5093505 (Wan Ahmad Affendy) untuk mendapatkan maklumat lanjut.
WAN AHMAD Affendy (kanan) menunjukkan kesan rawatan kimoterapi pada badan Wan Arif Ferdaus di Ipoh semalam. - Kosmo |
P/s: Situasi seperti ini tidak akan berlaku jika kerajaan prihatin terhadap isu ini. Mereka boleh melupuskan hutang kroni yang mencecah RM600 juta, mereka boleh menyediakan subsidi kepada syarikat kroni sehingga mencecah RM2 bilion setahun, mereka boleh ..................................................................................................................................
Apa salahnya jika kerajaan membina sebuah fasiliti perubatan yang menyediakan perkhidmatan untuk pesakit kronik secara percuma atau hanya dikenakan caj minimum. Malangnya fasiliti yang ada seperti IJN pun menawarkan perkhidmatan berbayar yang tidak mampu ditanggung oleh kebanyakan pesakit, malah ada ura-ura sebelum ini untuk menswastakan pusat rawatan jantung itu.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.