Demi Perubahan, Mizz Nina Lepaskan Semuanya
Nina Lepaskan Semuanya
[UM] RAMAI terpesona apabila Mizz Nina mengambil keputusan berhijab, tidak kurang yang terkejut dengan perubahan drastik dirinya itu.
Sementelah dia sebelum ini bukan sahaja terkenal dengan gaya lincah di pentas malah sanggup bereksperimen dengan penampilan.
Imej seksi begitu sinonim dengan dirinya. Namun kini Mizz Nina selesa bergaya sopan sesuai sebagai seorang muslimah.
Perubahan berlaku selepas dia pulang dari Mekah awal Oktober lalu bersama suaminya, vokalis kumpulan Hujan, Noh Salleh.
Meski diaju bertubi-tubi mengenai penghijrahannya itu, apalagi tatkala penyanyi bertaraf antarabangsa ini rancak menghangatkan dunia hiburan menerusi kolaborasinya dengan bintang hip hop Korea, Jay Park untuk lagu Around The World, Nina ini cuma tersenyum dan memilih untuk berdiam diri.
Bagaimanapun pada satu sesi fotografi di studio Utusan, Kuala Lumpur baru-baru ini, Nina berkongsi rasa dan isi hatinya mengenai imej barunya itu.
Seolah-olah memberi isyarat yang dia mahu membuka lembaran baru dalam hidupnya sejajar dengan kehadiran tahun baru, Nina menganggap perubahan itu bukan satu penghijrahan yang terpaksa atau dipaksa.
Sebagai kewajipannya, Nina mahu memenuhi tanggungjawab itu dengan sebaik mungkin sebagai muslimah.
Ini bukan hal baru. Saya hampir dua tahun saya memikirkan untuk berhijab. Saya cuma mahu menjadi seorang Muslimah yang lebih baik dan saya sedang cuba untuk ke arah itu.
Saya akui mula-mula rasa gugup sebab saya tak biasa bertudung namun saya sangat suka melihat orang pakai tudung. Cantik!
Kadang-kadang ada masa saya curi-curi mencuba pakai tudung dan tonton tutorial di YouTube. Semakin lama, semakin saya rasa yakin.
Selepas pulang dari Mekah tempoh hari, saya bulatkan hati dan tetapkan iman untuk berhijab penuh kerana Allah Taala," katanya.
Menurut Nina, keadaan itu juga menjadi semakin mudah kerana setiap kali menghadiri kelas mengaji al-Quran dan menghadiri majlis-majlis keagamaan, dia akan menutup aurat.
Merasakan imej itu kini sudah sebati dengan dirinya, Nina juga tidak mahu masyarakat melihat dia mencari publisiti mahupun disamakan dengan pandangan serong bahawa artis bertudung sekadar mahu mengikut aliran semasa.
Nasib selepas mati
Melahirkan rasa kesyukuran kerana dibukakan pintu hatinya sebelum terlambat, wanita berusia 33 tahun ini yakin dan percaya bahawa ini adalah jalan hidup yang terbaik untuk semua umat manusia di dunia.
Seperti yang kita biasa dengar, Islam adalah cara hidup yang sempurna. Itu adalah kebenarannya. Saya diberi hidayah ini, seribu rahmat dan kesyukuran hanya Allah SWT sahaja yang tahu," ujarnya merendah diri.
Keinginannya untuk berubah ke jalan yang lebih diredai kata Nina, tidak seperti orang lain yang mungkin mendapat mimpi dan sebagainya.
Hal ini cukup personal baginya sehingga dia tidak pernah memberitahu mengenai perkara itu sekalipun kepada orang terdekat.
Kata Nina, hati dan fikirannya bergerak seiring untuk berfikir mengenai nasibnya selepas mati.
Dari saat itu saya fikir sudah tiba masanya untuk saya berada di jalan yang benar, di landasan agama Islam.
Tiada sesiapa yang paksa, saya sendiri yang memikirkan hal itu. Apa nasib saya selepas mati nanti? Cukupkah amalan saya untuk dibawa ke akhirat? Lengkapkah saya sebagai seorang isteri dan Muslimah saat masih hidup ini?" ujar Nina.
Seiring dengan perubahannya itu kata Nina, orang yang paling gembira tentulah suaminya, Noh.
Sejujurnya, sejak saya berkahwin dengan Noh, dia tak pernah memaksa saya dalam segala hal," katanya ringkas.
Jalan lebih baik
Sebenarnya penyanyi ini lebih senang sekiranya orang tidak terlalu memberi tumpuan pada perubahan imejnya sahaja.
Bagi Nina, itu bukan perkara pokok kerana fokus utama adalah ibadah dan tanggungjawabnya sebagai seorang Muslimah.
Menganggap setiap hari adalah proses belajar untuknya kata Nina, dia tidak mampu menyembunyikan rasa tenang dan damai saat memulakan langkah memilih jalan ini.
Saya buat semua ini dengan hati yang terbuka. Setiap hari saya tanam azam mahu menjadi lebih baik dari semalam.
Ini bukan soal hijab sahaja. Janganlah cuma memandang luaran. Saya buat semua ini kerana Allah SWT sebab saya seorang Muslim.
Kalau boleh saya tak mahu orang bertanya hal hijab ini lagi. Cukuplah dengan penjelasan ini. Usaha saya untuk beribadah dan berubah untuk kebaikan.
Kalau ada yang terinspirasi dengan perubahan saya ini, Alhamdulillah. Baguslah, apa salahnya kita berubah bersama-sama. Itu lebih baik," katanya. - Siti Athirah Dzulkifly - 29/12/13
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.