[Video] ADUN Kajang Letak Jawatan, Beri laluan kepada Anwar? Apa Kata Khalid Ibrahim?
[MK] Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang Lee Chin Cheh meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat hari ini
Perkara itu diumumkan speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh petang ini dan akan dimaklumkan secara rasmi kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) esok.
Yeoh berkata, beliau menerima surat peletakan jawatan pada hari ini.
“Dengan ini, saya mengisytiharkan kerusi DUN N25 Kajang dikosongkan dan SPR seharusnya menjalankan pilihan raya kecil dalam masa 60 hari," kata Yeoh.
Berhubung sebab peletakan jawatan itu, Yeoh berkata perkara itu harus diajukan kepada Lee (kanan) sendiri.
Dalam pilihan raya umum lalu, Lee sebagai calon PKR menang dengan majoriti 6,824 undi dalam pertembungan enam penjuru dengan BN, BERJASA dan tiga calon bebas.
Kawasan itu mempunyai 38,965 pengundi dengan 48 peratus Melayu, 41 peratus Cina dan India sebanyak 10 peratus.
Anwar Akan Bertanding di Kajang?
[MK] Peletakan jawatan Lee Chin Cheh sebagai anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kajang membuka persoalan sama ada tempat itu akan ditandingi oleh Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Pesuruhjaya PAS Selangor Iskandar Samad (kiri) berkata, walaupun hanya mengetahui pengunduran itu melalui media, beliau difahamkan bahawa PKR akan meminta Menteri Besar Tan Sri Khalid Ibrahim berundur dan Anwar akan bertanding dalam pilihan raya kecil.
“Saya hanya dimaklumkan oleh Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution semalam bahawa PKR akan meminta Tan Sri Khalid berundur dan Anwar akan bertanding pada satu pilihan raya kecil,” katanya
Menjawab SMS Malaysiakini hari ini, beliau berkata, beliau akan membincangkan perkembangan itu dengan PAS negeri dan pusat dan merasakan ia masih memerlukan persetujuan ketiga-tiga parti dalam Pakatan Rakyat.
“Perkara seperti ini sepatutnya dibincang dengan semua parti,” katanya ketika ditanya sama ada PAS Selangor bersetuju dengan pengunduran Lee itu.
Spekulasi itu timbul ekoran laporan The Star Online bahawa Anwar akan menggantikan Khalid sebagai menteri besar.
Portal itu melaporkan bahawa Khalid bersetuju melepaskan jawatannya bagi memberi laluan kepada ketua pembangkang Dewan Rakyat itu.
Anwar bagaimanapun menafikannya.
DAP: Tak pernah bincang
Sementara itu, Pengerusi DAP Selangor Tony Pua (kanan) berkata, setakat ini tiada sebarang perbincangan atau persetujuan dibuat untuk menggantikan menteri besar Selangor dibuat.
“Tidak pernah dibincangkan,” katanya menjawab soalanMalaysiakini.
Sementara itu, Yeoh yang juga ADUN DAP bagi kawasan Subang Jaya jari ini turut ditanya berhubung kemungkinan calon untuk kawasan itu.
“Saya tidak mahu cakap perihal calon dan saya tidak mahu mengulas khabar angin. Agak awal untuk membuat spekulasi. Sehingga hari ini kerusi ini kosong. Itu sahaja,” katanya.
Yeoh juga berkata, oleh kerana ia kerusi PKR, parti itu yang akan mengumumkannya.
Penganalisis: Anwar jadi PM? Mustahil
Sementara itu, penganalisis politik James Chin (kiri) pula beranggapan mustahil Anwar akan menjadi menteri besar Selangor kerana kedudukannya sekarang sebagai pemimpin nasional.
"Jika beliau jadi menteri besar dia akan berada di kedudukan sama dengan Lim Guan Eng, ketua menteri Pulau Pinang. Itu mustahil," kata beliau ketika dihubungiMalaysiakini.
Chin menganggap cerita 'kurang senang' mengenai PKR itu berkaitan dengan pemilihan parti itu April depan.
Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor Hannah Yeoh hari ini mengumumkan kekosongan kerusi DUN Kajang.
Undang-undang menetapkan pilihan raya kecil mesti diadakan dalam tempoh 60 hari.
Khalid: Tukar MB Mesti Muafakat Bersama
[MK] Menteri Besar Selangor Tan Sri Khalid Ibrahim berkata, pelantikan menteri besar di negeri itu perlu mendapat konsensus daripada tiga komponen parti dalam Pakatan Rakyat seterusnya mendapat perkenan sultan.
"Tak ada. Proses pelantikan MB perlu mendapat konsensus ketiga-tiga parti (dalam Pakatan Rakyat). Calon menteri besar dipilih dan dipersetujui ketiga-tiga parti.
"Mereka juga akan memberitahu kepada Tuanku Sultan dan perkenan Sultan. Jadi banyak tatacaranya," katanya bagi menjawab soalan pemberita di Kuala Lumpur hari ini.
Beliau ditanya sama ada peletakan jawatan ADUN Kajang Lee Chin Cheh sebagai usaha menyingkirkan beliau sebagai menteri besar.
Ditanya sama ada ura-ura Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar bertanding di DUN Kajang dalam pilihan raya kecil dan menggantikan beliau, Khalid berkata:
"Tidak ada perbincangan (mengenainya)," katanya sambil menjelaskan bahawa beliau "tidak terkejut" dengan usaha menggantikannya kerana sebelum ini ada "ura-ura" mengenainya.
Ditanya sama ada beliau bersetuju untuk melepaskan jawatan sekiranya PAS dan DAP bersetuju beliau berbuat demikian, Khalid berkata:
"Ia boleh dilakukan dengan ketiga-tiga parti duduk bersama. Kena ada perbincangan. Tapi sekarang tidak ada lagi". -27/1/14
Respons Anwar di sini.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.