Saudara Baru Terpaksa Masak BABI, Tidur di Kaki Lima, SALAH SIAPA? Baca!
[HM] KUALA LUMPUR: Menyedihkan apabila seorang saudara baru terpaksa bekerja sebagai tukang masak yang menyediakan hidangan Bak Kut Teh atau makanan berteraskan daging babi di sebuah restoran di Kuala Terengganu, Terengganu kerana tiada pilihan lain bagi meneruskan kelangsungan hidup.
Akibatnya, lelaki berusia 44 tahun itu hanya mampu menitiskan air mata setiap kali menjelang waktu solat kerana terpaksa menyamak untuk menunaikan kewajipannya, selain sering dihina kononnya menyamar Muslim untuk menagih bantuan.
Khalid Lim Abdullah (bukan nama sebenar) mendakwa terpaksa melakukan kerja berkenaan kerana tidak mampu melakukan tugasan lain selepas disisihkan keluarganya di Shah Alam, Selangor, selain sukar diterima bekerja di kedai Muslim akibat penampilan dan kebolehan memasaknya yang terhad.
Walaupun hanya memasak bergantung kepada permintaan, hidangan Bak Kut Teh disediakannya setiap hari kerana kebanyakan pengunjung pasti menikmati menu masakan terbabit yang didakwa mempunyai kelainan.
Kisah sedih Khalid didedahkan Pengerusi Persatuan Islam Saudara Baru Terengganu (PISBT), Mohd Jaafar Ng Abdullah yang berharap pihak berwajib dapat memainkan peranan lebih proaktif untuk membantu saudara baru bagi mengelak mereka kembali kepada ajaran lama, terutama apabila dibelenggu kemiskinan.
Bagi memastikan dakwaan Jaafar berasas, wartawan Metro Ahad menghubungi nombor telefon diberikannya dan sempat berbual dengan Khalid.
Lelaki berkenaan mengakui memeluk Islam di Shah Alam sejak tiga tahun lalu dan mendalami agama di sebuah pondok di Kelantan dan kini menetap di Terengganu.
Pada masa sama, wakil Metro Ahad di Terengganu turut menemui lelaki berkenaan dan terkejut mendapati sekujur tubuh meringkuk di kaki lima bangunan stesen bas dan sempat merakam gambarnya. Berikut luahan hati Khalid.
“HANYA Tuhan tahu perasaan saya setiap kali ketika menyediakan makanan haram itu, ada kalanya saya memasak sambil menangis namun apakan daya, itu saja yang mampu saya lakukan untuk mencari sesuap nasi.
Memang saya jijik dengan apa dilakukan tetapi biarlah apa orang lain nak kata, asalkan saya tahu apa saya buat dan biar Allah saja menghakimi saya.
Untuk pengetahuan semua, saya masih Islam dan mengamalkan ajarannya, cuma kadangkala saya rasa begitu jauh kerana masih melakukan perbuatan ditegah agama walaupun ia jelas dinyatakan dalam al-Quran.
Sebenarnya saya memeluk Islam sejak tiga tahun lalu di Shah Alam, Selangor dan selepas ditinggalkan isteri yang membawa bersama anak kami (kini berusia tiga tahun setengah), saya mendapatkan perlindungan di Terengganu.
Pada awalnya, saya menerima bantuan daripada pihak berwajib, namun ia tidak bertahan lama selepas timbul satu isu oleh agensi berkaitan.
Isu itu timbul selepas 40 saudara baru seperti saya membuat laporan polis sebelum dinasihatkan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) kerana ada antara kami menerima bantuan tidak seragam iaitu RM20, RM50 dan RM100 selepas diminta menurunkan tandatangan dan cap jari tanpa diberi resit.
Kami mengadu kepada PISBT tetapi tiada apa dapat dilakukan, menyebabkan kami membuat laporan polis namun selepas itu saya langsung tidak menerima bantuan, menyebabkan saya merayu kepada pihak pemberi bantuan supaya saya diberi pekerjaan bagi meneruskan kehidupan tetapi dimaklumkan tiada perkhidmatan mencari pekerjaan daripada jabatan terbabit.
Saya hanya tahu memasak makanan Cina, puas saya mencari kerja di restoran Melayu tetapi mereka lebih gemar mengambil pekerja dari Thailand, menyebabkan saya terpaksa hidup bergelandangan dan tidur di kaki lima masjid dengan menerima penghinaan orang ramai.
Mana tidaknya, penampilan saya yang tidak kelihatan seperti orang tempatan atau orang Melayu menyebabkan saya dihina.
Bagaimanapun, ada juga yang simpati dengan nasib saya apabila dibenarkan tidur di luar Stesen Bas Sri Tanjung, Kuala Terengganu dan jika kesejukan, saya tidur di stesen bas.
Pernah satu ketika, saya dituduh menyamar Islam ketika menunaikan solat, malah pernah juga saya ditangkap Jabatan Kebajikan Masyarakat ketika meminta sedekah... memang saya meminta sedekah tapi pernahkah mereka bertanya mengapa saya berbuat demikian? Kerana tidak tahan hidup dalam kepayahan, saya mencuba nasib di sebuah kedai makan bukan Islam dan diterima bekerja sebagai tukang masak dengan gaji RM700 sebulan serta telefon bimbit, namun walaupun sudah bekerja saya masih terpaksa bergelandangan.
Saya masih mempunyai anak, makan dan pakai anak serta saya sendiri siapa perlu tanggung? Jika saya menyewa bilik sekalipun, berapa sangatlah yang tinggal, saya bersyukur kerana mempunyai pekerjaan tetapi sedih kerana tidak mampu memiliki keluarga bahagia.
Saya menyewa bilik air RM15 sebulan manakala selebihnya digunakan untuk makan, ubat dan tambang ke tempat kerja, ada kalanya saya berjalan ke restoran.
Memang saya pernah tinggal di asrama disediakan pihak berwajib, tetapi paling lama pun hanya tiga bulan dan akan diminta keluar, dalam tempoh itu saya tidak bekerja dan hanya menerima bantuan RM50 sebulan daripada pihak berkenaan, saudara pernah bertugas di Terengganu, berapa lama RM50 boleh bertahan?
Pada Ramadan ini, setiap kali menunaikan solat, saya menangis kerana terpaksa menyamak tangan yang menghidangkan makanan haram... saya tidak berdaya, hanya itu yang mampu saya lakukan.
Kadangkala saya bersahur dengan meneguk air sejuk tetapi bersyukur kerana makanan berbuka saya masih mengikut sunnah nabi iaitu kurma yang diberi dalam masjid.
Hendak mengikut pengerusi (Jaafar) ke Melaka, tiada sebarang janji diberikannya bagi menjamin saya mendapat pekerjaan dan saya khuatir akan menerima nasib sama, malah mungkin lebih teruk seperti dialami sekarang.
Selepas Aidilfitri, saya akan pergi pula ke pejabat agama di Selangor, tempat saya mengucap dua kalimah dan bertanyakan peluang pekerjaan di sana dan bertemu anak dan isteri yang memberi kata dua supaya kembali ke agama asal untuk diterima semula.
Saya juga ditawarkan peluang pekerjaan di Singapura dengan gaji besar secara bersyarat, tetapi setakat ini masih tidak sanggup menerima tawaran itu kerana takut hukuman Allah yang menutup pintu taubat kepada mereka yang murtad.
Saya hanya berdoa semoga keluarga saya menerima hidayah dan petunjuk daripada-Nya selain diberikan kekuatan bagi meneruskan kelangsungan hidup.”
P/s: Sekali lagi timbul soal birokrasi agensi kerajaan dan pengagihan wang zakat yang tidak efektif. Setiap tahun wnag zakat dikutip, ke mana wang itu diagihkan? Seperkara lagi mualaf ini menimbulkan isu penyelewengan wang bantuan sehingga perlu membuat laporan polis dan SPRM.
Berkaitan:
Terdedah kepada Gejala Murtad
[HM] MELAKA: Penderitaan dialami Khalid Lim Abdullah, 44, antara contoh kurangnya pembelaan daripada pihak berwajib untuk membantu golongan mualaf miskin hingga mendedahkan mereka kepada perbuatan murtad.
Akibatnya, dengan pengetahuan agama masih di peringkat awal dan mengalami dugaan berat, ada antara mereka kembali menukar agama, sama ada kepada yang asal atau baru.
Bagaimanapun, ada juga golongan mualaf sanggup menghadapi dugaan berat dan kekal Islam walaupun diburu ahli keluarga, selain dihampiri pendakwah agama lain.
Pengerusi Persatuan Islam Saudara Baru Terengganu (PISBT), Mohd Jaafar Ng Abdullah (gambar) berkata, beliau sering menerima maklumat daripada ahlinya yang didampingi pihak tertentu secara bersemuka yang menawarkan bantuan wang tunai tetapi bersyarat, iaitu perlu menghadiri kelas ceramah di lokasi tertentu berkali-kali.
“Selepas pelawaan mereka ditolak beberapa kali, golongan ini meletakkan risalah dan cakera padat (CD) ceramah dalam peti surat rumah sewa saudara baru ini dan yang peliknya, bagaimana mereka menerima maklumat golongan berkenaan.
“Sebenarnya pendekatan yang mereka gunakan adalah halus kerana ia tidak menggunakan paksaan tetapi agresif, menyebabkan golongan saudara baru ini tidak tahan dan mengadu hal kepada saya, namun tiada apa dapat saya lakukan kecuali membawa golongan ini keluar dari kawasan tertentu atau sekadar nasihat jika mengalami kesulitan, terutama bagi yang bekerjaya.
“Apapun, saya terpaksa memastikan nasib mereka terbela supaya mereka dapat meneruskan hidup sebagai orang Islam,” katanya ketika ditemui Metro Ahad, di sini.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.