LANTANG NIK AMALINA TIDAK BERBISA
Banyak orang yang berpendapat bahawa Nik Amalina wajar berblog. Itu hak demokrasi dia sebagai rakyat Malaysia. Ada juga orang yang kurang senang dengan langkah yang diambil oleh Nik Amalina. Secara peribadi, berblog ialah hak demokrasi Nik Amalina. Saya boleh berblog, dia pun boleh berblog, semua orang boleh berblog. Sewajarnya, tiada sesiapa pun yang berhak mempertikainya. Yang boleh dipertikaikan oleh orang ramai ialah kandungan tulisannya, sama ada tulisannya itu baik untuk dirinya, mahupun keluarganya, ataupun parti yang diwakili oleh mungkin keseluruhan ahli keluarganya.
Agak menarik apabila membaca kirimannya bertarikh 23/12. Katanya: Tiada niat untuk saya menyerang, tapi ada benarnya jika saya mengambil sedikit rasa di jiwa ini untuk menerang. Jangan diulangi pendirian yang sama andai dilain masa ada pula fitnah baru tercipta. Ada benar sepatutnya mana-mana empunya diri yang terfitnah itu dipanggil untuk membela diri, bukan hanya mendapat maklumat yang kiranya ia masih lagi boleh dipertikaikan. Jangan pula dibiar bebas si penyebar fitnah, berbuatlah sesuatu agar fitnah itu tidak terus menjadi bebanan kepada Jamaah Islam. Nik Amalina menyatakan sesiapa yang telah difitnah agar bangun membela dirinya dan dia juga menyatakan bahawa penyebar fitnah itu perlu dihentikan dan dibawa ke muka pengadilan (mungkin itu maksudnya). Katanya lagi, berbuatlah sesuatu agar fitnah itu tidak menjadi beban kepada Jamaah Islam. Dalam kemelut yang dihadapi oleh suaminya dalam isu PMBK, Nik Amalina ada menegaskan bahawa suaminya telah difitnah, oleh itu seperti yang saya tulis tempoh hari, mengapa sehingga sekarang tiada tindakan dibuat untuk menyaman pihak yang dikatakan menyebarkan fitnah terhadap Ariffahmi? Beban untuk mengambil tindakan ini sudah tentu letaknya di atas bahu Nik Amalina dan keluarganya, justeru apalah guna berkata demikian di blognya jika dia sendiri belum berbuat demikian?
Katanya lagi: Masih lagi saya ingat, ada pimpinan mengatakan ini urusan keluarga, biarlah Tok Guru menyelesaikannya. Saya terfikir, bijakkah kenyataannya itu? Ini urusan kerajaan, YB. GLC adalah Kerajaan, dan Tok Guru juga adalah Kerajaan. Jika ia urusan keluarga, sepatutnya bila saya ‘bangun’, jangan pula ada yang melatah. Kalau ada yang melatah, boleh kiranya saya berkata, semuanya mahukan publisiti murahan, sebagaimana yang saya dapat! Waktu sepatutnya buka mulut, semuanya bisu. Waktu sepatutnya bisu, apa yang anda semua telah buat? Jangan hanya pandai bercakap sepatutnya begitu, sepatutnya begini, tapi bertindaklah. Kurangkan bercakap, banyakkan bertindak. Gunapakai semua mekanisme yang terbaik untuk buat yang lebih baik kepada parti. Kalau diperhatikan pada perenggan ini Nik Amalina mungkin terlepas pandang tindakan yang telah diambil oleh pimpinan parti ayahandanya. Oleh sebab sayang akan ayahandanya dan parti yang didukung oleh ayahandanya serta kerajaan yang diterajuinya, maka ada beberapa ahli PAS telah menyatakan bahawa suaminya, Ariffahmi wajar meletakkan jawatan selepas kemelut yang melanda PMBK heboh diperkatakan di media massa baik di media cetak, mahupun di blog atau di laman berita internet. Nasihat dan pandangan sudah diberi, tindakan selanjutnya terpulanglah kepada budi bicara tuan empunya badan untuk menilai dan mengambil inisiatif untuk bertindak. Jika tidak silap Presiden, pemimpin kanan, malah ada ahli Parlimen menasihati Ariffahmi agar meletakkan jawatan kerana tidak mahu pelantikannya itu menjejaskan imej dan mengelakkan persepsi buruk masyarakat terhadap bapanya. Alhamdullilah, nasihat itu diturutinya, namun timbul pula persoalan, mengapa tempoh yang diambil memakan masa selama tiga bulan? Sekadar mematuhi prosedur atau ada faktor-faktor lain untuk beliau mempertahankan tindakannya itu?
Secara peribadi, perletakan jawatan Ariffahmi ini wajar kerana kerajaan pimpinan PAS sebelum ini sering mengkritik BN kerana mengamalkan kronisme dan nepotisme. Oleh itu, kurang bijaklah jika Tok Guru yang saya sanjungi melantik Ariffahmi, menantunya mengepalai GLC milik kerajaan negeri. Walaupun Tok Guru mengaitkan tindakannya itu dengan keluarga Rasullulah SAW, tetapi dari segi persepsi, politik, dan ditambah pula tuduhan serta kontroversi yang masih belum terjawab sepenuhnya telah mencalar imej Kerajaan Kelantan yang dipimpin oleh PAS. Oleh itu, slogan "kurangkan bercakap, banyakkan bertindak" wajar juga diambil oleh Ariffahmi bagi mengembalikan dan memulihkan keyakinan rakyat terhadap kerajaan pimpinan mentuanya. Soal keyakinan rakyat, kita bukan hanya bercerita tentang respon rakyat Kelantan, tetapi dalam hal ini, mereka harus melihat respons keseluruhan rakyat pelbagai kaum yang sedang menilai kepemimpinan Pakatan Rakyat.
Katanya lagi: Jagalah Kerajaan Pas Kelantan yang ada hari ini sebaiknya. Sayangilah sepenuh hati. Jangan melihat sebelah mata bahawa saya hanya mempertahankan suami, tapi bukalah mata seluasnya, politik itu licik, hanya yang bijak mampu merubah segalanya. Kenapa harus Tok Guru saja yang bangun mempertahankan setiap apa yang berlaku. Bangunlah juga wahai pimpinan. Tunjukkanlah juga bahawa anda bersatu, buktikan dengan tindakan jangan hanya suara dari belakang yang anda juga menyanyangi Tok Guru, dan sudah tentu Kerajaan Islam hari ini. Hal ini turut dilaporkan oleh Malaysia Kini. Sila klik 'Mengapa bapa saya saja pertahan PAS?' untuk bacaan lanjut. Tepatkah persoalan "Mengapa Tok Guru sahaja yang pertahankan PAS? Bukankah dalam konteks ini, maafkan saya jika tersilap, pernyataan tersebut bermaksud "Mengapakah Tok Guru sahaja yang pertahankan Ariffahmi/kemelut di PMBK?"?
Apa-apapun baguslah jika Nik Amalina memahami bahawa "politik itu licik". Jika dia benar-benar memahaminya, maka terimalah kenyataan bahawa suaminya perlu meninggalkan PMBK kerana jika tidak, isu ini akan dimainkan oleh musuh politik parti ayahandanya pada pilihan raya umum akan datang. Tidak percaya? Jika dia tidak percaya maka saya berpendapat bahawa dia belum lagi benar-benar memahami bahawa "politik itu licik"!
Dah le tu Nik Amalina
Comment by Aa @ Khamis, Disember 24, 2009 2:06:00 PTGdia menulis macam orang lain ni buta tak tau apa...
Comment by el @ Jumaat, Disember 25, 2009 3:29:00 PTGorang tau kisah elysion, kisah pmbk, kisah bazaar tok guru, kisah kifalah...
semua ni dikisahkan dari sumber sahih juga...
hanya kerana mendedahkan kisah-kisah ni... maka disebut fitnah... hanya kerana orang tidak kemukakan bukti maka ia fitnah...
bukti ada kalau kerajaan tok guru sendiri telus nak siasat... kalau kerajaan berani terima hakikat...
rakyat buleh sabar lagi kalau kerajaan pas tidak mampu nak sediakan kemudahan awam secukupnya macam kerajaan amnu... tapi rakyat tidak mahu kerajaan yang korup macam amnu...
alasan amnu pun buat lagi besar... tak boleh diterima... pasal yang besar itu pun, asalnya dari kecik...
syukur tuhan belum bukakan hati najib nak bagi duit royalti minyak tu... kalau dapat duit tu... tah macam mana lah mereka tu berebut-berebut akan duit-duit tu... duit sekarang yang tak banyak mana tu pun dah ramai yang jadi mangsa dan pemangsa....