[Orang UMCO Wajib Baca] Siapa Pemuda Ini? Mengapa Dia Memilih DAP?
Zairil Khir, 26, Ketua Pegawai Eksekutif RND Chocolate Labs Sdn. Bhd. |
Siapa pemuda ini?
Pemuda ini ialah anak bekas Setiausaha Agung UMNO, Allahyarham Tan Sri Khir Johari.
Mengapa anak Tan Sri Khir Johari memilih DAP?
Saya petik terus dari blognya:
Pada saya jawapannya amat mudah. Secara ikhtisar, saya telah memilih untuk menjulang perjuangan rakyat dalam kancah politik negara kita melalui Parti Tindakan Demokratik (DAP) sebagai satu kesinambungan pewarisan dan jasa arwah ayahanda saya kepada negara tercinta. Ada yang mungkin mengatakan bahawa tindakan sedemikian adalah satu percanggahan, sedangkan ayah saya dahulu bukan sekadar ahli biasa UMNO, malah seorang pengasas parti itu sejak tahun 1946 dan merupakan seorang pemimpin kanan yang pernah memegang jawatan Naib Presiden dan Setiausaha Agung. Malah, ada yang sudahpun mengecam perwatakan saya sebagai seorang pengkhianat bangsa atau ‘Melayu lupa diri’, kononnya saya ini ibarat kacang yang telah melupakan kulit dengan tindakan membelakangi sebuah parti yang sudah kian lama dianggap sebagai pembela bangsa.
Saya memang akur bahawa UMNO merupakan sebuah parti yang masyhur dan bersejarah, dan atas usaha dan pengorbanan pemimpin-pemimpin terdahulunya telahpun berjaya meraih kemerdekaan tanah air kita daripada penjajah British. Namun sejak kebelakangan ini, niat asal penubuhannya, atau raison d’ĂȘtre, untuk membebaskan negara dan memartabatkan bangsa sudahpun ternoda.
Tidak perlu saya mengulangi hujah-hujah saya tempoh hari tentang penyalahgunaan kuasa dan penyelewengan amanah rakyat yang kini sudah menjadi amalan harian sebuah kerajaan yang rakus kuasa. Akan tetapi, saya ingin menarik perhatian kepada hakikat bahawa dua orang bekas Perdana Menteri, iaitu Al-Marhum Tunku Abdul Rahman Putra dan Tun Hussein Onn, telahpun mempertikaikan UMNO sewaktu krisis dalaman yang telah memecah-belahkan parti tersebut lebih kurang 20 tahun dahulu. Jelas sekali bahawa kedua-dua tokoh itu tidak sanggup lagi melihat kehancuran dan keranapan jiwa sebuah parti yang sepatutnya menjadi tunjang pembangunan negara. UMNO yang dahulu sudahpun lesap, yang tinggal hanyalah jasad kosong yang kini diperalatkan untuk kepentingan peribadi golongan pemerintah.
Maka dengan kesedaran ini, terpaksalah seorang anak muda yang menghajatkan kemajuan bangsa dan negara mencari ikhtiar yang sesuai dengan aspirasinya. Hatta dalam penjelajahan batin, tersualah saya dengan satu semarak yang kian tampak. Merenung ke dalamnya saya menyedari bahawa semangat perjuangan ayah saya serta rakan-rakan seperjuangannya masih lagi membara, walaupun jasad yang didiaminya sudah bertukar. Sungguhpun begitu, dasar perjuangan tetap sama: iaitu untuk membebaskan rakyat daripada penindasan dan kepincangan sebuah kerajaan yang zalim. Cuma kini, seruan perjuangan telah disahut dan didukung dengan teguhnya oleh parti DAP bersama dengan parti-parti komponen lain dalam gagasan Pakatan Rakyat.
Jika dahulu satu politik baru telah berjaya dicetuskan melalui usahasama UMNO, MCA dan MIC dalam Parti Perikatan, pada hari ini saya percaya kita boleh memperbaharui dinamik politik negara kita melalui penggemblengan kesemua kelompok rakyat Malaysia dengan tidak mengira kaum atau agama, demi menerbitkan budaya politik masa depan yang berlandaskan persaudaraan rakyat dan bukan sekadar toleransi antara kaum. Inilah antara sebab-sebab utama yang telah menarik hati saya kepada perjuangan parti DAP.
Saya juga tertarik dengan keikhlasan kepimpinan parti untuk mengembalikan sistem urus tadbir negara kita kepada satu sistem yang berlandaskan ketelusan, amanah dan yang menjunjung rakyat. Komitmen ini jelas termakbul dalam pentadbiran kerajaan negeri Pulau Pinang yang diterajui Ketua Menteri Lim Guan Eng. Iltizamnya tidak goyah dan sungguh mengkagumkan meskipun diserang dengan gegak gempita pada setiap masa oleh jentera Barisan Nasional yang bersifat perkauman.
Dalam keadaan negara yang makin pincang dan ketandusan modal yang bernas, adalah jelas bahawa kepimpinan kerajaan pusat sudah tidak lagi mengenali dan memahami nadi rakyat. Setiap tahun makin ramai warga Malaysia yang meninggalkan tanah air untuk mencari rezeki dan kehidupan baru di negara lain. Antara sebab utama yang memangkin penghijrahaan mereka adalah kehilangan kepercayaan kepada kemampuan kerajaan untuk menyediakan kestabilan dan kemantapan yang dikehendaki, bukan sekadar dalam penyediaan peluang pekerjaan tetapi juga dalam institusi-institusi negara yang makin dicurigai kebebasannya. Masalah ini akan menjadi parah apabila negara kita kehausan bakat muda dalam pelbagai-bagai bidang. Di sini saya melihat bahawa satu kelebihan parti DAP dan juga parti-parti lain dalam Pakatan Rakyat adalah keupayaannya untuk menarik minat golongan cediakawan muda kepada arus perjuangan politik. Ini amat penting kerana masa depan negara bergantung terus kepada kebijakan generasi muda. Sambung bacaan anda di sini.
P/s: Apa lagi alasan orang muda untuk menyertai dan mempertahankan UMCO? Apa lagi bukti yang anda perlukan untuk menolak UMCO menderhaka kepada Allah dan raja?
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.