Sekolah Jadi Dalang Dedah Sijil Sakit Suami Normala?
HD melaporkan bahawa PAS kesal dengan tindakan sebuah sekolah menengah di Labis yang mendedahkan dokumen peribadi seorang gurunya berhubung laporan cuti sakit yang kini dijadikan bahan kempen UMCO BN bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Tenang.
Bendahari PAS Pusat, Dr Mohd Hatta Md Ramli berpendapat tindakan tersebut juga boleh menjejaskan imej guru berkenaan dan menghilangkan keyakinan pekerja terhadap majikannya.
Beliau yang juga seorang pengamal perubatan berkata, sijil cuti sakit adalah dokumen rasmi yang sepatutnya hanya diketahui oleh pesakit (guru tersebut) dan majikannya. Hal ini kerana dokumen tersebut mengandungi maklumat sulit antara doktor dengan pesakitnya, termasuk diagnosis pesakit.
Ekoran pendedahan sijil sakit tersebut, beberapa blog pro-UMCO menyiarkan sjil sakit tersebut dan tulisan mereka membayangkan Maarof sedang berdepan dengan masalah kesihatan yang serius. Selain blog, Utusan Malaysia hari ini turut juga memainkan isu sama dengan memaparkan tajuk 'Suami Normala sakit kritikal?'.
Hatta membidas tindakan Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abd Rashid Shirlin yang mempertikaikan pegawai perubatan yang merawat dan mengeluarkan sijil cuti sakit kepada guru berkenaan. Selain itu, Hatta turut membidas tindakan Timbalan Menteri Pelajaran Datuk Dr. Puad Zarkashi yang merestui tindakan sekolah berkenaan dan terus membuat kenyataan seolah-olah guru tersebut telah melakukan kesalahan tanpa usul periksa.Sementara itu, Mstar melaporkan calon PAS, Normala Sudirman mendakwa suaminya, Maarof Abdul Mutalib diberikan cuti sakit sehingga tempoh dua minggu berturut-turut disebabkan oleh masalah kemurungan akibat arahan pertukaran dalam tempoh 24 jam ke sebuah sekolah di Johor Bharu sebelum ini.
Dalam kenyataannya, Normala meminta pihak media menyiasat lebih lanjut tentang kesahihan sijil cuti sakit suaminya itu dengan bertemu dengan doktor yang berkenaan.
“Lebih baik media berjumpa dengan doktor yang mengeluarkan cuti sakit tersebut kerana sebagai doktor beliau lebih profesional dan tahu kenapa dan mengapa surat itu dikeluarkan kepada pesakitnya.
“Media kalau nak tahu lebih baik tanya pada doktor itu lebih baik dan ada ketelusan.”
Sebelum ini sebuah blog pro-UMCO (kini sudah berjangkit ke blog lain) mendakwa suami calon PAS itu telah mengambil cuti sakit selama dua hari pada 6 dan 7 Januari dari Pusat Perubatan Keluarga di Jalan Segamat-Labis, Johor. Suami Normala turut mengambil cuti sakit selama dua minggu bermula 10 hingga 23 Januari yang dikeluarkan oleh Klinik Kesihatan Bandar Putra, Segamat dan tambahan cuti lima hari lagi yang diperoleh daripada pusat kesihatan yang sama.
Dalam salinan surat sakit tersebut, dimaklumkan bahawa Maarof yang juga guru di Sekolah Menengah Kebangsaan Tenang Stesen diberikan cuti sakit selama 2 minggu berturut-turut kerana beliau menghadapi masalah kemurungan yang serius.
Mengulas lanjut mengenai isu berkenaan, Normala yang lebih mesra dengan panggilan Cikgu Mala berkata, suaminya berdepan dengan tekanan yang hebat ketika mendapat tahu tentang pertukaran yang diputuskan oleh Jabatan Pelajaran Johor sebelum tindakan tersebut ditarik balik dalam tempoh 24 jam selepas itu.
saman je skolah tu.. kompem menang sebab profil tu sulit.. tak boleh dedah camtu jek..
Comment by Tanpa Nama @ Jumaat, Januari 28, 2011 10:42:00 PTG