Ibu Tunggal Nyaris Maut Ditembak Penjenayah
[HM] Kuantan: Tindakan seorang ibu tunggal anak empat memberhentikan kenderaannya bersebelahan stesen minyak di Jalan Haji Ahmad di sini untuk menghubungi bekas suami di Putrajaya nyaris meragut nyawanya apabila ditembak dari jarak dekat oleh seorang lelaki, awal pagi semalam.
Dalam kejadian jam 4 pagi, mangsa yang juga ahli perniagaan Ruzelawati Basri, 35, bagaimanapun terselamat daripada maut berikutan tindakan pantasnya memecut kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard miliknya sebaik ternampak suspek yang tiba-tiba mengetuk cermin bahagian pemandu dan mengeluarkan pistol.
Difahamkan, mangsa yang baru berpisah dua bulan lalu keluar dari rumahnya di Lorong Sekilau di sini, ke stesen minyak berkenaan untuk mengisi petrol sebelum meneruskan perjalanan, namun memberhentikan kenderaannya seketika untuk menelefon bekas suami.
Ketika itu, tanpa disedari mangsa, seorang lelaki tiba-tiba mengetuk cermin kereta bahagian pemandu sambil menunjukkan isyarat memintanya keluar dari kenderaan berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kuantan Asisten Komisioner Mohd Jasmani Yusoff berkata, mangsa terus memecut kenderaannya sebaik ternampak suspek memegang sepucuk pistol.
P/s: Gila meriah jenayah tembak-menembak di Malaysia!!!!
Kes Samun: Wanita Nyaris Terkena Tembakan
[Bernama] Seorang wanita nyaris terkena tembakan yang dilepaskan seorang lelaki tidak dikenali dipercayai penyamun dalam satu kejadian awal hari ini di Jalan Haji Ahmad di Kuantan.
Ketua Polis Daerah Kuantan ACP Mohd Jasmani Yusoff berkata dalam kejadian 4 pagi, Ruzelawati Basri, 35, ibu tunggal empat anak, baru sahaja keluar dari rumahnya di Taman Mirama di sini secara berseorangan memandu sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) jenis Toyota Alphard.
Katanya selepas mengisi minyak di sebuah stesen, mangsa memberhentikan kenderaannya di hadapan sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad dan membuat panggilan telefon kepada bekas suaminya di Putrajaya sebelum didatangi sebuah kereta berwarna biru gelap dan seorang lelaki kemudian keluar dari kenderaan itu.
Beliau berkata menurut mangsa, lelaki tersebut memegang sepucuk pistol dan mengetuk cermin kereta dan mengarahkannya membuka pintu serta keluar dari keretanya.
"Mangsa yang terkejut terus memecut kenderaannya dan terdengar bunyi cermin keretanya pecah tetapi tidak mendengar bunyi seperti letupan," katanya kepada pemberita di Kuantan hari ini.
Mohd Jasmani berkata mangsa yang beralamat di Precint 9, Putrajaya dan menjalankan perniagaan kedai cermin mata di Kuantan itu terus memecut kenderaannya dan berhenti berhampiran sebuah restoran di Jalan Haji Ahmad yang jaraknya 200 meter dari tempat kejadian setelah mendapati lelaki itu tidak mengejarnya.
"Siasatan awal polis mendapati terdapat satu das tembakan dilepaskan di cermin pemandu dan dipercayai hinggap di rangka kiri pintu hadapan MPV tersebut dan motif kejadian dipercayai cubaan menyamun," katanya.
Beliau berkata mangsa mengalami luka kecil di bahagian mata kanan dipercayai akibat serpihan kaca dan dia dibantu orang awam yang berada di restoran itu.
Mohd Jasmani berkata orang awam kemudian menghubungi polis untuk memaklumkan kejadian itu dan mangsa dibawa polis untuk mendapatkan rawatan di Hospital Tengku Ampuan Afzan di Kuantan. -13/8/13
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.