Sah, Tan Sri Khalid Angkat Sumpah Sebagai MB Selangor Esok
[TMI] SHAH ALAM, 13 Mei — Teka-teki siapa akan menjadi Menteri Besar Selangor terjawab selepas Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sah akan mengangkat sumpah esok di hadapan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah di Istana Alam Shah, Klang.
Perkara ini disahkan setiausaha politik beliau, Faekah Husin, selepas dihubungi The Malaysian Insider hari ini.
“Ya, beliau (Abdul Khalid) akan angkat sumpah jam 9 pagi esok di Istana Alam Shah,” kata Faekah.
Perkembangan ini sekali gus menamatkan spekulasi yang sudah berlarutan selama seminggu tentang siapa pemimpin daripada gabungan parti PAS, PKR dan DAP (PR), yang akan mengisi kerusi menteri besar selepas pilihan raya Umum ke-13 (PRU13), 5 Mei.
Abdul Khalid (gambar) ketika ditemui pemberita selepas menghadap Sultan Selangor di luar pintu masuk utama Istana Bukit Kayangan di sini berkata barisan baharu exco kerajaan negeri Selangor akan dibuat selewatnya-lewatnya dalam tempoh dua minggu.
“Senarai barisan exco dah ada. Sasaran kami, paling lebih dua minggu, paling awal seminggu exco baharu akan dilantik,” katanya.
Abdul Khalid mengangkat sumpah pertama kali sebagai menteri besar pada 13 Mac 2008, empat hari selepas PRU 2008 manakala barisan anggota Exco Kerajaan Negeri Selangor mengangkat sumpah pada 23 Mac, iaitu 10 hari selepas itu.
Beliau juga merupakan orang pertama dalam kalangan pemimpin pembangkang yang dilantik sebagai Menteri Besar Selangor.
Kesemua 13 MB Selangor sebelum ini daripada Umno, parti komponen utama Barisan Nasional (BN).
Pada PRU13, PR memenangi 44 daripada 56 kerusi dewan undangan negeri (DUN) Selangor, meningkat daripada 36 kerusi yang diperoleh pada 2008.
PKR menang 14 kerusi berbanding DAP dan PAS yang masing-masing memperoleh 15 kerusi. Barisan Nasional (BN) pula memenangi 12 kerusi.
Beberapa hari lepas, Setiausaha Agung DAP Lim Guan Eng, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Setiausaha Agung PAS Datuk Mustafa Ali menyatakan sokongan mereka kepada Abdul Khalid sebagai Menteri Besar.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.