Digertak 15 Konco Gores dan Menang
LELAKI disyaki ejen syarikat gores dan menang membawa kayu mengancam mangsa.
[Harian Metro] Seremban: “Sebelum ini kami ditampar ejen gores dan menang, kali ini diugut pula dengan kayu dan besi sepanjang satu meter,” kata Low Beng Yen selepas dia mencuba nasib kali kedua menuntut supaya wang isterinya dipulangkan dalam kejadian di syarikat gores dan menang di Taman Bukit Kepayang, di sini, semalam.
Low, 54, berkata, dia dan rakannya, Kong Chee Tern, 50, datang ke pejabat syarikat berkenaan jam 11.30 pagi selepas tidak puas hati dengan keengganan ejen gores dan menang memulangkan semula wang RM1,200 walaupun dituntut pada Isnin lalu.
“Malangnya sekumpulan 15 lelaki disyaki ejen gores dan menang menyedari kehadiran kami dan menghalang dengan mengacu paip besi dan kayu,” katanya di sini, semalam.
Menurutnya, kumpulan terbabit mahu menghalang dia daripada memasuki pejabat di tingkat satu premis perniagaan itu dan mendakwa akan memukul sekiranya mereka berdegil.
“Bimbang keselamatan kami, saya menghubungi Ahli Jawatankuasa Pemuda MCA Jason Lee Kee Chong meminta bantuan, ” katanya.
Sementara itu, Jason berkata, beliau bimbang keselamatan kedua-dua sahabat itu berikutan tindakan ejen gores dan menang seperti samseng itu.
Menurutnya, selepas dimaklumkan mengenai kejadian, beliau segera menghubungi polis meminta bantuan.
“Saya kesal dengan kejadian itu yang menggambarkan seolah-olah sindiket gores dan menang tidak dapat dibendung lagi,” katanya ketika ditemui di Balai Polis Jalan Campbell, di sini, selepas membuat laporan polis mewakili mangsa, semalam.
Beliau berharap pihak berkuasa memandang serius perkara itu sebelum kejadian lebih buruk berlaku kerana sindiket terbabit sanggup bertindak membahayakan nyawa orang ramai. -18/9/14
Berkaitan:
Mangsa Gores Menang Diancam Guna Senjata
Jason (dua, kanan) menunjukkan laporan polis yang dibuat kepada media, sambil diperhatikan Low (kiri) dan Kong (kanan).
[Sinar Harian] SEREMBAN - Cubaan dua lelaki untuk berbincang dengan sebuah syarikat gores dan menang di Pusat Komersil Bukit Kepayang, dekat sini, semalam tidak kesampaian apabila mereka diancam menggunakan senjata.
Pengadu hanya mahu dikenali sebagai Low, 54, berkata, kedatangan mereka sekitar jam 11.30 pagi itu bukanlah hendak bertelagah, sebaliknya untuk mencari jalan penyelesaian terhadap masalah dihadapi sejak Isnin lalu, membabitkan tuntutan ganti rugi berjumlah RM1,500.
“Malangnya, kehadiran kami tidak disenangi pihak syarikat. Beberapa lelaki berwajah bengis sambil bersenjatakan batang paip sepanjang kira-kira 1.2 meter yang muncul entah dari mana, menghalang kami mendekati bangunan tersebut.
“Bimbang diapa-apakan, kami segera menghubungi ahli jawatankuasa (AJK) Pemuda MCA Kebangsaan, Jason Lee Kee Chong untuk mendapatkan bantuan dan nasihat,” katanya yang mengesyaki kesemua lelaki terbabit diupah pihak syarikat untuk menakutkan mereka berdua.
Bagaimanapun, selepas mempertimbangkan keselamatan masing-masing, Low dan Kong (bukan nama sebenar), 50an, akhirnya mengambil keputusan untuk beralah dan beredar dari premis berkenaan atas nasihat Jason.
“Kami sempat mengambil beberapa gambar di lokasi sebagai bukti. Mujurlah telefon bimbit kami tidak dirampas,” katanya kepada pemberita, di sini, semalam.
Sementara itu, Jason yang ditemui pemberita di Balai Polis Jalan Campbell, dekat sini, semalam turut mengesahkan aduan Low dan Kong.
“Perkara pertama yang saya fikirkan selepas menerima panggilan Low kira-kira jam 11.50 pagi adalah keselamatan mereka berdua. Sebab itu saya suruh mereka cepat-cepat beredar dari situ.
“Saya turut memaklumkan kepada polis kejadian menimpa mereka berdua melalui panggilan telefon sekitar jam 12.55 tengah hari. Laporan secara bertulis pula dibuat kira-kira jam 2.23 petang,” katanya yang berharap tindakan sewajarnya akan dikenakan terhadap syarikat terbabit.
Isnin lalu, media melaporkan insiden melibatkan Low dan Kong yang dikepung hampir 12 lelaki ketika mahu menyerahkan surat tuntutan tribunal kepada sebuah syarikat gores dan menang, ekoran didakwa menipu isteri Low sebanyak RM1,500.
Tidak cukup dengan itu, kedua-duanya mendakwa ditampar dan dimaki oleh beberapa lelaki terbabit, selain diberitahu bahawa pihak syarikat sama sekali tidak akan membayar semula wang yang dituntut. - KHAIRULKHEIZA MOHD NAJIB/18/9/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.