Hutang 1MDB Ancaman Besar kepada Negara – Rafizi
[Keadilan Daily] KUALA LUMPUR 11 SEPT: Hutang besar yang ditanggung 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah satu ancaman besar kepada kestabilan ekonomi negara, kata Naib Presiden KEADILAN, Mohd Rafizi Ramli.
Beliau mengulas krtikan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad di blognya semalam mengenai dana 1MDB yang dikumpul daripada hutang dan bukan keuntungan yang dijana.
“Tun Mahathir Mohamad juga mempersoalkan kenapa sejumlah besar dana 1MDB disimpan di pusat kewangan luar pesisir pantai (offshore financial centre) iaitu Pulau Cayman yang sudah pasti tidak telus dan menyembunyikan maklumat pengurusan dana.
“Saya selalunya berbeza pendapat dengan Tun Mahathir Mohamad dalam banyak perkara. Namun saya menyokong penuh pendirian dan pendapat Tun Mahathir Mohamad mengenai 1MDB,” ujarnya dalam satu kenyataan media.
Mahathir dalam blognye semalam berkata 1MDB membelanjakan berbilion ringgit untuk membeli stesen janakuasa dari Genting dan Ananda Krishnan dengan harga yang lebih tinggi daripada pasaran.
Beliau juga mengeluh kerana 1MDB banyak berhutang dan terdapat laporan ia kini berhutang kira-kira RM38 bilion selepas 5 tahun beroperasi sebagai dana kekayaan negara.
Menurut Rafizi, laporan dari akhbar kewangan meletakkan jumlah hutang 1MDB melebihi RM30 bilion berdasarkan beberapa siri penerbitan bon.
Jelasnya, jawapan perdana menteri di parlimen menyatakan jumlah hutang 1MDB hanya RM5 bilion iaitu jumlah bon pertama yang diterbitkan oleh syarikat strategi itu.
Manakala jumlah hutang yang lain tidak dijamin oleh Kerajaan Malaysia.
“Saya mempunyai dokumen yang boleh mengesahkan bahawa jawapan Datuk Seri Najib Tun Razak itu adalah tidak tepat dan memberi gambaran salah kepada Parlimen,” ujarnya.
Kerajaan bertanggungjawab sepenuhnya
Menurut Rafizi, siasatannya setakat ini menunjukkan keseluruhan hutang 1MDB berjumlah RM30 bilion adalah tanggungjawab sepenuh Kerajaan Malaysia.
Katanya, ia bermakna sekiranya 1MDB gagal melunaskan hutang-hutang tersebut, kerajaan Malaysia bertanggungjawab melangsaikan hutang itu, dan sudah tentu ia menggunakan wang rakyat.
“Oleh sebab itu, saya berpendirian bahawa hutang 1MDB yang begitu besar adalah satu ancaman besar kepada kestabilan ekonomi negara terutamanya kerana tidak ada tanda-tanda prestasi yang memberangsangkan yang ditunjukkan 1MDB setakat ini,” jelasnya.
Menurut Rafizi, kali terakhir beliau menimbulkan isu dana 1MDB yang disimpan di Pulau Cayman, 1MDB menghantar surat saman untuk mengambil tindakan mahkamah terhadapnya.
“Sekiranya apa yang ditimbulkan oleh Tun Mahathir Mohamad itu tidak betul, maka sewajarnya 1MDB turut menghantar surat saman kepada Tun Mahathir Mohamad dalam masa terdekat ini,” ujarnya.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.