Sah, Azmin Ali MB Selangor Baharu
[The Malaysian Insider] Timbalan Presiden PKR Mohamed Azmin Ali dilantik sebagai menteri besar Selangor yang ke-15, menurut sepucuk surat yang dikeluarkan Setiausaha Sulit Sultan Datuk Mohamad Munir Bani petang ini.
Menurut surat itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah memperkenankan pelantikan Azmin menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim.
Surat daripada istana itu dihantar ke kediaman Azmin di Ampang hari ini dan jawatannya akan berkuatkuasa esok.
"Sehubungan itu, Tuan diminta hadir ke Istiadat Angkat Sumpah Jawatan dan Ikrar Aku Janji serta Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Yang Amat Berhormat Datuk Menteri Besar Selangor yang akan diadakan pada 23 September, jam 10.30 pagi di Istana Alam Shah, Klang," surat itu dipetik.
Pemimpin tertinggi PKR kini sedang bermesyuarat di Ibu Pejabat di Petaling Jaya, dipercayai sama ada mahu 'merestui' pelantikan Azmin sekali gus melupakan hasrat mahu menjadikan Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid.
Munir ketika dihubungi mengesahkan surat tersebut dihantar secara terus kepada Azmin, namun menafikan bertanggungjawab menyebarkan kandungan surat tersebut kepada umum.
"Saya hanya bagi surat itu kepada calon itu (Azmin). Orang dia yang sebarkan surat itu, itu bukan hak dan kawalan saya lagi, ikut dialah," katanya.
Azmin mula menjadi Adun Hulu Klang atas tiket PKR sejak 1999 sebelum bertukar ke kerusi Bukit Antarabangsa sejak Pilihan Raya Umum (PRU) ke-12 pada 2008.
Istana pada mulanya dijangka mengemukakan kenyataan media pada hari ini bagi mengumumkan nama calon yang akan mengangkat sumpah esok, tetapi membatalkannya pada saat akhir selepas dilarang Sultan.
Raptai penuh angkat sumpah dijangka diadakan malam ini di istana.
PKR sebelum ini berkali-kali menyatakan pendirian mereka untuk mencalonkan Dr Wan Azizah sebagai menteri besar tidak berubah seperti yang diputuskan dalam mesyuarat.
Parti itu juga memberi alasan Azmin tidak mendapat sokongan majoriti Adun yang akan melayakkannya menjadi menteri besar berbanding Dr Wan Azizah.
Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dalam mesyuarat Ahli Jawatankuasa (AJK) PAS Pusat pada 17 Ogos lalu mahu mencalonkan nama Azmin dan Dr Wan Azizah, tetapi mesyuarat Pakatan Rakyat (PR) pada sebelah petangnya sebulat suara memutuskan Adun Kajang itu sebagai calon tunggal.
Azmin juga dalam kenyataan terbukanya juga pernah menolak mentah-mentah pencalonan itu atas alasan menghormati Dr Wan Azizah sebagai presiden dan pendirian parti. – 22 September, 2014.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.