Lelaki Cina Selesa dengan Nama "Ali", Lupa Nama Asal
ALI bersama seorang daripada pelanggan tetap bengkelnya di Pasir Mas, Kelantan. |
Ali Terlupa Nama Asal
[Harian Metro] Pasir Mas: Nama tertera dalam MyKad ialah Lim Chung Chai, namun kerana terbiasa dengan panggilan Ali yang diberikan kepadanya sejak kecil, membuatkan lelaki berusia 53 tahun ini terlupa nama asalnya.
Anak jati Kelantan itu mengakui kadangkala tidak ingat nama asalnya kerana lebih senang dipanggil Ali, meskipun nama itu sinonim dengan orang Melayu.
Katanya, ahli keluarga sendiri turut memanggil nama Ali apatah lagi dia dibesarkan dalam komuniti Melayu dan mempunyai rakan karib dalam kalangan bangsa itu.
"Sejak kecili saya dipanggil Ali dan gelaran itu diberikan bapa kepada seorang rakan saya.
"Saya selesa dengan nama Ali, malah ahli keluarga juga memanggil saya begitu yang menyebabkan kadangkala lupa nama asal yang diberikan ibu bapa ketika lahir.
"Terlalu lama saya memakai nama Ali dan ia sudah sebati sangat dengan saya," katanya yang mengusahakan perniagaan membaiki kenderaan di bandar ini.
Dengan nama itu, Lim menyifatkan dirinya sebagai rakyat Malaysia sejati apabila tidak hanya terikat dengan budaya nenek moyang, sebaliknya mampu mendalami budaya bangsa lain terutama Melayu.
Bapa tiga anak itu berkata, hampir 90 peratus pelanggan dan rakan terdekatnya berbangsa Melayu sekali gus membolehkannya berkongsi adat dan budaya masing-masing.
"Orang kata ada apa pada nama tetapi, bagi saya nama adalah segala-galanya. Malah dengan nama juga saya boleh pupuk semangat perpaduan dan menjadi ejen yang menyedarkan masyarakat mengenai kepentingan kita untuk menjadi satu serta bukan memikirkan keuntungan bangsa sendiri semata-mata. -Mohd Nor Asri Yaacob/7/9/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.