Saya tak tuduh Khalid rasuah, tapi tidak ada ketelusan - Anwar Ibrahim
[The Malaysian Insider] Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim mempertahankan dakwaannya yang meragui ketelusan bekas menteri besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim meluluskan beberapa projek pembangunan termasuk isu penstrukturan industri air dan Lebuhraya Kinrara Damansara (Kidex).
Anwar berkata, perjanjian yang dibuat secara tergesa-gesa terhadap dua projek itu tanpa mendengar penjelasan rakyat menimbulkan persoalan sama ada wujud kepentingan sesetengah pihak yang mengaut keuntungan.
"Berebut hendak luluskan kontrak air sebab apa? Siapa yang dapat?
"Saya hendak tahu siapa yang dapat kontrak? Berapa banyak keuntungan dan kalau keuntungan itu terlalu banyak kepada dua dan tiga orang-orang atasan yang memperolehi kekayaan, apakah kesan itu dirasai oleh rakyat Selangor yang mesti bayar kadar air yang tinggi selepas ini?" katanya kepada pemberita selepas program Syarahan 'Memerangi Ekstrimis' di Universiti Selangor (Unisel) hari ini.
Khalid dalam reaksinya terhadap dakwaan Anwar sebelum ini mengalu-alukan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyemak perjanjian yang ditandatanganinya semasa beliau mentadbir negeri.
"Ini termasuk perjanjian air Selangor dan perjanjian pembangunan di Canal City. Peguam saya akan keluarkan kenyataan penuh berhubung hari ini," katanya.
Anwar bagaimanapun menafikan dakwaan yang dilemparkan terhadap Khalid itu seolah-olah ada unsur rasuah dalam perjanjian terbabit.
"Saya tidak tuduh rasuah, tetapi tidak ada ketelusan," katanya.
Bekas Penasihat Ekonomi Selangor yang dipecat semasa hari terakhir pentadbiran Khalid itu juga enggan mengaitkan dakwaannya yang bertentangan dengan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah yang memuji pentadbiran Khalid.
Sultan Sharafuddin dalam titahnya Jumaat minggu lalu turut menyifatkan Khalid sebagai 'mangsa' keadaan apabila PKR dan Pakatan Rakyat membuat 'Langkah Kajang' untuk menyingkirkannya sehingga menimbulkan krisis di negeri itu.
"Itu pandangan peribadi daripada Tuanku bahawa pentadbiran Khalid baik, saya hormat pandangan itu," katanya.
Katanya, beliau cuma mempersoalkan individu yang dianugerahkan kontrak daripada perjanjian, dan keputusan yang dibuat dalam masa singkat dan tertutup.
"Begitu juga dengan projek Lebuhraya Kidex, siapa yang dapat keuntungan penganugerahan tanah kepada Tan Sri Rashid Manaf juga perlu dijelaskan kenapa tidak ada tender.
"Ini soalan-soalannya yang perlu dikenalpasti. Saya tidak mahu diheret untuk berbicara dengan kontroversi kenyataan Sultan Selangor," katanya.
Beliau berkata, Menteri Besar Selangor Mohamed Azmin Ali dan kerajaan barunya perlu
mendedahkan perkara ini kepada umum supaya tidak dikaitkan dengan keputusan Khalid yang terdahulu.
Ditanya mengenai pengurangan kuota kerusi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Selangor PAS, Anwar berkata itu adalah keputusan Azmin sendiri.
"Ini adalah keputusan menteri besar selepas daripada perbincangan parti, kena bagi ruang kepada menteri besar untuk buat keputusan yang efisyen," katanya. – Jamilah Kamaruddin/29 September, 2014.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.