Gambaran Jelas Watak Nabi Adam & Hawa dalam Teater Muzikal "Antara...". Apa Respons Kita?
Saya petik tulisan wartawan Harian Metro (HM) tentang komennya terhadap teater muzikal Erma Fatima, iaitu "Antara...". Saya tidak menonton teater yang dideskripsikan sebagai sebuah teater bertemakan keagamaan dan dakwah ini. Oleh itu, tulisan di bawah ini hanyalah berpandukan tulisan wartawan tersebut bukan pengalaman saya menonton teater tersebut.
Persoalan yang ditimbulkan pada mulanya adalah tentang sejauh mana gambaran watak Nabi Adam dan Hawa dalam teater itu. Persoalan itu terjawab apabila wartawan itu menulis: Apa yang saya lihat di pentas adalah Fahrin Ahmad dan Nasha Aziz. Seorang berjubah labuh dan seorang lagi memakai legging dan skirt putih. Sedangkan umat Islam dilarang melakonkan/menggambarkan/melukis watak nabi kerana dikhuatiri gambaran yang dibuat tidak sama dengan realitinya. Kita marah apabila orang Denmark melukis gambar karikatur Nabi Muhammad, dalam hal ini apa alasan kita?
Selepas terjawabnya persoalan utama di atas, wartawan HM itu turut mendapati terdapat babak yang menggambarkan titian As- Sirat. Soal wartawan itu, bolehkah kita menggambarkan titian itu dalam lakonan biarpun hanya untuk tujuan dakwah? Selain itu, Erma seperti yang ditulis oleh wartawan itu turut menyelitkan satu babak orang alim yang kuat berzikir kepada Allah tetapi tewas kepada bisikan Iblis/syaitan. Sedangkan kita maklum orang yang kuat imannya tidak akan tersungkur oleh bisikan iblis laknatullah! Jadi wartawan itu menimbulkan persoalan, siapa yang hebat sebenarnya? Mengapa kejahatan perlu dimenangkan?
Saya tidak mahu komen lanjut kerana tulisan wartawan HM ini sudah memadai untuk mencetuskan tanda tanya.
Ironinya, menurut wartawan itu, teater ini telah ditonton oleh pihak JAKIM sebelum dipertontonkan kepada orang ramai. Persoalannya, Adakah JAKIM mengizinkan semua babak kontroversi di atas? Atau, adakah pementasan raptai semasa kehadiran wakil JAKIM tidak sama dengan pementasan yang dibuat di hadapan penonton?
Jadi berdasarkan laporan wartawan itu, apabila Ellie Suriaty menarik diri daripada menjadi pengarah teater ini dengan membangkitkan persoalan-persoalan di atas, saya rasa dia telah membuat keputusan yang betul! Jika benarlah apa-apa yang dilaporkan oleh wartawan ini, apakah respons kita sebagai umat Islam untuk membetulkan keadaan yang tidak betul?
Untuk pemahaman lanjut, sila baca petikan artikel di bawah ini:
KARPET MERAH: Perlukah ada babak itu?
Terus-terang beberapa minit pertama saya menonton teater Antara.. jantung saya bergetar. Saya ingin melihat sendiri sejauh mana babak yang dikatakan hanya bayangan 'Nabi Adam A.S. dan Hawa' itu diterjemahkan Erma. Pada tanggapan saya istilah bayang adalah seperti bayang legam tubuh kita jatuh ke dinding atau juga bayang wayang kulit jatuh ke tirai putih.
Rupanya tidak. Apa yang saya lihat di pentas adalah Fahrin Ahmad dan Nasha Aziz. Seorang berjubah labuh dan seorang lagi memakai legging dan skirt putih. Saya juga sengaja minta duduk di kerusi belakang sekali dengan harapan apa yang dilihat itu tidak akan jelas. Namun ia tetap nampak sebagai Fahrin dan Nasha yang rambutnya panjang.
Kononnya dalam babak itu, Adam dan Hawa sedang bersuka-sukaan sambil berlontar-lontaran madah pujangga. Kemudian datang si Iblis menggoda mereka untuk makan buah yang dilarang Tuhan dan selepas itu bermula kehidupan Adam dan Hawa yang dibuang ke dunia. Saya sedar ketika itu saya sedang menonton sebuah teater arahan orang kita di IB. Saya bukan menonton Charlton Heston sebagai Moses dalam filem Hollywood, The Ten Commandments atau mana-mana kisah Adam & Eve versi orang Barat.
Entahlah, saya tertanya-tanya sehingga ke hari ini, sejak bila pula orang Islam boleh melakon dan menggambarkan watak nabi? Setahu saya, filem Arab pun tidak pernah buat begitu dan kalau ada pun kisah nabi, ia hanya melalui suara bersabda bagi pihak baginda-baginda yang terpuji itu. Saya faham, pihak Jakim ada memantau raptai drama itu, tetapi saya tidak pasti adakah apa yang saya tengok pada malam akhir itu sama macam apa yang dipersembah pada malam raptai. Malah hendak menyiarkan foto watak itu dalam akhbar ini pun, saya tidak sanggup, sebab nanti tidak pasal-pasal surat khabar kena bakar.
Saya tidak ada sekelumit agenda pun hendak menjatuhkan Erma Fatima, tetapi sebagai sahabat dan penonton yang memegang pen dan kertas di Karpet Merah ini, saya tidak boleh tidak, menyuarakan kemusykilan yang terbuku di hati. Jika saya salah, usahlah segan silu untuk memperbetulkan saya kerana kita bukannya makhluk yang maksum. Hidup kena tegur menegur untuk kebaikan.
Selain itu, Erma turut menggambarkan titian yang amat digeruni yang bakal dilalui semua manusia apabila di alam barzakh nanti. Itu juga saya tidak tahu bolehkah kita menggambarkannya menerusi lakonan. Satu lagi babak yang membuatkan saya terfikir adalah orang alim yang sedang berzikir ayat al-Quran tetap tewas dengan godaan iblis dan syaitan. Kesannya terjadilah babak lelaki berserban dan berjubah yang akhirnya bergencok-gencok dengan 'iblis dan syaitan' macam ajaran sesat. Siapakah yang lebih hebat sebenarnya? Kenapa kejahatan perlu dimenangkan? Kita sedar teater sering kali dikaitkan dengan hal-hal metafora
atau simbolik. Apakah dalam bercerita mengenai insan terpilih di muka bumi ini, kita juga bebas memainkan unsur gambaran metafora dan terlepas atas tiket seni mahupun kesenian? Bagi saya, teater Antara... masih boleh berjaya sekalipun tanpa babak kontroversi yang saya sebutkan itu. Kenapa perlu ada penyanyi seksi ala Mulan Jameela dengan lagu Makhluk Tuhan Paling Seksi terselit di celah kisah agama seperti itu? Erma masih bergantung kepada keghairahan? Bagi saya, masih ada lagi cara lain untuk orang seni berdakwah seperti menggunakan elemen
pencerita atau narrator. Mungkin juga cara itu sudah lapuk bagi Erma Fatima. Mungkin....- Roslen Fadzil
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.