JAKIM Dakwa Tidak Iktiraf Bir Halal, Pengedar "Barbican" Dakwa Kerugian
Saya petik:
[Kosmo] Kuala Lumpur - Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menegaskan pihaknya tidak pernah mengeluarkan sijil halal kepada pengeluar produk minuman 'bir halal' di negara ini.
Ketua Pengarahnya, Othman Mustapha berkata, Jakim juga tidak mengiktiraf sijil halal daripada syarikat produk minuman yang diimport dari negara Timur Tengah itu.
"Ini kerana produk minuman berkenaan tidak menepati piawaian dan prosedur makanan halal mengikut Standard Halal Malaysia MS 1500:2009," jelasnya dalam satu kenyataan di sini semalam.
Beliau mengulas laporan akhbar mengenai penjualan produk minuman jenis bir yang kononnya halal dan banyak dijual di restoran tumpuan umat Islam termasuk yang menghidangkan sajian nasi Arab.
Berdasarkan kajian, ada produk yang diimport dari negara Arab itu didakwa mempunyai kandungan alkohol 0.05 peratus dan adalah haram diminum oleh pengguna Islam kerana melepasi had 0.01 peratus yang ditetapkan oleh Majlis Fatwa Kebangsaan.
‘Kami kerugian’
BUKTI...Ahmad menunjukkan sijil halal yang diperoleh daripada IFRC Asia.
[HM] KUALA LUMPUR: “Sebagai seorang Islam tidak mungkin kami menjual minuman tidak halal kepada saudara seagama,” kata Pengarah Suria Wholesaler Sdn Bhd, Ahmad Al Yateem, pengedar minuman malta berjenama Barbican yang dikaitkan dengan bir halal yang kini dipersoalkan kandungan alkohol di dalamnya.
Ahmad berkata, jualan Barbican yang sudah berada dalam pasaran tempatan sejak enam tahun lalu terjejas teruk sejak timbul isu minuman bir halal mempunyai kandungan alkohol sehingga 0.5 peratus melebihi kadar yang dibenarkan untuk pengguna Islam.
Menurutnya, Barbican tidak pernah dilabelkan sebagai bir halal selama ini sebaliknya hanya minuman malta berperisa buah-buahan.
“Bagaimanapun sejak isu itu timbul banyak media menggunakan gambar Barbican sehingga mengelirukan pengguna.
“Saya ingin tegaskan Barbican tidak mengandungi alkohol malah anda boleh temui minuman ini dijual di Masjidil Haram di Makkah untuk umat Islam di sana,” katanya.
Ahmad berkata, Barbican dikeluarkan syarikat Aujan Industries Co yang berpusat di Dubai dan dipasarkan di seluruh negara Arab selain Asia serta Eropah untuk pengguna Islam.
“Kami mempunyai sijil daripada Kementerian Kesihatan Dubai, sijil untuk eksport dan sijil halal daripada Islamic Food Research Centre Malaysia & Asia Region (IFRC Asia). Kami sama sekali tidak menjual minuman yang mengandungi alkohol kepada umat Islam.
Dia bagaimanapun mendakwa isu itu mungkin timbul disebabkan persaingan berikutan Barbican semakin menjadi pilihan umat Islam di negara ini.
“Saya tidak tahu sama ada minuman yang dikatakan bir halal yang dijual di sini mengandungi alkohol atau tidak tetapi apabila ada pihak mengaitkan dakwaan itu dengan Barbican sudah tentu ia menjejaskan perniagaan kami.
“Isu ini mungkin juga disebabkan persaingan namun saya tidak mahu menuduh sesiapa dan pada masa sama saya juga merancang untuk bertemu pihak Jabatan Kemajuan Islam (Jakim) bagi menyelesaikan kekeliruan ini,” katanya.
P/s: Sila nyatakan jenama bir yang dikenal pasti mengandungi alkohol berlebihan bagi mengelakkan kekeliruan dan salah faham.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.