Diseksa kerana SIAL
Saya petik:
[HM] ULU TIRAM: Seorang kanak-kanak perempuan dianggap pembawa sial kerana berpenyakit kulit sejak dilahirkan, dilayan lebih teruk daripada haiwan dan menjadi mangsa deraan bapa kandungnya di Taman Puteri Wangsa di sini, sejak lebih 10 tahun lalu.
Bapa kanak-kanak berusia 12 tahun itu bukan saja memukulnya menggunakan kayu serta topi keledar, malah kanak-kanak malang itu dicucuh dengan besi panas.
Bagaimanapun, perlakuan kejam lelaki berusia 40-an itu terdedah selepas mangsa yang hanya dikenali sebagai Shatini mengadu nasib malang menimpanya kepada jiran sebelum diselamatkan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), tengah hari semalam.
Shatini yang menghidap penyakit kulit di kaki dan tangan didapati mempunyai 20 kesan luka lama dipercayai akibat penderaan fizikal.
Menurut Shatini, bapanya memberi alasan dia diperlakukan sedemikian kononnya untuk mendidiknya lebih berdisiplin.
“Saya sudah lali dengan sikap panas baran bapa yang kerap memukul, menendang, memijak dan memaki hamun saya menggunakan perkataan lucah hampir setiap hari setiap kali pulang kerja.
“Berbeza dengan adik perempuan yang berusia lapan tahun, ibu dan bapa memanjakan dan menyayanginya kerana dia tidak memiliki sebarang kecacatan seperti saya,” katanya.
Shatini diberhentikan sekolah ketika tahun lima mendakwa, penderaan terbaru dialaminya kelmarin, selepas ibu bapanya bertengkar.
Menurutnya, bapanya yang menuduh dia punca masalah itu memanaskan besi sebelum menekap besi itu pada tumitnya.
“Selepas itu, ibu (berusia 30-an) pula memukul saya menggunakan paip PVC pada paha,” katanya.
Menurut anak sulung daripada dua beradik itu, sejak lebih setahun lalu, dia diarah tinggal di rumah dan membersihkan rumah ketika bapa serta ibunya keluar bekerja di Singapura.
“Bapa bekerja di bahagian pembersihan manakala ibu sebagai pengawal keselamatan. Saya hanya dibenar makan nasi dan lauk yang disimpan berhari-hari, kononnya bagi menjimatkan perbelanjaan.
“Ibu dan bapa mengatakan ia perlu dilakukan supaya mereka boleh mengumpul wang bagi mengubah suai rumah,” katanya.
Menurut Shatini, dia pernah bersekolah di sekitar bandar raya ini sehingga tahun empat sebelum dihantar ke Butterworth, Pulau Pinang, untuk tinggal bersama saudara ibu serta bersekolah di sana.
Bagaimanapun, ia hanya untuk setahun sebelum dibawa pulang ke Johor awal tahun lalu, dengan alasan mahu disekolahkan di sini.
“Itu semua hanya alasan kerana sebenarnya saya dijadikan tempat bapa melepaskan geram,” katanya....- Mary Victoria Dass
P/s: Siapa yang sial?
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.