SKMM Batal Lebih 700 000 Nombor Telefon, Apa Sudah Jadi dengan Tujuan Asal Pendaftarannya?
Apa sudah jadi???
Jika disorot kembali tujuan pihak berkuasa mewajibkan pendaftaran nombor telefon bimbit prabayar adalah kerana faktor keselamatan. Berdasarkan berita Bernama sekitar Jun 2006, aktiviti dan serangan puak yang dilabelkan pengganas oleh Barat serta kaitannya dengan telefon bimbit menjadi pendorong utama pihak berkuasa di serata dunia mengambil langkah mewajibkan pengguna telefon bimbit prabayar mendaftar nombor masing-masing.
Peristiwa penahanan anggota al-Qaeda melalui operasi Mont Blanc sekitar Mac 2004 seperti yang dilaporkan oleh akhbar the New York Times menjadi antara peristiwa penting langkah pendaftaran nombor telefon. Pihak berkuasa AS mendakwa berjaya menjejaki mereka berdasarkan satu perkhidmatan telefon bimbit prabayar di Switzerland.
Sebulan kemudian, insiden pengeboman keganasan yang tercetus di Madrid, Sepanyol, dikaitkan dengan sebuah paket yang dilaporkan mengandungi telefon bimbit prabayar yang diikat pada plastik bahan letupan dan disembunyikan dalam beg sukan. April tahun 2005 pula, tiga pengeboman serentak berlaku di Songkhla, Thailand dan ketiga-tiga bom itu dilaporkan diledakkan menggunakan telefon bimbit, berkemungkinan dengan kad SIM prabayar.
Menyedari hakikat itulah, seperti yang dilaporkan Bernama, perkhidmatan telefon bimbit prabayar telah menarik perhatian penguat kuasa undang-undang dan pertubuhan keselamatan negara, sesetengahnya mahu melihat langkah-langkah kawalan diwujudkan bagi membendung anasir-anasir negatif yang menggunakan telefon bimbit prabayar tanpa menggunakan nama.
Justeru, beberapa buah negara yang memiliki sistem telefon bimbit prabayar seperti Malaysia, Indonesia, Singapura, Australia, Switzerland, Taiwan dan Thailand telah melaksanakan atau sedang melobi untuk mendapatkan keperluan pendaftaran bagi perkhidmatan itu.
Berkuat kuasa 1 Januari 2006, semua pengguna telefon bimbit prabayar yang baru atau yang sedia ada di Malaysia dikehendaki mendaftar dengan pembekal perkhidmatan telefon bimbit prabayar masing-masing. Para pengguna baru perlu mendaftarkan butiran-butiran mereka ketika membeli kad SIM manakala pengguna sedia ada perlu juga berbuat demikian sebelum 15 Disember 2006.
Berdasarkan prosidur, pelanggan dikehendaki mendaftar nombor telefon bimbit mereka dengan pembekal talian telefon. Hanya pelanggan prabayar berusia 12 tahun dan ke atas sahaja yang boleh mendaftar. Ibu bapa atau penjaga akan mendaftarkan untuk anak-anak mereka yang berusia 12 tahun ke bawah dan pelanggan prabayar juga TIDAK BOLEH mendaftar untuk orang lain.
Masalahnya sekarang, mengapa proses pendaftaran ini berjaya disalahgunakan oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk lintah darat ah long? Bayangkan 741 RIBU nombor telefon dibatalkan membabitkan iklan haram dibatalkan perkhidmatan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia sehingga 2010. Apa sudah jadi dengan tujuan asal pendaftaran nombor telefon bimbit? Jika begini halnya, maka sia-sialah kerajaan mewajibkan pendaftaran nombor telefon bimbit kerana terbukti, proses pendaftaran ini boleh diselewengkan.
Yang kita kesalkan, kerajaan melalui agensi terbabit hanya membatalkan sahaja nombor telefon itu tanpa membuat siasatan dan langkah proaktif untuk menangani masalah ini? Mengapa tiada siasatan dan tindakan tegas diambil terhadap pembekal talian kerana cuai mendaftarkan pengguna palsu dan sebagainya? Mengapa tiada tindakan lanjut untuk memastikan proses pendaftaran ini selamat dan tiada pihak yang teraniaya kerana dipergunakan oleh sindiket lintah darat yang tampaknya sehingga hari ini masih bermaharajalela di negara kita- DCM
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.