Mengapa PAS Tidak Sesuai Berada dalam Pakatan Rakyat 2.0?
1. Saya dan rakan rakan dari Parti Amanah Negara sesungguhnya amat gembira dan terharu dengan sikap yang ditunjukkan oleh Dato Seri Anwar Ibrahim yang memberikan sokongan yang padu kepada wujudnya parti Islam baru atas nama Parti Amanah Negara sepertimana perutusan beliau dari penjara Sg Buluh bertarikh 1 hb September 2015.
2. Sudah tentu perutusan DSAI tersebut memberi suntikan baru kepada parti islam baru yang kami tubuhkan ini kerana semua tahu DSAI adalah satu figur dan nama besar dalam politik negara ini yang telah membawa satu reformasi politik yang menakjubkan kepada rakyat negara ini sekaligus berjaya mengubah lanskap politik negara ini.
3.Amat malang kerana politik balas dendam,kotor dan jijik Barisan Nasional rakyat dijauhkan secara fizikalnya dari DSAI bagi terus mengemudi kebangkitan rakyat menumbangkan BN. Namun jiwa, semangat dan ruh perjuangan beliau tidak mampu BN penjarakan dan ia terus menyalakan obor perjuangan bagi menentang kebobrokan dan salah guna kuasa BN.
4. Semasa kami berada dalam Pas dan semasa Pas masih berada dalam Pakatan Rakyat ,kami tidak pernah sangsi dan ragu dengan kepimpinan DSAI menerajui PR. Meskipun wujudnya elemen elemen tertentu dalam Pas dalam waktu waktu tertentu cuba menyemai keraguan terhadap kepimpinan beliau kami yakin keraguan itu tidak berasas sama sekali. Sejak Anwar diperlakukan secara kejam dan brutal oleh rejim BN saya sendiri telah menulis, berceramah, berforum ,berdemo dan melakukan banyak lagi perkara bagi mempertahankan DSAI. Saya pohon dari Allah dari sifat riya' namun sejarah boleh membuktikan di Parlimen banyak kali saya bersuara menentang kezaliman Umno/BN ke atas DSAI hingga saya dan kawan kawan digelar oleh parti sendiri sebagai Anwarinas dan pelbagai label lagi.
5. Saya dan kawan kawan juga sanggup dilabel ,difitnah dan dicerca oleh rakan rakan sejemaah atau parti sendiri kerana bersuara lantang mempertahankan Anwar, sahabat sahabat PKR dan Dap demi menjaga kelangsungan Pakatan Rakyat. Ianya berakhir dengan kami semua dinyahkan secara hina daripada saf kepimpinan Pas dalam Muktamar Pas yang lalu.
6.Pokoknya kami telah lakukan apa sahaja di dalam dan luar parti bagi mempertahankan PR. Namun gelombang dalam Pas yang mahukan elemen elemen dalan Pas yang pertahankan PR dinyahkan amat kuat dan malangnya disokong oleh mereka yang duduk di kepimpinan tertinggi Pas sendiri.
7. Apa yang boleh saya simpulkan bila kami mencetuskan Harapan Baru yang mencetuskan pula Parti Amanah Negara ianya dilakukan atas penuh kesedaran bahawa Pas, melalui pengalaman yang panjang dalam Pas, tidak benar benar menghayati tahaluf siyasi dengan Dap dan Pkr dalan wadah PR . Malahan Pas sebenarnya tidak begitu selesa kerana merasakan tidak dapat atau mampu mendominasi PR. Sedangkan bagi kami, isu pendominasian tidak seharusnya wujud dalam PR kerana "we are equal partners ( rakan kongsi yang setara )
8.Ini bermakna jika sekalipun Parti Amanah Rakyat tidak wujud dan andaikata PR masih wujud antara Pas, Pkr dan Dap, kewujudan PR itu bukan sahaja tidak akan memberi nilai tambah kepada PR dalam pilihanraya umum akan datang malahan saya berani katakan PR akan reput dengan gaya dan stail politik Pas dan kesannya rakyat bukan sahaja akan menghukum Pas ,malahan Dap dan PKR juga akan dihukum bersama.
9. Bertolak dari situ, kami percaya sekiranya PR baru atau Pakatan Rakyat 2.0 ingin diwujudkan semula , maka amat perlu parti parti yang membentuk komposisi PR tersebut menghayati prinsip prinsip dan pendirian pendirian bersama yang telah diputuskan secara konsensus. PR 2.0 mesti memfokuskan kehendak rakyat bukan kehendak parti parti yang menganggotai PR 2.0.Apa yang lebih penting segala keputusan yang diambil mestilah dibuat secara konsensus dan tiada mana mana parti yang cuba mendominasi PR tersebut.
10. DSAI atas kebesaran jiwanya dan sikap keterbukaanynya menyeru supaya permuafakatan politik yang baru hendaklah merangkumi PKR,DAP, Parti Amanah Negara dan PAS. Meskipun semua tahu bagaimana sikap Pas terhadap Anwar dan PKR seperti isu kerusi Dun Kota Damansara dan Dun Sg Acheh, isu pelantikan MB Selangor,isu kritikan Presiden Pas atas Datin Seri Wan Azizah , isu pemboikotan Pas piliihanraya kecil Permatang Pauh dan banyak lagi,Anwar masih mampu menunjukkan jiwa besarnya terhadap Pas. Malangnya Pas dalam program program tertutup masih terus menyalahkan DSAI khususnya dalam isu Kajang Move.
11. Apa pun, dengan penuh hormat kepada DSAI, saya dengan rendah diri memohon berbeza pendapat dengan beliau dalam soal keperluan melibatkan Pas dalam permuafakatan baru politik pembangkang.
12. Saya tidak yakin permuafakatan politik baru yang melibatkan PKR, DAP , PARTI AMANAH NEGARA dan PAS akan wujud. Saya tidak pernah berdendam atau benci dengan Pas , namun saya percaya kita harus realistik. Maka saya penuh yakin, mengambil kira realiti politik sekarang, keberadaan PAS dalam permuafakatan politik baru atau PR 2.0 bagi menggantikan PR tidak akan menguntungkan mana mana parti dalam PR 2.0 itu nanti. Bagi saya dengan sikap, gaya politik dan stail saf kepimpinan Pas yang ada sekarang saya tidak rasa Pas adalah aset kepada PR 2.0. Gaya dan stail politik Pas ,dengan penuh hormat, bukan gaya dan stail politik berkawan sebaliknya ia stail politik " lone ranger". Kenyataan ramai pimpinan Pas adalah jelas Pas tidak kisah menang atau kalah pilihanraya jadi bagaimanakah nak ditubuhkan satu pakatan politik yang ingin memenangi pilihanraya jika ada parti dalan komponen pakatan itu tidak kisah menang atau kalah pilihanraya ?
13. Saya juga tidak nampak bagaimanakah DAP boleh menerima keberadaan PAS dalam PR 2.0 setelah apa yang DAP rasai dalam PR dulu. Saya juga tidak nampak bagaimanakah pengundi pengundi bukan Islam boleh menyokong PR 2.0 jika Pas berada dalam PR 2.0 tersebut. Pendirian Pas dalam Bersih 4, pada hemat saya,menjadi suatu testimoni baru kepada rakyat bukan Islam untuk terus menolak Pas dan apakah jaminan mereka tidak akan menolak PR 2.0 jika Pas berada di dalamnya.
14 Ya ,benar PR 2.0 perlukan lonjakan beberapa peratus lagi undi melayu bagi mendapat kuasa di Putrajaya atas andaian status quo pengundi bukan Islam khususnya cina akan terus menyokong PR. Maka mungkin atas dasar itu ada yang melihat Pas perlu dilibatkan dalam PR 2.0' kerana tradisinya Pas disokong oleh orang melayu dan bertanding di banyak kerusi bermajoriti orang melayu.
15. Hakikatnya , Pas banyak menang di kerusi yang campuran kerusi melayu dan bukan melayu kecuali di Negeri Kelantan.Di kerusi yang majoriti orang melayu calon calon Pas masih sukar untuk menang. Justeru itu jika Pas dilibatkan dalam PR 2.0 dan turut bertanding di kerusi yang jumlah peratusan pengundi bukan melayunya agak substantif maka bukan sahaja di atas kertas ia akan kalah kerana sikap pengundi bukan melayu yang jelas ke atas Pas malahan yang lebih membimbangkan kerusi kerusi Dap dan PKR juga akan menerima kesan yang besar melalui hukuman yang pengundi bukan melayu kenakan kerana melibatkan Pas dalam PR 2.0
16. Saya menyimpulkan Pakatan Rakyat atau PR 2.0 hanya viable jika Pas tidak dilibatkan sebaliknya ianya hanya meliputi PKR, DAP dan Parti Amanah Rakyat sahaja. Biarlah Pas dengan politik solonya dan tidak diganggu untuk membawa agenda solonya secara solo .
17. Maaf DSAI dan sahabat sahabat PKR yang saya amat sayangi ,saya mohon berbeza pandangan .
MOHAMED HANIPA MAIDIN
PARTI AMANAH NEGARA
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.