Lajim & Kasitah Gaddam Nafi Sertai Pembangkang
Anggota Parlimen Beaufort itu berkata khabar angin tersebut tersebar kerana beliau pernah mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan pemimpin dari parti lain di Sabah bagi membincangkan dan menyelesaikan masalah rakyat.
"Saya bercakap begitu (berjumpa dengan pemimpin lain di Sabah) supaya ada penambahbaikan, ada jaminan dan ada perubahan dari segi kepimpinan di peringkat negeri, dari segi approach dan harapan rakyat sebelum pilihan raya umum ke-13," katanya kepada pemberita di lobi Parlimen di sini.
Semalam Malaysiakini melaporkan khabar angin kononnya Anggota Majlis Tertinggi Umno itu, dan Timbalan Presiden Pertubuhan Pasokmomogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Datuk Wilfred Bumburing akan menyertai majlis anjuran Parti Keadilan Rakyat (PKR), sekali gus menyertai pembangkang.
Lajim berkata melalui perbincangan seumpama itu pelbagai perkara penting berkenaan masalah dan kebajikan rakyat Sabah dapat diketahui.
"Rakyat meletakkan harapan yang besar kepada kerajaan negeri dan persekutuan dalam menangani apa juga masalah dihadapi mereka, contohnya di peringkat saya seperti masalah air dan banjir yang tidak sudah-sudah dialami rakyat...ini semua saya suarakan demi rakyat," katanya.
Mengulas mengenai penubuhan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menangani masalah pendatang asing tanpa izin di Sabah yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak awal bulan ini, beliau berkata rakyat di negeri itu perlu diberi kefahaman yang jelas berkenaannya.
"Setelah RCI diumumkan mungkin rakyat Sabah mahu tahu berkenaan apa tindakan susulan yang diumumkan mengikut term of reference? (terma rujukan)...mestilah ada tindakan awalan dan apa yang perlu dibuat yang jelas," katanya.
Sementara itu di RANAU, bekas Menteri Tanah dan Pembangunan Koperasi Tan Sri Kasitah Gaddam menafikan dakwaan kononnya beliau antara pemimpin Sabah yang akan menyertai Parti Keadilan Rakyat (PKR) dari barisan pembangkang.
"Tidak benar sama sekali bahawa saya berhasrat untuk menyertai mana-mana parti pembangkang," katanya kepada Bernama. Beliau mengulas laporan akhbar dan berita portal mengenai hal tersebut.
Selain Kasitah, laporan itu pada Sabtu turut menyebut beberapa pemimpin lain yang bakal menyertai PKR termasuk bekas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Osu Sukam, bekas Timbalan Ketua Menteri dan Adun Banggi Datuk Amir Kahar Mustapha, dan naib presiden Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) Senator Datuk Maijol Mahap.
Sambil menyifatkan laporan itu tidak tepat, Kasitah yang juga bekas anggota Parlimen Kinabalu (sekarang Parlimen Ranau) berkata: "Saya akan meneruskan perjuangan bersama-sama UMNO-Barisan Nasional demi kepentingan dan masa depan rakyat dan negeri Sabah," katanya.
usahlah dirayu pada yg tak sudi......pinggan tak retak ..nasi tak dingin..org tak hendak..kita pun tak hingin.....bye222...
Comment by Tanpa Nama @ Isnin, Jun 11, 2012 4:47:00 PTG