Majoriti Remaja Bukan Melayu Tidak "Fasih" Berbahasa Kebangsaan. Siapa yang Mahu Menafikan Persoalan Ini?
Isu ini bukanlah isu baru. Saya pernah menulis artikel berkaitan, iaitu "Pinggirkan Bahasa Kebangsaan: Layakkah Anda Digelar Warganegara".
Saya bersetuju dengan pandangan Prof Dr Teo Kok Seong, yang saya kenali (nama dan orangnya) sewaktu berkhidmat dengan sebuah badan berkanun. Beliau merupakan antara tokoh pejuang bahasa Melayu bukan Melayu yang saya kagumi. Begitu juga tokoh sastera Dr Lim Swee Tin & isteri, Uthaya Sankar SB, dan beberapa nama lain yang gigih memartabatkan bahasa kebangsaan. Kata Prof Dr Teo Kok Seong, "Remaja dan belia bukan Melayu lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris dan lebih menyedihkan, mereka langsung tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu sebenarnya.”
Memang benar, majoriti remaja bukan Melayu semakin tidak fasih (fahami maksud "fasih") berbahasa kebangsaan. Lebih menyedihkan apabila warga asing dari Pakistan, Bangladesh, dan sebagainya dapat menguasai dan bertutur dengan fasih bahasa kebangsaan selepas tinggal di sini antara 5 hingga 6 tahun. Bayangkan, remaja bukan Melayu yang dilahirkan dan menerima pendidikan di negara ini gagal bertutur dengan fasih bahasa negaranya sendiri!
Siapa yang mahu menafikan hal ini?
Saya petik:
[HM] KUALA LUMPUR: “Penggunaan Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar di sekolah perlu diteruskan hingga ke peringkat institusi pengajian tinggi,” kata Ketua II Gabungan Persatuan Penulis Nasional Malaysia (Gapena), Prof Datuk Dr Abdul Latif Bakar ketika berhujah di Majlis Pelancaran dan Forum Jati Diri di sini, semalam.
Katanya, rakyat Malaysia perlu yakin dengan kebolehan Bahasa Melayu dan memartabatkannya sehingga peringkat tertinggi bagi memastikan kedudukannya sebagai bahasa kebangsaan terpelihara.
“Keputusan kerajaan menukarkan kembali penggunaan Bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar bagi mata pelajaran Sains dan Matematik kepada Bahasa Melayu di sekolah adalah sangat bijak.
“Saya harap semua pihak mengambil inisiatif seumpama ini dalam usaha menjaga identiti Bahasa Melayu dan tidak mencampur adukkannya dengan bahasa asing sewenang-wenangnya,” katanya.
Forum bertajuk 1Malaysia dalam Konteks Perlembagaan itu bertujuan membincangkan secara khusus mengenai konsep 1Malaysia dalam aspek Perlembagaan, agama, bahasa dan sebagainya oleh pakar pelbagai bidang.
Pengarang Kumpulan Berita Harian, Datuk Mior Kamarul Shahid bertindak sebagai moderator pada majlis itu.
Felo Penyelidik Utama Institut Alam dan Tamadun Melayu (Atma), Prof Dr Teo Kok Seong berkata, remaja dan belia bukan Melayu negara ini kini dilihat kurang fasih bertutur dalam Bahasa Melayu. “Remaja dan belia bukan Melayu lebih selesa bertutur dalam Bahasa Inggeris dan lebih menyedihkan, mereka langsung tidak tahu bertutur dalam Bahasa Melayu sebenarnya,” katanya yang turut berhujah pada forum berkenaan.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.