Adakah Kerajaan Buat Perjanjian Ambil Guru Bahasa Inggeris dari India?
Sekadar hiasan. |
[MK] Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin ketika mengumumkan Pelan Pembangunan Pendidikan Negara (NEB) berkata Kementerian Pendidikan telah menjadikan Bahasa Inggeris sebagai subjek wajib lulus SPM bermula pada 2016.
Namun, tiada pelan khusus dinyatakan untuk menaiktaraf mutu guru bahasa Inggeris di negara kita ke arah merealisasikan matlamat tersebut.
Semalam, Menteri Pendidikan II Datuk Seri Idris Jusoh berkata 70 peratus daripada 60,000 guru Bahasa Inggeris, yang menduduki peperiksaan, English Language Cambridge Placement Test, mencatatkan keputusan yang rendah.
Ini bermakna kira-kira dua pertiga guru Bahasa Inggeris di negara ini telah diklasifikasikan sebagai 'tidak berupaya' atau 'tidak layak' untuk mengajar subjek berkenaan di sekolah.
Mungkinkah perkara ini boleh diselesai menjelang 2016? Bagaimana pula dengan para pelajar, terutamanya mereka di luar bandar untuk menyediakan diri menghadapi subjek Inggeris wajib lulus dari sekarang ke 2016 dengan kualiti guru bahasa Inggeris yang ada kini?
Apakah kerajaan sudah ada penyelesaian kepada masalah ini, tapi masih dirahsiakan kerana pemilihan Umno yang semakin dekat?
Pada 20 Disember 2012, semasa lawatan ke India, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak berkata beliau telah “bawa untuk pertimbangan kepada Perdana Menteri India, Dr Manmohan Singh” untuk Malaysia menerima sejumlah guru dari India yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk mengajar pelajar kita.
Beliau berkata Manmohan menyambut baik cadangan itu dan akan mengarahkan menteri yang berkenaan mengadakan perbincangan dengan kementerian pelajaran untuk merealisasikan hasrat itu.
Dengan keyakinan kerajaan untuk menjadikan bahasa Inggeris sebagai subjek wajib, PAS ingin bertanya apakah langkah mengambil guru India ini solusi yang dirahsiakan?
Apakah kerajaan telah membuat perjanjian dengan kerajaan India sebelum NEB diumumkan lagi?
Apakah langkah membuat bahasa Inggeris sebagai subjek wajib sekadar untuk kepentingan komisyen golongan tertentu yang dipertanggungjawabkan untuk mengimport guru-guru dari India ini?
Baru-baru ini, kita dikejutkan dengan pengumuman Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi bahawa 1.4 juta warga Bangladesh akan dibawa masuk bagi mengisi peluang pekerjaan di negara ini.
Berapa ramaikah guru-guru dari India akan dibawa masuk sekiranya perjanjian dengan kerajaan India sudah dimeterai? Bagaimana skim gaji mereka? Berapa lama kontrak mereka? Apakah mereka akan diberi kerakyatan selepas tempoh tertentu? Apakah kemasukan mereka akan menindas guru-guru yang ada?
Bagaimana pula dengan nasib 42,000 guru Bahasa Inggeris yang lemah kini?
Kerajaan sepatutnya melabur untuk meningkatkan kualiti guru Inggeris tempatan dan bukannya melabur pada negara India dan memberikan pekerjaan pada warga asing tatkala rakyat disuruh berjimat dengan pengurangan subsidi.
Jika tidak benar bahawa guru-guru daru India akan diimport masuk, kementerian pendidikan harus mengemukakan satu pelan untuk mengatasi kekurangan guru bahasa Inggeris berkualiti yang dihadapi kini.
PAS menuntut kerajaan memberikan penjelasan segera dalam hal ini. -TUAN IBRAHIM TUAN MAN adalah ketua penerangan PAS pusat.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.