Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak MENINGGAL DUNIA
Lapor HD, Bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak kembali ke rahmatullah jam 11.10 pagi ini di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini.
Jenazah almarhum akan disemadikan di Muasasah Darul Ulum, di sini petang ini. -26/9/13
P/s: Takziah kepada keluarganya. Semoga Allah SWT mencucurkan rahmat ke atas rohnya dan menempatkan rohnya dalam kalangan orang yang beriman.
Jenazah bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Azizan Abdul Razak diusung ke dalam van dari Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, untuk disembahyangkan di Masjid Nurul Ihsan sebelum disemadikan, Khamis. Azizan, 69, meningggal dunia di hospital tersebut pagi Khamis, selepas lebih empat bulan mengalami masalah kesihatan yang serius. -fotoBERNAMA
Kemas Kini:
Azizan Meninggal Dunia Akibat Jangkitan Darah, Kegagalan Organ
[Mstar] ALOR SETAR: Timbalan Pengarah (Perubatan) Hospital Sultanah Bahiyah Dr Noor Zaini Morad berkata bekas Menteri Besar Kedah Tan Sri Azizan Abdul Razak meninggal dunia akibat jangkitan darah dan beberapa kegagalan organ untuk berfungsi.
Beliau berkata Azizan, 69, meninggal dunia pada pukul 11.05 pagi, Khamis.
Dr Noor Zaini berkata keadaan Azizan bertambah buruk pada pagi Rabu selepas mengalami serangan jantung.
"Beliau mengalami serangan jantung tetapi kita mampu menstabilkan beliau. Ia bukan disebabkan jangkitan darah semata-mata akibat kaki yang dipotong tetapi disebabkan sistem imunisasi yang lemah," kata beliau.
Beliau berkata Azizan berada dalam keadaan stabil apabila beliau mula dipindahkan ke hospital itu bulan lepas tetapi kerana pelbagai komplikasi kesihatan, keadaannya semakin teruk.
"Azizan mengalami peringkat akhir kegagalan buah pinggang dan juga masalah hati dan matanya. Kami telah memberikan rawatan terbaik kepadanya tetapi antibodi beliau sudah lemah," katanya.
Sementara itu, Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustapa Ali ketika ditemui berkata kematian Azizan adalah satu kehilangan kepada parti dan juga kepada beliau secara peribadi.
Mustapa, yang berada di Alor Setar sejak Rabu, menyifatkan Azizan sebagai kawan rapat di dalam dan luar parti. - 26/9/13
Orang Ramai Berpusu-pusu Menziarahi Jenazah
[HD] KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Abdul Halim Mu'adzam Shah ibni Almarhum Sultan Badlishah akan berangkat menziarahi bekas Menteri Besar Kedah, Tan Sri Ustaz Azizan Abdul Razak yang kembali ke rahmatullah, petang ini.
Setiausaha Khas Azizan, Muzaini Azizan, Sultan Abdul Halim akan tiba sekitar jam 3.30 petang di Markas PAS Pokok Sena, Jalan Langgar, di mana jenazah almarhum ditempatkan ketika ini.
Harakahdaily dimaklumkan, jenazah almarhum akan ditempatkan di markaz tersebut sehingga selesai solat jenazah dan solat Asar, sebelum dikebumikan di Muassasah Darul Ulum.
Dalam pada itu, Muzaini berkata suasana di markaz PAS tersebut mula dipenuhi orang ramai yang ingin memberikan penghormatan terakhir kepada almarhum.
"Keadaan di sini sudah mula sesak, dengan anggaran ribuan orang mula datang menziarah. Suasana pilu turut dirasai dengan pemergian almarhum," kata beliau ketika dihubungi Harakahdaily, sebentar tadi.
Sebelum itu, jenazah almarhum dimandikan dan dikafankan di Hospital Sultanah Bahiyah (HSB).
Kemudian, jenazah di bawa ke Markaz PAS Pokok Sena dengan diiringi beberapa peronda polis.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kedah, Datuk Mukhriz Mahathir turut menziarahi almarhum pada jam 11.40 pagi tadi.
Sementara itu, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengucapkan takziah kepada keluarga Almarhum melalui laman Twitternya.
"Al-Fatihah. Takziah kepada keluarga Tan Sri Azizan Abdul Razak atas pemergian arwah, semoga roh beliau dicucuri rahmat," kata beliau yang kini berada di Amerika Syarikat.
Almarhum kembali ke rahmatullah pada jam 11.10 pagi ini di HSB di sisi ahli keluarganya dan pimpinan PAS di peringkat pusat dan perhubungan negeri, antaranya Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali.
Sebelum ini, bekas Pesuruhjaya Pas Kedah itu dimasukkan ke Hospital Pulau Pinang (HPP) selepas mendapat jangkitan kuman di kaki dan menerima rawatan di Kedah Medical Centre (KMC) pada awal Mei lalu.
Bagaimanapun kedua-dua belah kakinya terpaksa dipotong pada 9 Mei lalu di HPP akibat jangkitan kuman, dan kemudiannya dipindahkan ke HSB pada 14 Ogos lalu selepas tahap kesihatannya dilihat memuaskan walaupun masih ditempatkan di ICU.
Hujung bulan lalu, almarhum menunjukkan perkembangan positif apabila doktor mula menukar tiub pernafasan, selain mula bersuara biarpun masih perlahan, bagaimanapun ia mula merosot sejak jam 3.30 pagi, semalam.
Almarhum meninggalkan dua orang isteri, Puan Sri Faikah Syeikh Hamzah dan dan Shamsiah Shafie dengan 14 orang anak. - 26/9/13
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.