Mat Taib: Jangan Guna Media Putar Belit Isu Chin Peng
[TMI] Tan Sri Muhammad Muhd Taib mengingatkan kerajaan Barisan Nasional (BN) supaya tidak terus memperalatkan media seperti TV3 dan akhbar milik Umno Utusan Malaysia untuk memberi gambaran yang salah mengenai mendiang Chin Peng dan gerakan komunis di Malaysia.
Bekas Menteri Besar Selangor itu berkata, media berkenaan digunakan sebagai medium penyelewengan kebenaran untuk menakut-nakutkan rakyat bagi melabel Chin Peng dan komunis sebagai musuh negara.
“Saya tidak melabelkan Chin Peng itu sebagai hero tetapi kerajaan perlu adil dengan kematangan pemikiran yang dibentangkan kepada masyarakat. Memang betul ramai orang Melayu mati semasa penjajahan komunis tetapi lebih ramai yang mati semasa pemerintahan Jepun.
“Jangan gunakan Utusan dan TV3 untuk seleweng fakta menakut-nakutkan rakyat dengan memutar-belit serangan komunis yang dipimpin Chin Peng. Ini tidak betul. Jangan selewengkan fakta,” katanya Muhammad dalam satu wawancara eksklusif bersama The Malaysian Insider di kediamannya di Shah Alam, Selangor semalam.
Bekas Naib Presiden Umno itu turut mengecam pemimpin BN yang memberi tanggapan negatif kepada Parti Komunis Malaya (PKM) tetapi pada masa sama menjalin hubungan dengan China yang menyalurkan dana kepada PKM.
“Mereka hormat dan menjalinkan hubungan diplomasi dengan Parti Komunis dari China yang beri duit pada Chin Peng. Kerajaan tidak beri pendedahan sebenar kepada masyarakat.
“Datuk Seri Najib Razak sendiri pun pergi ke China berpelukan dengan pemimpin di sana. Mereka berbincang dan adakan hubungan persefahaman.
“Saya nasihatkan masyarakat jangan jadi bodoh dan diperbodohkan. Kita harus anti Jepun dan British lebih besar lagi. Mereka bunuh orang Melayu lebih ramai daripada komunis," katanya.
Beliau berkata, kekejaman British juga tidak boleh dipandang enteng setelah Tok Janggut mati digantung di Kelantan dan Tok Bahaman dibunuh di Pahang.
Muhammad berkata, kempen menentang penjajah British dan Jepun perlu lebih hebat dijalankan kerana dasar kerajaan ‘talam dua muka’ mengaku anti komunis tetapi mengadakan hubungan diplomasi dengan negara China yang terbukti sejak pemerintahan Tun Abdul Razak Hussein dengan menjalin hubungan diplomasi bersama Mao Zedong dan Zhou En Lai dari China.
“Pada pandangan saya Chin Peng tetap dianggap musuh kerana banyak mengorbankan anggota keselamatan negara tetapi hakikatnya ialah askar Jepun yang lebih banyak membunuh orang Melayu,” katanya.
Muhammad atau terkenal dengan nama timangan Mat Taib menyertai PAS dua hari selepas Hari Penamaan Calon Pilihan Raya 2013 lalu.
Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua meninggal dunia pada 16 September lalu di Hospital Antarabangsa Bunrungad, Thailand setelah lama bertarung melawan penyakit barah.
Beliau dilahirkan di Sitiawan, Perak pada 1924.
Hujung minggu lalu bekas ketua polis negara Tan Sri Abdul Rahim Noor memberitahu sebuah stesen radio tempatan Malaysia akan jadi bahan tertawa sekiranya menghalang abu mayat bekas pemimpin PKM itu masuk ke dalam negara. - 25 September, 2013.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.