Pegawai Tourism Malaysia Dipenjara 10 Bulan, Isteri 14 Bulan
[Bernama] Mahkamah Daerah Solna di Stockholm menjatuhkan hukuman penjara 10 bulan ke atas Pegawai Tourism Malaysia di Sweden Azizul Raheem dan 14 bulan terhadap isterinya, Shalwati Norshal kerana mendera anak-anak mereka pada Disember tahun lepas.
Pengerusi Sukarelawan Peguam Untuk Semua (Sukaguam) Datuk Khairul Anwar Rahmat, ketika dihubungi hari ini, mengesahkan perkara itu.
Katanya, beliau dimaklumkan perkara itu oleh wakil Sukaguam yang hadir di mahkamah ketika prosiding jatuh hukum terhadap pasangan berkenaan pada kira-kira 6 petang (waktu di Stockholm 11 pagi).
Khairul berkata pasangan itu berdepan hukuman penjara minimum enam bulan dan maksimum enam tahun dan berdasarkan perkembangan terkini, mereka dijangka bebas hujung tahun ini.
Kedua-duanya ditahan reman sejak 18 Disember lepas.
Beliau berkata Sukaguam akan menasihati anggota keluarga serta kerajaan Malaysia untuk mengemukakan rayuan.
Khairul berkata di bawah undang-undang Sweden, Azizul dan Shalwati mempunyai tempoh tiga minggu untuk memfailkan rayuan.
Shalwati dan Azizul didakwa mengasari dan mencabuli integriti anak-anak mereka dengan memukul serta mendera kanak-kanak terbabit di kediaman pasangan itu di SpÄnga antara 15 September 2010 dan 17 Disember 2013.
Shalwati, seorang guru yang sedang bercuti tanpa gaji, dan suaminya ditahan reman selepas memukul tangan seorang anak mereka kerana tidak bersolat.
Keempat-empat anak pasangan itu, Aishah, 14, Ammar, 12, Adam, 11 dan Arif, 7, yang sebelum ini ditempatkan di bawah jagaan keluarga angkat bukan beragama Islam di Sweden kerana kes itu, telah diserahkan kepada Kedutaan Malaysia di Stockholm pada 30 Januari lepas.
Kesemua anak pasangan itu pulang ke Malaysia pada 31 Januari lepas dan kini dijaga oleh bapa dan emak saudara mereka di Kelantan.
Sementara itu, mengikut kenyataan akhbar yang dimuat naik ke laman sesawang Mahkamah Daerah, Hakim Mattias Moller dipetik sebagai berkata Shalwati didapati bersalah mencabuli integriti anak perempuan dan anak lelaki sulungnya selain mendera dua lagi adik lelaki mereka.
Azizul pula didapati bersalah mencabuli integriti anak lelaki sulungnya dan mendera anak perempuan serta anak lelaki kedua.
Bagaimanapun, dia dibebaskan daripada sebarang pertuduhan berkaitan anak bongsunya.
Pasangan itu juga diarah membayar gantirugi kepada anak-anak mereka berdasarkan sabitan mahkamah.
Menurut kenyataan itu lagi, Moller berkata keganasan yang dilakukan pasangan itu secara relatif adalah kecil namun pertuduhan terhadap mereka membaitkan perlakuan keganasan yang sistematik dan berulang.
"Kebanyakan keganasan itu dilakukan dengan tangan namun sebatang rotan dan penyangkut baju turut digunakan," katanya.
Mahkamah itu turut memutuskan bahawa keterangan anak-anak pasangan itu boleh dipercayai dan tiada bukti yang menunjukkan mereka ingin mendatangkan mudarat kepada ibu bapa mereka dengan mereka maklumat tidak benar serta menyerahkannya kepada polis.
Moller juga berkata meskipun tiada sokongan dalam bentuk pemerhatian perubatan, butiran yang diberikan kanak-kanak berkenaan disahkan oleh keterangan saksi pendakwaan berdasarkan apa yang diberitahu anak-anak pasangan itu kepada mereka. -28/3/14
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.