MH370: Mula-mula 5 Beg, Kemudian Tiada, Selepas Itu 4 Beg? Siapa yang Betul?
[AA] KUALA LUMPUR: Misteri kehilangan pesawat Boeing 777 MH370 milik Penerbangan Malaysia (MAS) tambah mengelirukan dengan jumlah sebenar penumpang yang tidak menaiki penerbangan berkenaan.
Pada awalnya, pihak MAS membuat kenyataan bahawa terdapat lima beg dikeluarkan dari pesawat MH370 kerana tidak diketahui siapa pemiliknya.
Disebabkan kenyataan tersebut, ramai tertanya-tanya adakah lima beg yang dibawa keluar membawa maksud lima penumpang tidak menaiki pesawat MH370.
Yang diketahui cuma seorang penumpang tidak menaiki pesawat iaitu pelajar Universiti Tsinghua di Beijing, Jessica Yee Wai Ching kerana tersilap tarikh.
Hari keempat operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, hari yang sama, Ketua Polis Negara, Tan Sri Khalid Abu Bakar menegaskan hasil siasatan yang dijalankan oleh Polis DiRaja Malaysia (PDRM), kesemua penumpang menaiki pesawat.
"Saya, kami (PDRM) sendiri yang membuat siasatan dan tidak ada penumpang yang tidak menaiki pesawat itu," katanya pada sidang media yang diadakan di Hotel Sama-Sama, Sepang, hari ini.
Lebih kurang dua jam selepas Khalid membuat kenyataan tersebut, MAS mengeluarkan kenyataan hanya empat penumpang yang mempunyai tiket sah tidak muncul untuk daftar masuk.
Pesawat MH370 yang sepatutnya mendarat di Beijing pukul 6.30 pagi Sabtu dilaporkan hilang dari radar kira-kira pukul 2.40 pagi. -11/3/14
Berkaitan:
MAS Tingkah IGP: Empat Penumpang Tidak Muncul
[Bernama] Malaysia Airlines (MAS) hari ini menafikan laporan bahawa lima penumpang telah mendaftar masuk namun tidak menaiki pesawat penerbangannya ke Beijing yang hilang Sabtu lepas.
MAS dalam kenyataan menjelaskan terdapat empat penumpang yang tidak muncul untuk mendaftar masuk bagi penerbangan MH370 meskipun mereka telah membuat tempahan untuk perjalanan itu.
"Meskipun begitu, isu mengeluarkan bagasi tanpa penumpang tidak timbul, kerana empat penumpang berkenaan tidak mendaftar untuk penerbangan itu," katanya.
Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar hari ini menafikan dakwaan kewujudan lima penumpang berkenaan dan berkata semua penumpang yang mendaftar masuk telah menaiki pesawat berkenaan.
Semalam, Ketua Pengarah Jabatan Penerbangan Awam (DCA) Datuk Azharuddin Abdul Rahman berkata bagasi lima penumpang yang telah mendaftar masuk namun tidak menaiki pesawat telah dikeluarkan daripada pesawat dan didapati 'bersih'.
Pada Sabtu, pesawat MAS penerbangan MH370 dari Kuala Lumpur ke Beijing bersama 227 penumpang (termasuk dua bayi) dan 12 anak kapal itu hilang kira-kira sejam setelah berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur pada 12.41 pagi.
Ia dijadualkan mendarat di Beijing pada 6.30 pagi hari sama. -11/3/14
P/s: Dunia sedang menyaksikan orang-orang ini mengurus krisis MH370.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.