Dibicarakan 3 Bulan Mulai Julai
Saya petik:
[HM] SHAH ALAM: Kes pembunuhan kejam jutawan kosmetik, Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga individu lain yang menggemparkan negara tahun lalu akan mula dibicarakan selama tiga bulan di Mahkamah Tinggi, di sini, mulai 4 Julai depan.
Pesuruhjaya Kehakiman, Datuk Akhtar Tahir menetapkan tarikh itu pada prosiding sebutan semula kes itu, semalam.
Terdahulu, tertuduh, bekas peguam N Pathmanabhan dan tiga pekerja ladangnya mengaku tidak bersalah atas tuduhan membunuh Sosilawati dan tiga lagi individu, Ogos tahun lalu.
Keempat-empat tertuduh membuat pengakuan itu selepas pertuduhan terhadap mereka dibacakan dalam bahasa Tamil dan tenang sepanjang prosiding kira-kira setengah jam itu.
Mengikut pertuduhan, Pathmanabhan, 42, T Thilaiyalagan, 20, R Matan, 21, dan R Khatavarayan, 31, didakwa membunuh Sosilawati, 47, pemandunya, Kamaruddin Shamsudin, 44, pegawai bank CIMB cawangan Kampung Baru, Noorhisham Mohammad, 38, dan peguam, Ahmad Kamil Abdul Karim, 32.
Mereka didakwa melakukan perbuatan itu di Lot 2001, Jalan Tanjung Layang, Tanjung Sepat, Banting, antara jam 8.30 malam dan 9.45 malam, 30 Ogos tahun lalu.
Keempat-empat tertuduh didakwa mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati mandatori jika sabit kesalahan.
Pada prosiding semalam pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Ishak Mohd Yusof, Saiful Edris Zainuddin dan Idham Abd Ghani.
Tertuduh diwakili peguam, Manjeet Singh, Puspha Ratnam, Amer Hamzah Arshad, Datuk Ng See Teong, Ravi Nekoo dan Gurbachan Singh.
Kes pembunuhan itu mendapat publisiti meluas apabila Sosilawati dilaporkan hilang sejak 30 Ogos tahun lalu selepas ke Banting atas urusan pembelian tanah ditemani Kamaruddin, Noorhisham dan Ahmad Kamil.
Pada 6 September tahun lalu, BMW M5 dipercayai milik Sosilawati ditemui di parkir Pangsapuri Angsana, USJ 1, manakala BMW milik Ahmad Kamil dijumpai di depan rumah teres berhampiran sebuah hotel di sini.
Misteri kehilangan keempat-empat mangsa terungkai pada 12 September tahun lalu apabila Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Bakri Zini mengesahkan mereka dibunuh sebelum dibakar manakala abu mayat mereka dibuang ke sungai berhampiran.


Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.