Khir Toyo Dihukum 12 Bulan Penjara, Harta Disita
Bekas menteri besar Selangor, Dr Mohamad Khir Toyo dijatuhkan hukuman penjara 12 bulan bermula hari ini kerana menyalahgunakan pengaruhnya ketika mentadbir negeri itu untuk membeli sebidang tanah dan banglo pada 2007.
Hakim Mahkamah Persekutuan Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin yang menyampaikan keputusan itu juga mengekalkan keputusan mahkamah lebih rendah melucutkan hak terhadap hartanah berenaan.
Hakim berkata, khidmat masyarakat seperti dicadangkan peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah tidak sesuai dalam kes ini.
“Hukuman seumpama itu akan menjejaskan keyakinan rakyat kepada kerajaan,” katanya.
Zulkefli berkata Dr Khir sebagai penjawat awam menyalahgunakan kedudukannya untuk mengambil hartanah tanpa pertimbangan secukupnya.
Dr Khir boleh memohon mendapatkan pengampunan daripada Sultan Selangor.
Minggu lalu, Mahkamah Persekutuan menolak rayuan Dr Khir selepas panel hakim mengekalkan sabitan yang dibuat mahkamah rendah.
Hakim Tan Sri Jeffrey Tan Kok Hwa yang menyampaikan keputusan sebulat suara panel 5 hakim berkata pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes itu.
“Semua perkara dalam pertuduhan sudah dibuktikan, termasuk sama ada beliau penjawat awam atau tidak,” katanya ketika menyampaikan keputusan.
Dr Khir tenang ketika penghakiman hukuman dibacakan dalam mahkamah yang penuh sesak dengan ahli keluarga, penyokong dan media.
Beliau akan menjalani hukuman di Penjara Kajang.
Dr Khir sebelum ini diikat jamin RM750,000 sehingga rayuannya selesai.
Shafee ketika ditemui wartawan berkata Dr Khir mungkin kehilangan pencennya sebagai bekas menteri besar dan Ahli Dewan Undangan Negeri Pasir Panjang.
Undang-undang menyatakan mana-mana wakil rakyat atau bekas wakil rakyat yang didenda RM2,000, atau dipenjarakan minimum 12 bulan akan hilang ganjaran mereka.
Shafee berkata pengampunan adalah satu pilihan tetapi pihak pembelaan sedang melihat kemungkinan lain yang masih belum boleh didedahkan.
Difahamkan pilihan lain ialah memohon semakan terhadap keputusan Mahkamah Persekutuan berasaskan kepada ketidakadilan kepada tertuduh.
“Kami terkejut dengan sabitan bersalah oleh Mahkamah Persekutuan kerana kami mengharapkan beliau dibebaskan. Kami juga berharap hukuman lebih ringan selepas mahkamah ini pada minggu lalu mengekalkan sabitan,” katanya.
Shafee berkata, beliau diarahkan anak guamnya untuk memulakan prosiding menghina mahkamah terhadap akhbar The Sun kerana menyiarkan 2 artikel bertujuan mempengaruhi hakim.
Dalam penghakiman hari ini, Zulkefli berkata rasuah dalam apa juga cara dan bentuk tidak boleh diterima dan denda saja tidak akan memberikan pengajaran.
“Begitu juga khidmat masyarakat. Dalam apa juga keadaan, khidmat masyarakat hanya pilihan dalam kes membabitkan pesalah muda dan tidak terpakai kepada perayu (Dr Khir),” katanya.
Hakim berkata, penjara adalah hukuman yang tepat dan sesuai walaupun pihak pendakwa tidak merayu untuk hukuman lebih berat. – The Malaysian Insider/29 September, 2015.
Respons Khir Toyo:
Ketika anda membaca catatan ini saya mungkin sudah ke penjara kerana saya jadualkan tulisan ini diterbitkan selepas hukuman dijatuhkan.
Saya mohon maaf kepada seluruh keluarga, sahabat, rakan-rakan dan penyokong yang mungkin terpalit malu kerana kes ini. Saya juga berterima kasih kepada mereka yang masih memberi kata-kata semangat dan bersimpati dengan saya.
Saya tahu sebahagian orang di media sosial bertepuk tangan dan memaki hamun saya sebagai penerima rasuah. Adakah mereka faham bahawa rumah tersebut saya beli separuh siap, dengan pinjaman bank dan masih membayar ansuran bulanan sehingga sekarang? Saya maafkan mereka.
Saya juga tahu rumah saya menjadi kontroversi apabila seorang pemimpin Umno mengupah jurugambar mengambil gambar rumah saya menggunakan helikopter menunjukkan seolah-olah ia sebesar istana.
Hakikatnya, rumah saya bukanlah antara yang terbesar di kawasan terbabit. Tidak mengapa, saya telah maafkannya.
Saya hanya ingin menyatakan bahawa sepanjang perbicaraan, pendakwa raya tidak pernah mengemukakan sebarang fakta yang menunjukkan berlaku unsur rasuah. Secara asasnya, unsur rasuah harus dalam keadaan saya mendapat habuan kerana meluluskan sesuatu kepada Shamsuddin (Haryoni, pengarah Ditamas Sdn Bhd).
Tidak pernah ada sebarang fakta dan bukti menunjukkan pembelian rumah saya dengan harga RM 3.5 juta yang dikatakan murah oleh pendakwa raya, dibalas dengan sebarang keistimewaan pemberian projek atau kelulusan tender oleh saya.
Yang ada hanyalah surat sokongan yang diberi kepada syarikat Shamsuddin seperti mana saya sokong puluhan malah mungkin ratusan syarikat lain.
Jika tidak korup mengapa saya didapati bersalah? Saya dituduh dan didapati bersalah di bawah Perkara 165 Kanun Keseksaan yang merupakan satu kesalahan teknikal dengan hukuman maksimum dua tahun penjara.
Dalam tuduhan ini pendakwa raya tidak memerlukan sebarang bukti ada keistimewaan diberikan kepada Shamsuddin. Apa yang perlu dibuktikan ialah saya telah membeli sesuatu barangan dengan harga (balasan) yang tidak mencukupi, daripada seseorang yang diketahui mempunyai hubungan rasmi dengan saya sebagai penjawat awam.
Demikianlah kesungguhan peguam negara terdahulu yang mahu memenjarakan saya. Saya tidak pasti rumah saya akan dirampas atau tidak. Mereka membicarakan saya di bawah Perkara 165 tetapi mereka menggunakan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk merampas rumah saya.
Adilkah, saya dituduh di bawah kesalahan yang memerlukan pembuktian ringan, tapi menggunakan akta yang memerlukan pembuktian berat untuk merampas rumah saya? Hanya Allah yang tahu niat sebenar beliau.
Semasa hendak membeli rumah separuh siap tersebut saya memaklumkan kepada pemegang jawatan penting ketika itu termasuk perdana menteri, setiausaha kerajaan negeri dan pihak SPRM sendiri.
Untuk rekod, saya juga membeli hartanah tersebut dengan pinjaman bank dan meminta penilaian hartanah dilakukan. Sehingga kini saya masih mempunyai baki hutang lebih dari RM2 juta. Adakah ini menunjukkan saya korup? (Baca: Fakta dan angka tidak boleh menipu).
Jika saya mahu mengambil rasuah saya hanya minta Shamsuddin beri percuma kepada saya dan namakan atas nama sesiapa sahaja sebagai proksi.
Saya redha dengan keputusan ini sungguhpun sehingga hari ini saya tidak tahu berapakah balasan yang mencukupi.
Mungkin kerajaan perlu menubuhkan satu jawatankuasa yang membolehkan penjawat awam membuat rujukan, bagi memenuhi ukuran balasan yang mencukupi, agar tidak ada lagi yang terperangkap seperti saya. [Lihat: Putus sudah harapan?]
Dilanyak akhbar The Sun
Minggu lalu ketika merayu agar dikurangkan hukuman saya menyatakan antara sumbangan yang dibuat ialah mencapai matlamat Selangor Maju 2005 seperti mana yang disasar oleh kerajaan sejak 1990-an.
The Sun tampil mempertikaikan kenyataan tersebut. Saya tidak lagi berniat mahu berhujah sejauh mana layak atau tidak Selangor diisytihar negeri maju. Ini kerana kerajaan yang disokong oleh The Sun juga sehingga hari ini mengekalkan status Selangor Negeri Maju.
Sehingga di saat akhir, ketika tiada kuasa dan jawatan, The Sun memilih untuk melanyak saya. Saya tidak pasti apakah punca kemarahan mereka sedemikian rupa.
Adakah kerana saya dilihat sebagai anti-kaum India kerana merobohkan beberapa kuil yang dibina secara haram? Atau adakah kerana saya tidak meluluskan pusat Lumba Kuda di Bukit Tagar, Selangor?
Saya tidak fikir ia sekadar soal “good governance”, kerana sesiapa sahaja yang membacaThe Sun dari dulu sehingga hari ini boleh membezakan tahap dan jenis kritikan akhbar atau pengarang akhbar tersebut kepada menteri besar selepas saya.
Malah ada ketika mereka mempertahankan menteri besar selepas saya biarpun kesilapan yang dibuat sangat nyata.
Kes roboh kuil
Saya juga ingin memohon maaf jika masyarakat beragama Hindu marah kepada saya akibat perobohan kuil Hindu di Rimba Jaya. Kes kuil Rimba Jaya telah dibawa ke Mahkamah sejak tahun 1998 lagi.
Ia dibina secara haram atas tanah persendirian. Kerajaan negeri telah membuat perbincangan dengan pentadbir kuil dan mereka bersetuju menerima pampasan sebanyak RM40 ribu dan juga diberi tapak baru.
Keputusan merobohkan kuil Rimba Jaya adalah keputusan Mahkamah bukannya keputusan saya mahu pun kerajaan negeri. Mahkamah memutuskan kuil dan setinggan disitu hendaklah dirobohkan. Mahkamah telah menolak rayuan 11 orang penduduk yang enggan berpindah.
Saya, selaku Menteri Besar ketika itu, kerajaan negeri dan Majlis Bandaraya Shah Alam hanya melaksanakan keputusan Mahkamah. Namun saya terima ia sebagai satutanggungjawab saya.
Jika masih ada yang berdendam, saya berharap mereka juga dapat mengingati saya sebagai menteri besar pertama yang memberi peruntukan kepada semua kuil Hindu dan rumah ibadat lain yang berdaftar.
Di bawah pentadbiran saya juga kerajaan negeri menubuhkan Tabung Pendidikan Anak-anak Pekerja Ladang.
Isu anugerah penyapu
Sebahagian membenci saya bukan kerana kesalahan ini. Mereka marah kerana saya beri “Anugerah Penyapu” kepada penjawat awam dari Pihak Berkuasa Tempatan (PBT), Majlis Daerah Hulu Selangor. [Untuk huraian panjang sila lihat artikel lama: Padah penyapu atau padah sikap kita?]
Sungguhpun ia bukan idea saya, dan telah dipersetujui dalam mesyuarat bersama semua PBT ketika itu, saya terima ia sebagai satu tanggungjawab saya. Saya pohon maaf jika masih ada yang berkecil hati.
Baru-baru ini saya ada berjumpa dan bercakap dari hati ke hati dengan Tukiman Nail, bekas presiden Majlis Daerah Hulu Selangor, yang menerima anugerah penyapu tersebut dan isteri beliau. Saya anggap telah selesaikan dengan beliau sebagai sesama muslim.
Masalah setinggan
Ada yang masih berkecil hati dengan cara saya menyelesaikan isu setinggan. Saya tidak boleh memuaskan hati semua penghuni setinggan.
Apa yang boleh saya katakan, saya telah membuat yang terbaik dalam kemampuan saya dan kerajaan negeri untuk menyelesaikan isu setinggan:
(i) Memberi penempatan yang lebih baik
(ii) Menyelesaikan isu tuan tanah dan setinggan
(iii) Memberi subsidi RM7,000 untuk setiap setinggan membeli pangsapuri baru.
Akhirul kalam, saya mohon maaf jika ada salah dan silap kepada seluruh penduduk Selangor. Jika ada hayat dikandung badan, insha-Allah saya akan terus menulis selepas keluar penjara nanti.
Wassalam.
Khir Toyo bekas MB Selangor. Tulisan ini diterbit dalam blog beliau, drkhir.com. Mahkamah Persekutuan hari ini menjatuhkan hukuman setahun penjara ke atasnya selepas menolak rayuannya berhubung sabitan kes rasuah ditolak pada minggu lalu.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.