Banjir Kelantan: Kerajaan Negeri Baru Siapkan 60 Buah Rumah (daripada 600 Rumah), Kerajaan Pusat Berjaya Bina 7 Buah Rumah (daripada 1,221 Rumah)
Mengapa Boleh Kerjasama Hudud Tetapi Tidak untuk Mangsa Banjir
Mangsa banjir di Kelantan mempertikaikan mengapa kerajaan pusat dan kerajaan negeri Kelantan gagal bekerjasama dengan baik membantu mereka, sedangkan kedua-duanya dilihat boleh bekerjasama ke arah melaksanakan hukum hudud di negeri itu.
Mereka merasa tertipu selepas kedua-dua kerajaan negeri dan pusat berjanji membina semula rumah mereka yang musnah akibat banjir besar hujung tahun lepas, tetapi sehingga kini, janji tinggal janji.
Kebanyakan mereka yang ditemui di pusat pemindahan di Bandar Utama, Gua Musang itu menyalahkan kedua-dua kerajaan yang tidak bekerjasama dengan baik sehingga rumah yang sepatutnya mereka duduki masih belum disiapkan.
"Kenapa tidak boleh bersatu dalam kes banjir kalau hudud boleh," kata Arif Mohd Yusof, 36, salah seorang mangsa banjir yang sehingga kini masih tinggal di dalam khemah, bersama 58 keluarga lagi, selepas 5 bulan banjir mega melanda Kelantan 24 Disember lalu.
Sedih dengan nasib yang dialami, mereka mengungkit kerjasama yang ditunjukkan kedua-dua kerajaan di Dewan Undangan Negeri (DUN) ketika meluluskan pindaan kepada Enakmen Kanun Jenayah Syariah II 1993 pada Mac lalu.
"Kami tidak kisah pun pasal hudud ini. Ia hanya isu politik... bila dekat dengan pilihan raya, timbullah balik.
"Kalau mereka hendak laksana (hudud), dari dahulu boleh buat," kata Amran Hamzah, 46, yang ditemui di khemahnya dekat Bandar Utama, Gua Musang.
Pada pandangan mereka, punca rumah mereka tidak dapat disiapkan walaupun persetujuan dicapai antara kedua-dua kerajaan, ialah tiadanya kerjasama antara mereka.
Menurut persetujuan itu, kerajaan pusat akan membina 1,221 dari 1,821 rumah yang musnah sepenuhnya, manakala kerajaan negeri akan membina satu pertiga darinya, iaitu 600 unit.
Namun sehingga kini, kerajaan negeri berjaya menyiapkan 60 buah dari 600 yang dijanjikan itu – hanya 10% – sedangkan kerajaan pusat hanya berjaya membina 7 buah sahaja dari 1,221 yang dijanjikan (kira-kira 0.6%).
Murid sekolah di khemah pusat pemindahan banjir. Mereka akan menghabiskan bulan Ramadhan yang semakin hampir di tempat yang sama kerana rumah-rumah masih belum siap dibina.– Gambar The Malaysian Insider oleh Nazir Sufari, 23 Mei, 2015.
Bagi kebanyakan mangsa banjir yang tinggal dalam khemah ini, kerajaan negeri gagal menyediakan tapak untuk membina rumah mereka walaupun kerajaan pusat sudah menyediakan dana untuk pembinaannya.
Amran yang berasal dari Kampung Kerinting, tinggal di khemah itu bersama isteri dan 6 anaknya sejak Januari lalu, dengan harapan boleh memasuki rumah yang dijanjikan kepada mereka menjelang Ramadan pertengahan bulan depan.
"Tidak sangka sampai lama ini duduk (di khemah). Mula-mula masuk dulu suka, ramai yang jaga kami – polis, Rela dan juga Jabatan Pertahanan Awam Malaysia (JPAM). Makanan pun disediakan.
"Sekarang tidak ada siapa jaga kami dan makanan pun kena masak sendiri," katanya.
Seorang petugas bantuan mangsa banjir, Mohd Fauzi Mohd Azmi, 40, turut menyalahkan kedua-dua kerajaan negeri dan pusat atas apa yang terjadi.
"Kepada menteri besar, timbalan menteri besar, juga perdana menteri, ini yang saya hendak katakan.
"Kamu bercakap pasal Islam, nak buat hudud, tetapi kamu biar rakyat yang memilih kamu duduk dalam khemah menjelang Ramadan, tidakkah berdosa?" soalnya kepada The Malaysian Insider.
Beliau yang sebelum ini berkampung di Pasir Tumbuh, sebuah kawasan pendalaman yang terjejas teruk akibat banjir mega itu, sangat kesal dengan pemimpin kerajaan yang sibuk berpolitik tetapi seolah-olah membiarkan rakyat menanggung nasib sendiri.
Kerajaan negeri Kelantan akhir tahun lepas menangguhkan perancangannya membentangkan pindaan kepada enakmen jenayah syariah itu Disember lalu.
Ia kemudiannya dibentangkan Mac lalu dan diluluskan dengan sokongan penuh ahli DUN (Adun) termasuk dari pembangkang, iaitu Adun Umno.
Ketua pembangkang DUN Kelantan, Datuk Md Alwi Che Mat ketika itu menangis teresak-esak berucap menyokong rang undang-undang itu.
Isu hudud menyebabkan PAS bergaduh dengan rakannya dalam Pakatan Rakyat, khasnya DAP yang tidak bersetuju dengannya. PKR juga tidak bersetuju hudud dilaksanakan buat waktu ini. – Zulkifli Sulong/The Malaysian Insider/23 Mei, 2015.
P/s: Kerajaan Kelantan mungkin tersungkur dalam PRU14 jika pelbagai isu yang dihadapi rakyatnya tidak diselesaikan dengan segera.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.