Rakyat Akan Tumbangkan BN Meskipun PAS Tinggalkan Pakatan - Mat Sabu
PAS tidak perlu angkuh dengan sokongan yang dinikmatinya pada ketika ini kerana ia hasil bersama Pakatan Rakyat (PR), kata Timbalan Presiden PAS Mohamad Sabu.
Mohamad berkata, keazaman rakyat menukar kerajaan tetap akan diteruskan tanpa mengira sama ada parti Islam itu kekal bersama PR atau tidak.
"Rakyat akan pergi (tukar pemerintah) sama ada PAS ada atau tiada. Di sinilah kita beritahu PAS, jangan 'eksyen' (berlagak) sangat.
"Tanpa PAS, rakyat akan pergi juga untuk tukar pemerintahan," katanya yang dikenali sebagai Mat Sabu di Universiti Malaya (UM), Kuala Lumpur semalam.
Katanya, trend itu dapat dilihat menerusi peningkatan undi majoriti diperoleh PKR dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Permatang Pauh dan jumlah peserta himpunan #KitaLawan baru-baru ini.
Beliau berkata, undi majoriti Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail tetap meningkat walaupun terdapat pelbagai "fatwa" dikeluarkan sewaktu kempen berlangsung.
Katanya, himpunan #KitaLawan di Kuala Lumpur tetap menggamit kehadiran ramai orang walaupun ia tidak didokong secara rasmi oleh briged sukarelawan PAS, Unit Amal.
Mohamad yang pernah menjadi ahli Parlimen selama 3 penggal itu berkata, kehadiran rakyat di jalan raya kini didorong kumpulan "kuasa ketiga" yang diketuai personaliti seperti Pengerusi Gerakan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) Maria Chin Abdullah dan aktivis mahasiswa Adam Adli Abd Halim.
"Kumpulan ini semakin membesar dan semakin berdikari," katanya.
Beliau berkata demikian ketika hadir sebagai tetamu dalam pembentangan tesis ijazah lanjutan oleh sarjana UM, Mohd Ikhwaniata Taib.
Ikhwaniata membentangkan tesis bertajuk "Perjuangan Mohamad Sabu dalam PAS 1978-2013" di Fakulti Seni dan Sains Sosial, UM.
Mohamad dalam ucapannya juga mengulangi kenyataan beliau kesal dengan sesetengah pihak yang dilihat seperti bersedia membantu Umno dan Barisan Nasional (BN) supaya kekal berkuasa di Putrajaya atas nama 'pengislahan' (reformasi).
Katanya, berdasarkan keputusan PRK Rompin dan Permatang Pauh awal bulan ini, sokongan kepada BN jatuh menyebabkan keadaan politik sekarang adalah yang terbaik untuk menukar kerajaan.
"Sebab itu kita tengok Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan kerajaan gelisah.
"Tetapi dalam keadaan gelisah begitu ada yang pergi bubuh tongkat pula. Ini yang saya rasa pelik.
"Keluar kenyataan kita berpolitik bukan untuk ambil alih kerajaan, tetapi untuk buat pengislahan.
"(Katanya) kalau Najib sanggup buat pengislahan, kita tak payah tukar kerajaan. Bagi kita, tak wujud pengislahan tanpa tukar kerajaan," katanya.
Walaupun tidak menamakan sesiapa secara khusus, beliau dipercayai merujuk kepada kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah sebelum ini.
Amar sebelum ini dilaporkan berkata, PAS sedia melupakan hasrat menawan Putrajaya asalkan impiannya melaksanakan hudud tercapai.
Sebelum kenyataan itu dikeluarkan, usul PAS meminda beberapa bahagian dalam rang undang-undang hudud di Dewan Undangan Negeri Kelantan mendapat sokongan penuh semua wakil rakyat Umno Kelantan dan beberapa pemimpin Umno peringkat nasional. – 26 Mei, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.