Inspektor Polis Mengaku Tidak Bersalah Rogol Pekerja Kilang di Balai Polis
KUALA LUMPUR -- Seorang pegawai polis mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan merogol seorang pekerja kilang di balai polis, September tahun lalu.
Inspektor Mohd Hairul Zaidi Zainal, 33, didakwa merogol remaja berusia 19 tahun itu dengan menggunakan kedudukan dan kuasanya di bilik pegawai penyiasat jenayah, tingkat tiga, Balai Polis Petaling, Brickfields, di sini antara pukul 3 pagi hingga 7 pagi, 17 Sept lalu.
Mohd Hairul Zaidi didakwa mengikut Seksyen 376(2)(f) Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 30 tahun dan sebatan.
Timbalan Pendakwa Raya Tan Sew Ping tidak menawarkan sebarang jaminan kerana kesalahan itu adalah serius selain faktor kemungkinan tertuduh akan mengganggu saksi dalam kes itu.
Bagaimanapun tertuduh yang diwakili peguam Nik Muammer Hurrie Mohamad Sukri memohon mahkamah membenarkan jaminan dengan alasan tertuduh sebelum ini tidak pernah gagal melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields, setiap dua kali seminggu, sejak lapan bulan lalu walaupun dibebaskan tanpa jaminan cagaran polis.
"Selain itu anak guam saya sudah berkahwin dan perlu menanggung isteri yang tidak bekerja, dua anak berusia dua tahun dan tiga bulan serta menanggung ibu bapa, juga adik yang berada di tingkatan lima," katanya.
Hakim Zulqarnain Hassan membenarkan tertuduh diikat jamin RM15,000 dengan dua orang penjamin beserta syarat tambahan iaitu tertuduh perlu melaporkan diri di Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang setiap dua minggu sekali dan dilarang mengganggu saksi.
Mahkamah menetapkan 5 Jun depan untuk sebutan semula kes.
Sementara itu di mahkamah sama, seorang warga Bangladesh mengaku tidak bersalah atas pertuduhan merogol seorang wanita tempatan awal bulan ini.
Abdul Monnan, 32, didakwa merogol wanita berusia 43 tahun itu di sebuah rumah tidak bernombor, di Jalan Abdullah, Bangsar, di sini antara pukul 10.30 malam, 4 Mei hingga 2.30 pagi 5 Mei.
Dia didakwa mengikut Seksyen 376 (2) Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 30 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.
Tertuduh juga mengaku tidak bersalah atas pertuduhan dengan sengaja menyebabkan kecederaan kepada mangsa pada tarikh, waktu dan lokasi yang sama.
Abdul Monnan didakwa mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum setahun, denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.
Mahkamah tidak membenarkan tertuduh, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin dan menetapkan 5 Jun untuk sebutan semula kes.- BERNAMA/18/5/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.