Skandal 1MDB: Hamid Dakwa Ada Usaha Sembunyi Saksi SRC International
Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador hari ini mendakwa terdapat usaha untuk menyembunyikan saksi utama SRC International Sdn Bhd dengan bantuan "kuasa-kuasa tertentu".
Tanpa memberi maklumat secara terperinci, Abdul Hamid mendakwa salah seorang saksi utama itu sebelum ini bersembunyi di Indonesia dan Thailand.
Bagaimanapun, Abdul Hamid mendakwa salah seorang saksi itu kini berada di New Zealand untuk menyembunyikan dirinya.
"Ada usaha untuk sembunyikan saksi utama SRC International. Mereka ialah saksi yang dikehendaki oleh SPRM.
"Salah seorang saksi utama telah berjaya larikan diri. Mula-mula ke Indonesia, kemudian Thailand. Sekarang dia bersembunyi di New Zealand.
"Ada usaha (supaya) saksi menyembunyikan diri dengan bantuan kuasa-kuasa tertentu," katanya dalam sidang media hari ini.
Semalam, SPRM meminta supaya ahli perniagaan kontroversi Low Taek Jho atau Jho Low, Pengarah Urusan SRC International Nik Faisal Ariff Kamil serta Pengarahnya Datuk Suboh Md Yassin segera hadir ke suruhanjaya itu bagi membantu siasatan.
Low bagaimanapun mengeluarkan kenyataan akan membantu SPRM dan wakilnya akan menghubungi badan tersebut bagi mengetahui bagaimana beliau dapat membantu.
Mengulas lanjut, Abdul Hamid juga berkata bahagian cawangan khas pernah menasihatkan kerajaan supaya memberi penjelasan kepada rakyat berhubung isu 1MDB sejak dua tahun lalu.
Bagaimanapun, katanya, nasihat tersebut tidak dipandang secara serius oleh kerajaan.
"Dua tahun dulu, kami dah beritahu kerajaan tentang perkara ini. Mereka rasa mereka yakin dan boleh menjelaskan tentang apa yang berlaku.
'Masih kabur'
"Malangnya sampai sekarang masih kabur. Dia ingat mudah," katanya pegawai kanan polis yang berkhidmat selama 37 tahun.
Justeru itu, tanpa menamakan sesiapa, beliau menyeru kepada pihak yang bertanggungjawab supaya tampil dan menjelaskan kepada masyarakat tentang apa yang berlaku.
Jika ada keperluan, Abdul Hamid berkata, beliau mungkin akan membuat satu lagi sidang media bagi menjelaskan isu berhubung 1MDB.
"Kekeliruan yang timbul sekarang tentang 1MDB. Tampillah ke depan. Terangkan apa yang berlaku.
"Anda kena berani, jadilah seorang lelaki dan datang ke hadapan. Kalau penjelasan benar, rakyat boleh terima.
"Mungkin jika ada keperluan di masa akan datang, kalau diperlukan penjelasan lanjut (mengenai 1MDB), saya dengan rendah diri menawar diri untuk tampil sekali lagi," katanya.
Sementara itu, Abdul Hamid berkata, terdapat juga "kuasa-kuasa halimunan" yang didakwanya masuk campur dalam urusan institusi keselamatan negara sehingga menyebabkan beliau dipindahkan.
Beliau mendakwa "kuasa halimunan" itu mengeluarkan kenyataan dan amaran yang bersifat untuk menakutkan pegawai kerajaan.
Ditanya identiti "kuasa halimunan" itu memandangkan pihak yang berada di atas PDRM ialah Kementerian Dalam Negeri (KDN), Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, beliau berkata:
"Awak dapat lihat siapa yang bagi kenyataan? Itulah orangnya. Yang memberi amaran itu ini, nasihat pada pegawai kerajaan beritahu itu ini tak boleh," katanya tanpa menamakan mana-mana individu. - Malaysia Kini/23/8/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.