Kisah 1MDB Boleh Jadi Filem Hindustan, Sindir Mat Sabu
Pengerusi Gerakan Harapan Baru (GHB) Mohamad Sabu menyindir kronologi isu syarikat kewangan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) boleh dijadikan sebagai filem Hindustan.
Mohamad yang dikenali sebagai Mat Sabu menggambarkannya sedemikian ekoran pelbagai masalah yang dihadapi syarikat sarat hutang itu ketika siasatan dijalankan.
"Isu 1MDB dah jadi filem Hindustan. Polis tangkap SPRM (Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia), SPRM tangkap polis, ketua SB (special branch) kena tukar, SPRM pula diambil tindakan, dalam pada itu balai polis terbakar.
"Siapa nak buat filem ini? (Datuk) Yusof Haslam hanya nak buat Gerak Khas sahaja," katanya ketika berucap di Jamuan Hari Raya dan Pelancaran GHB Selangor yang dihadiri kira-kira 1,000 penyokong di Dewan Teratai, Shah Alam malam tadi.
Bekas timbalan presiden PAS itu turut mempersoalkan sama ada individu yang sebenarnya terlibat dengan rasuah disiasat selepas pihak polis dan SPRM masing-masing menyiasat sesama sendiri.
"Sekarang berlaku ibu segala skandal, iaitu 1MDB. Mother father of scandal (ibu bapa kepada skandal) lebih RM42 bilion. Tony Pua, Rafizi Ramli dedah semuanya (mengenai 1MDB). Tun Dr Mahathir Mohamad, (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin) gelisah.
"Datang pilihan raya adakah BN menang lagi?" soalnya kepada penyokong sambil para hadirin bersorak mengatakan "tidak."
Mohamad bagaimanapun berkata, Barisan Nasional (BN) akan terus menang sekiranya rakyat tidak bersatu.
Bekas ahli Parlimen selama 3 penggal itu mengulangi, walaupun DAP merupakan parti yang kuat, parti itu juga tidak mampu mengambil alih negara jika melakukannya seorang diri.
Katanya perkara yang sama akan terjadi sekiranya PAS bergerak seorang diri.
"Tetapi bila 3 parti bergabung tenaga hadapi BN, boleh tak kita ambil alih Malaysia?" soalnya sambil disambut sorakan "boleh".
"Tak boleh, kerana DAP yang kuat – bercerai dengan PAS, PAS yang kuat – bercerai dengan DAP. Pakatan Rakyat mesti cari 'isteri baru'.
"Isteri baharu itu adalah kami. Cantik, jelita, bertenaga, kuat, menawan, inilah dia Harapan Baru," katanya.
"Inilah negara paling pelik dalam dunia. Oleh itu, kita tamatkan kepelikan itu. Kita mahukan pilihan raya yang bersih. Kita mahu berkumpul 29 Ogos ini," katanya yang merujuk kepada himpunan Bersih 4 yang akan diadakan pada 29 Ogos ini.
Bercakap kepada pemberita pada sidang media selepas acara berkenaan Mohamad berkata, sambutan orang ramai terhadap GHB menakjubkan walaupun gerakan tersebut tidak melakukan kempen yang gilang-gemilang.
"Saya nampak sudah menjadi arus rakyat. Kita tidak berkempen sebanyak mana, tapi sokongan rakyat begitu menakjubkan," katanya kepada pemberita selepas pelancaran tersebut.
Mohamad turut mengulas spekulasi anak kepada bekas Mursyidul Am PAS Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Nik Omar dikatakan akan menyertai GHB.
"Itu kita akan periksa dan rakan-rakan (GHB) akan bertemu beliau. Saya pun tidak ada maklumat mengenai perkara itu dan saya juga lama tidak ke Kelantan," katanya.
Katanya, keahlian GHB terbuka luas kepada sesiapa pun termasuk pemimpin PAS, ketika ditanya sekiranya benar Nik Omar akan menyertai GHB. – The Malaysian Insider/17 Ogos, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.