Muhyiddin Pertikai Pembubaran Pasukan Petugas Siasat 1MDB, Dakwa Ada Campur Tangan
Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mempertikaikan keputusan pembubaran pasukan petugas khas yang menyiasat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) pada ketika siasatan itu masih belum selesai dan tidak menolak wujud campur tangan pihak tertentu di dalamnya.
Beliau juga menggesa supaya 3 agensi penguatkuasa yang menganggotai pasukan itu sebelum ini – Bank Negara Malaysia, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia – tidak berhenti daripada mengambil tindakan undang-undang mengikut bidang kuasa masing-masing jika wujud salah laku membabitkan 1MDB.
Katanya, walaupun pasukan itu kini dibubarkan, ia tidak bermakna pihak bertanggungjawab tidak boleh mengambil tindakan daripada sudut undang-undang.
"Seperti Bank Negara, untuk menyiasat daripada sudut perundangan berkaitan kewangan. Atau pun SPRM, kalau ada elemen rasuah dan sebagainya. Atau pun pihak polis, yang boleh menggunakan undang-undang jenayah dan sebagainya.
"Mereka perlu bertindak," kata Muhyiddin ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Kemaman di Terengganu petang ini.
SPRM pada 5 Ogos mengumumkan pasukan petugas khas tersebut dibubarkan dan 3 agensi yang menganggotainya diminta membuat siasatan secara sendirian.
Timbalan presiden Umno itu berkata, kesan daripada pembubaran pasukan khas tersebut menyebabkan siasatan ke atas 1MDB tidak dapat dilaksanakan dan terbengkalai ketika ini.
"Yang menjadi persoalan hari ini, kenapa langkah yang sedang dilaksanakan dilihat terbengkalai sedikit, dilihat macam tidak dapat diteruskan dengan licin dan lancar?
"Dan ada campur tangan yang menyebabkan timbul isu dan masalah, sebagaimana kita lihat dan saksikan sekarang ini," katanya dipercayai merujuk kepada tindakan polis menyoalsiasat pegawai SPRM dan pertukaran pegawai kanan agensi anti-rasuah itu.
Muhyiddin berkata, kemelut yang timbul sesama agensi anggota penyiasat pasukan khas tersebut juga menambah masalah dan menyebabkan siasatan tergendala.
"Kenapa ada tindakan diambil pihak tertentu yang sedang menyiasat perkara ini?... Malangnya, apabila ia dimulakan, hari ini ia agak tergendala," katanya.
Sebuah pasukan petugas khas ditubuhkan bagi menyiasat 1MDB dan dakwaan berbilion ringgit dipindahkan daripada syarikat berkaitan dana pelaburan negara itu ke dalam akaun peribadi Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak.
The Wall Street Journal dan laman web pemberi maklumat Sarawak Report melaporkan awal bulan lalu, sejumlah hampir AS$700 juta (RM2.67 bilion) didakwa dipindahkan dari dana milik negara ke dalam dua akaun bank di bawah nama Najib di AmBank pada awal 2013.
Bagaimanapun, koordinasi pasukan khas tersebut dilihat bercelaru dengan pihak polis membuat tangkapan dan menyiasat beberapa individu daripada SPRM dan Bank Negara.
Malah, dua Pengarah SPRM yang terbabit dalam operasi khas menyiasat kes 1MDB, dan bekas anak syarikatnya SRC International, juga ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri minggu lalu atas alasan timbul "isu disiplin."
Namun, keputusan tersebut dibatalkan selepas Putrajaya dikritik hebat. – The Malaysian Insider/14 Ogos, 2015.
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.