Hamid: Tegas Siasatan Telus 1MDB Punca Ditukar, Pernah Temui Tun M Minta Henti Serang PM
Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador berkata, antara sebab beliau ditukarkan ke Jabatan Perdana Menteri (JPM) mungkin disebabkan kelantangannya meminta supaya siasatan telus dilakukan terhadap isu 1MDB.
Katanya, antara kemungkinan lain menjadi faktor beliau ditukar selepas 37 tahun berkhidmat di bahagian cawangan khas itu kerana beliau tidak mahu melaksanakan "agenda tertentu".
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut maksud "agenda tertentu" itu.
"Mereka mungkin meragui taat setia saya untuk laksana agenda tertentu. Saya (bersikap) profesional dan apa yang saya siasat, itulah hasil siasatan.
"Kami tidak akan tukar laporan menjadi sebaliknya. Kita akan beritahu perkara yang sebenar, mungkin mereka tak suka dan mahu dengar sesuatu yang indah. Nak syok sendiri.
"Mungkin juga (saya ditukar) kerana saya kerap kata supaya lakukan siasatan 1MDB dengan telus," katanya pada sidang medianya hari ini.
Pertukaran Abdul Hamid merupakan perubahan terkini yang berlaku dalam Cawangan Khas selepas Datuk Mohamad Fuzi Harun menggantikan Datuk Seri Akhil Bulat selaku pengarah cawangan khas.
Mengulas mengenai pertukarannya, Abdul Hamid berkata beliau dipanggil berjumpa Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Zahid Hamidi di Bukit Aman, dua minggu sebelum surat pertukaran dikeluarkan.
Dalam pertemuan itu, Abdul Hamid berkata beliau diberi dua pilihan sama ada ditukarkan ke Majlis Keselamatan Negara (MKN) atau JPM.
Pilihan itu dibuat selepas pertemuan Zahid dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, kata Abdul Hamid lagi.
"Saya dipanggil masuk dan dia sampaikan bahawa perdana menteri beri saya dua pilihan sama ada ditukarkan ke MKN atau JPM.
"Saya tergamam dan terkejut. Saya termenung sejenak. Berat betul hukuman saya terima sampai kena keluar dari PDRM, saya berkata dalam hati.
"Macam seolah-olah saya lakukan dosa besar dan tak boleh diampunkan sampai kena dijinak di luar PDRM," katanya lagi.
Bagaimanapun, Abdul Hamid berkata beliau masih belum lagi memutuskan sama ada akan melapor diri di JPM pada 17 September depan kerana jawatan timbalan pengarah isu-isu keselamatan dan transnasional yang ditawarkan belum tersedia.
"Yang hairannya jawatan yang ditawarkan kepada saya itu belum lagi tersedia dan pihak JPM masih lagi berbincang dengan JPA," katanya lagi. -Malaysia Kini/23/8/15
Berkaitan:
Bekas No 2 SB Pernah Temui Tun M, Henti Serang PM
Bekas Timbalan Pengarah Cawangan Khas PDRM Datuk Abdul Hamid Bador berkata, beliau pernah diarahkan bertemu Tun Dr Mahathir Mohamad bagi mendapatkan persetujuan supaya tidak menyerang Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak secara terbuka.
Bekas pegawai tinggi PDRM itu berkata pertemuan bersama bekas perdana menteri itu dilakukan beberapa kali, sejak kira-kira tiga tahun lalu.
"Saya jumpa Tun (Dr M) sebab diarahkan bos saya untuk dapatkan pandangan dan dapatkan persetujuan beliau untuk tidak buat sesuatu.
"Beliau (Tun) akur pada mulanya, dengan kata tidak akan serang perdana menteri secara terbuka.
"Tiga tahun lalu, saya berjumpa Tun untuk cakap perkara itu," katanya pada sidang media di Kota Damansara hari ini.
Selaku pegawai polis yang berkhidmat selama 37 tahun, Abdul Hamid berkata peranan unit cawangan khas sebagai menasihati kerajaan berdasarkan risikan yang telah dibuat dan akan terus mengamalkan prinsip berani kerana benar.
Beliau turut meminta semua pihak supaya tiada menyalahkan Ketua Polis Negara Tan Sri Khalid Abu Bakar berhubung nasib yang terjadi ke atas dirinya kini.
"Dengan nama Allah saya tidak akan berkompromi dengan prinsip berani kerana benar dan akan bekerja dengan penuh amanah dan tanggungjawab. Saya akan terus membuka mulut.
"(Ia) bukan untuk diri saya. Saya berdepan dengan risiko berat kerana tiada siapa yang berani untuk berbuat demikian.
"Jangan salahkan dia (Khalid) dengan pemindahan saya ini. Dia cuma tanda tangan sahaja," katanya.
Ditanya sama ada beliau tidak bimbang jika dikenakan tindakan ekoran pendedahan yang dibuatnya hari ini, Abdul Hamid menegaskan sekali lagi bahawa beliau tidak gentar walaupun berdepan dengan tindakan tatatertib.
"Saya berdepan dengan risiko tatatertib sebagai penjawat awam. Tindakan tatatertib dan hukuman mungkin dibuang kerja dan hilang pencen.
"Mungkin kalau kuasa-kuasa itu bertimbang rasa dan masih berkuasa, mereka mungkin akan ringankan sikit hukuman," katanya lagi.
Sementara itu, Abdul Hamid turut menyeru kepada pihak yang mengawal media supaya tidak menghalang maklumat daripada terus disampaikan kepada perdana menteri
"Saya seru kepada pihak yang kawal media bagi pihak perdana menteri supaya jangan menghalang maklumat kepada perdana menteri. Mungkin sebab itu perdana menteri tak dapat maklumat," katanya tanpa mengulas lanjut mengenai perkara itu. - Malaysia Kini/23/8/15
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.