Kes Tembak AMINULRASHID: Mudahnya Tindakan yang Diambil...Pang, Pang, Pang?
Sampai ke pejabat, saya membaca laporan kes yang sama di Utusan Malaysia: (Sila perhatikan ayat yang dimerahkan ketika membaca beberapa siri laporan berita tentang kes ini.)
Remaja maut ditembak ketika cuba rempuh polis
SHAH ALAM 26 April - Seorang remaja lelaki, Aminulrashid Amzah (gambar) berusia 15 tahun yang disyaki penjenayah mati ditembak setelah cuba merempuh anggota polis peronda ketika mahu memberkasnya di kawasan perumahan Jalan 11/2G, Seksyen 11, di sini awal pagi ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi, remaja terbabit yang memandu kereta Proton Iswara, mati akibat terkena tembakan sementara rakannya berjaya melarikan diri.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar berkata, sebelum kejadian, dua anggota polis peronda terserempak dengan kedua-dua suspek dalam keadaan mencurigakan.
Beliau berkata, kedua- duanya kemudian diarahkan anggota polis supaya memberhentikan kereta namun mereka enggan, sebaliknya memecut laju.
Katanya, ekoran itu, dua anggota polis terbabit bertindak mengejar mereka dengan bantuan sebuah lagi kereta peronda yang dinaiki dua anggota.
"Sejurus tiba di tempat kejadian, anggota polis itu telah melepaskan tembakan ke arah tayar kereta remaja tersebut bagi memaksa mereka berhenti. Kereta itu kemudian terbabas ke bahu jalan.
"Selepas terbabas, rakan remaja itu membuka pintu kereta lalu melarikan diri dan dikejar dua anggota polis peronda," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.
Khalid berkata, dua lagi anggota polis peronda kemudian memeriksa keadaan remaja itu tetapi terkejut apabila suspek tiba- tiba mengundurkan kereta dan cuba merempuh anggota polis berkenaan.
"Terkejut dengan tindakan suspek untuk mempertahankan diri, anggota polis berkenaan melepaskan tembakan ke arah suspek di dalam kereta," katanya.
Bandingkan pula dengan laporan Harian Metro:
'Adik Bukan Penjenayah'
KLANG: “Saya tak tahu bila adik tahu bawa (memandu) kereta. Walau apa pun saya tak puas hati dengan apa yang berlaku,” kata Nor Azura Amzah, 39, kakak sulung kepada Aminulrasyid, 15, yang mati terkena tembakan ketika cuba melarikan diri daripada polis di Seksyen 11 di sini, awal pagi semalam.
Nor Azura berkata, adik bongsu daripada lapan beradik itu bukan seorang penjenayah sehingga perlu ditembak mati.
“Adik saya bukan penjenayah. Mungkin dia panik dan tak tahu apa nak buat selepas lihat rakannya lari menyebabkan dia bertindak sedemikian.
“Walaupun sukar menerima kejadian ini, ia sudah berlaku dan saya pasrah,” katanya ketika ditemui di perkarangan rumah mayat, Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) di sini, semalam.
Aminulrasyid mati di tempat kejadian selepas terkena sedas tembakan di belakang kepalanya...
Harakah Daily:
Bunuh juvana: Khalid minta polis lindungi saksi
SHAH ALAM, 27 April: Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Samad meminta polis supaya melindungi dua saksi utama kes bunuh juvana, Aminul Rashid Hamzah, 15, yang membabitkan empat pegawai polis, pagi semalam.
"Salah seorang saksi utama adalah anak polis sendiri, saya harap pihak polis beri jaminan dia ini dilindungi," jelas beliau di Pusat Khidmat Masyarakat di Parlimen Shah Alam, di sini pagi tadi.
Beliau turut meminta polis supaya tidak melakukan sebarang inisiatif untuk mengubah laporan kedua-dua saksi terbabit supaya selari dengan dakwaan polis sebelum ini iaitu mangsa ditembak kerana suspek kumpulan samun bersenjata.
"Jangan ada usaha-usaha nak mempengaruhi saksi ini supaya ubah atau mereka-reka cerita (supaya) sealiran dengan polis," jelas beliau sambil memberitahu media bahawa beliau sendiri bertanggungjawab membawa saksi utama terbabit pergi membuat laporan polis.
"Dengan laporan yang dibuat (oleh saksi utama) semalam, memadai dan jauh lebih benar berbanding kenyataan pihak polis di beberapa media."
Dalam pada itu, beliau mempertikai tindakan polis menembak Aminul Rashid di kepala dari belakang sedangkan kereta yang mereka naiki tersebut tidak dapat dipandu dengan laju akibat tayar bocor.
Disebabkan itu, beliau mempersoal tindakan polis memukul salah seorang juvana terbabit, sebelum juvana tersebut melepaskan diri.
Beliau turut mempersoal pertimbangan polis menembak juvana yang terbabit sedangkan mereka masing-masing tidak bersenjata.
"Polis hanya boleh menembak apabila nyawa mereka sendiri terancam atau apabila nyawa orang awam terancam (sedangkan) di dalam kereta tidak ada walau sebilah senjata seperti yang didakwa polis sebelum ini," ujarnya.
Bercakap pada sidang media yang sama, Yaakub Sapari, Exco Kerajaan Selangor yang juga Adun Kota Anggerik turut menyuarakan rasa kecewa dengan insiden yang membabitkan rakyat di Dun beliau.
Dengan berlakunya peristiwa tersebut, seakan mengulangi insiden tembak rambang yang membabitkan seorang ibu tunggal, Norizan Salleh, Oktober tahun lalu.
Manakala, Monaliza Mokhtar Biro Hal Ehwal Murid PIBG Sekolah Menengah Seksyen 7 pula menganggap beberapa media yang menganggap juvana terbabit sebagai suspek kumpulan samun sebagai suatu fitnah.
Beliau turut menjelaskan bahawa keluarga mangsa serta dua saksi utama sedang membuat pertimbangan akhir untuk mengambil tindakan kepada pihak berwajib yang terbabit memutar belit bukti sebenar berhubung juvana terbabit.
Beberapa media arus perdana sejak semalam melaporkan bahawa juvana terbabit sebagai suspek ahli kumpulan samun.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar dalam satu kenyataan, dilaporkan tidak menolak kemungkinan bahawa mereka yang terbabit terlibat dalam kegiatan menyamun.
Tuntas dari tembakan di kepala yang membabitkan juvana dari Sekolah Menengah Seksyen 7, di sini tersebut, implisitnya mencalar kredibiliti Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memelihara keselamatan rakyat dan negara.
Jika dibandingkan laporan awal yang dikeluarkan oleh Utusan dengan laporan susulan oleh media lain memang anda akan dapat mengesan pelbagai pencanggahan yang begitu jelas sekali. Kenyataan awal polis kepada pihak media amat-amat meragukan. Kata mereka, ada PARANG di dalam kereta itu, sedangkan hal itu disanggah oleh Khalid Samad yang turut membawa rakan arwah yang berada di dalam kereta itu membuat laporan polis. Malah, budak itu mendakwa turut dibelasah oleh pihak polis sebelum berjaya melarikan diri ke rumah.
Banyak sangat perkara yang meragukan berdasarkan kenyataan awal yang dikeluarkan oleh pihak polis. Hal itu mencetuskan persoalan: Adakah perbuatan "cover up" seperti yang kita tonton dalam filem Barat dipraktikkan di sini? Sebelum ini kita sering membaca berita tentang suspek jenayah yang ditembak mati oleh polis, benarkah begitu realitinya? Bukan mahu menuduh, adakah tindakan pang..pang...pang begitu mudah diambil sedangkan banyak prosedur yang perlu diambil sebelum sebarang tembakan dilepaskan?
Saya berkongsi pendapat dengan orang lain bahawa arwah mungkin panik kerana tidak memiliki lesen memandu. Oleh sebab takut, dia memecut kereta dengan laju untuk pulang ke rumahnya. Itu hanyalah andaian. Biar apa-apapun, 1Malaysia mengharapkan siasatan telus dibuat untuk menyelesaikan kes ini.
Kemas Kini:
'Jangan lapor yang bukan-bukan', rayu ibu Aminulrasyid
[MK] Ibu kepada pelajar berusia 15 tahun, Aminulrasyid Amzah, yang mati ditembak polis awal pagi semalam, meminta polis menyiasat kes kematian anaknya dengan telus bagi "mencari keadilan".
Norsiah Mohamad, 60, seorang ibu tunggal, juga mendakwa anaknya itu tidak terlibat dalam aktiviti jenayah, seperti dilaporkan media.
"Saya tau anak saya, dia bukan seperti yang disebarkan dalam akhbar. Saya tau siapa anak saya," katanya dalam sidang media di rumahnya di Shah Alam hari ini.
Dalam sidang media itu, Norsiah ditemani oleh anak perempuannya, Norazura Amzah dan menantunya, Kamarudin Hassan.
Aminulrasyid merupakan anak bungsu daripada lapan adik beradik.
Beliau berharap media tidak melaporkan "yang bukan-bukan" kerana "saya sebagai ibu tak sanggup nak baca."
Ditanya sama ada pihaknya akan menyaman polis, Norsiah berkata, perkara itu akan dibincangkan bersama anggota keluarganya yang lain.
Ibunya kelihatan sedih dan bergenang air mata ketika mengulas perkara itu.
Dpd: Azri (Brunei)
Comment by Tanpa Nama @ Khamis, Februari 17, 2011 4:38:00 PTGSaya sungguh tak sangka begitu sekali penipuan yang akan dilakukan oleh PDRM terhadap mangsa.
saya dpt bayangkan kalau sekiranya anak2 PDRM ni sndiri yang terbabas dan ditembak.
Saya tersentuh untuk memberikan komen.
Semoga sipenipu dan sipelaku mendapat hukuman khisas.
bagaimana mungkin Penjenayah berbahaya apabila hanya 2 org anak muda dlm kereta tu?
Walau sejahat mana seorang manusia, ade ruang untum berubah.. klau betul arwah bersalah, knp x ditembak bhgan lain... mereka hanya akan merasa tindakan yg diambil adlh salah hanya jika ianya berlaku kpd keluarga sendiri... subhanallah... mudahnya memjatuhkan hukuman...
Comment by Tanpa Nama @ Rabu, April 17, 2013 8:04:00 PTGJgn mudah menjatuhkan hukuman tanpa pengadilan.... dimana nilai kemanusiaan pd masyarakat kini... subhanallah.....
Comment by Tanpa Nama @ Rabu, April 17, 2013 8:28:00 PTG