Mangsa Ilmu Hitam?
Saya petik:
Halimaton batal hasrat kahwin
[BH] ALOR SETAR: Pelajar pintar, Halimaton Abd Rashid, 15, yang kini dalam perlindungan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) untuk kaunseling, membatalkan hasratnya untuk berkahwin sebaliknya mahu menyambung semula persekolahan dan menumpukan pada persiapan untuk menduduki peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR), hujung tahun ini. Halimaton, yang dilaporkan hilang dari rumah kakaknya di Bandar Puteri Jaya, Sungai Petani, sejak 22 Mac lalu, kerana ingin berkahwin dengan teman lelaki yang melarikannya, kini mahu kembali ke sekolah dan mengikuti pelajaran seperti biasa.
Dia yang dibawa pulang oleh keluarganya dengan bantuan kakitangan JKM dan polis Jumaat lalu, dikatakan merindui alam persekolahan, termasuk rakan dan gurunya di Sekolah Menengah Kebangsaan Parit Panjang.
Sumber yang rapat dengan keluarga gadis terbabit memberitahu, Halimaton yang sudah kembali ke pangkuan keluarganya kini beransur pulih dan dia semakin tenang selepas mendapat rawatan tradisional dan menjalani sesi kaunseling yang diberi oleh JKM.
"Ketika pertemuan pertama selepas menghilangkan diri, Halimaton sering menangis dan meminta maaf kepada keluarga terutama ibunya. Dia menyesal kerana melakukan kesilapan sebelum ini selain mendakwa segala yang berlaku sebelum ini tanpa disedarinya.
“Dia juga amat merindui rakan dan guru di sekolahnya selain ingin kembali bertemu dengan anak jiran yang mengikuti kelas Matematik yang dikendalikan Halimaton sendiri sebelum ini,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, di sini, semalam.
Katanya, Halimaton juga terkejut dengan laporan akhbar mengenai kisah dia ingin berkahwin dengan teman lelakinya, Mohamad Noor Abdullah, 19, dan ternyata dia amat sedih kerana semua itu berlaku tanpa disedarinya.
“Dia sebenarnya amat terkejut kerana bagi Halimaton, itu bukan dirinya yang sebenar,” katanya.
Difahamkan JKM Kedah juga akan membantu membawa Halimaton kembali untuk melanjutkan pelajarannya dengan kemungkinan dia ditukar ke sekolah lain demi masa depannya.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Hashim Ali ketika dihubungi berkata, tempoh reman teman lelaki pelajar pintar itu tamat hari ini.
Difahamkan, penyelia restoran di Langkawi itu yang ditahan polis sejak Jumaat lalu bagi membantu siasatan kerana menyebabkan kehilangan Halimaton serta menyimpan kad pengenalan gadis berkenaan.
Semalam, akhbar ini melaporkan Mohamad Noor ditahan polis pada Jumaat lalu. Dia ditahan di rumahnya oleh sepasukan polis dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi sebelum dihantar ke IPD Kuala Muda. - Nahar Tajri
Saya tidak ikut sangat cerita budak Halimaton yang diberitakan terlalu kemaruk hendak berkahwin sehingga perihal diri dan keluarganya menjadi bualan 1Malaysia. Beberapa pihak telah campur tangan untuk menyelesaikan kemelut tersebut. Tidak kering air mata si ibu menangis mengenangkan tekad anak gadis suntinya yang mahu segera bernikah!
Saya kira tekad dan kedegilan budak perempuan itu hanyalah tekad dan kedegilan budak perempuan yang sudah "mengelenyor" hendak hidup berpasang-pasangan seperti orang dewasa yang lain walaupun hasratnya itu "melukakan" hati ibu bapanya sendiri. Hatinya sudah tertutup, manakala otaknya sudah tidak mahu memikirkan nasib dirinya pada masa hadapan atau hasrat ibu yang mahu melihat dirinya berjaya. Yang difikirnya, hanyalah mahu segera bernikah dengan teruna pujaan. Dalam hati saya hanya terlintas: "menyesal dahulu pendapatan dik, menyesal kemudian tiada gunanya".
Namun, laporan akhbar di atas mengubah persepsi asal saya terhadap budak tadi. Berita di atas membayangkan bahawa budak perempuan ini berkemungkinan menjadi mangsa ilmu hitam, mungkin ilmu pengasih atau yang seumpama dengannya. Namun, harus difikirkan juga bahawa "takkan berbunyi jika bertepuk sebelah tangan" dan "kalau tiada angin masakan pokok akan bergoyang".
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.