Anda telah Mencuba, Kartika!
Anda telah mencuba untuk mematuhi hukuman yang telah dijatuhkan oleh hakim selaras dengan hukuman syariah di negara ini. Anda bertekad untuk menerima hukuman itu, namun tidak kesampaian apabila hukuman itu "diringankan" oleh Sultan Pahang. Semoga kesungguhan anda untuk menerima hukuman rotan itu mencetuskan keinsafan dan menerima KEAMPUNAN daripada Allah SWT bukannya atas ihsan manusia.
Lanjut:
Sultan Pahang Ringankan Hukuman Kartika Atas Sebab Perikemanusiaan - Tengku Abdullah
KUANTAN, 1 April (Bernama) -- Sultan Pahang berkenan meringankan hukuman terhadap bekas model sambilan, Kartika Sari Dewi Shukarno, daripada hukuman sebat kepada melakukan khidmat masyarakat, atas sebab-sebab perikemanusiaan, titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah.
"Itu adalah keputusan atas budi bicara Tuanku Sultan, hak mutlak Tuanku Sultan dan Tuanku Sultan juga membuat keputusan itu atas sebab-sebab perikemanusiaan.
"Dia (Kartika Sari Dewi) bukan diampunkan daripada kesalahan itu, tapi hukuman itu diringankan, ini adalah ihsan Tuanku Sultan," titah baginda kepada pemberita ketika ditemui pemberita selepas menyaksikan perlawanan Hoki Piala Tun Razak antara Pahang dan Selangor, di sini, pada Khamis.
Kartika Sari Dewi, 33, dijatuhi hukuman enam sebatan dan denda RM5,000 pada Julai tahun lalu selepas didapati bersalah minum arak di khalayak ramai di sebuah resort di Cherating, Pahang.
Pada 24 Ogos, 2009, dia sepatutnya dibawa ke Penjara Kajang selama seminggu bagi menjalani hukuman sebatan yang dijatuhkan itu sebelum ia dibatalkan pada saat-saat akhir.
Pada 3 Mac lepas, Kartika Sari Dewi turut mengadakan pertemuan dengan Tengku Abdullah yang juga Yang Dipertua Majlis Ugama Islam dan Adat Resam Pahang (MUIP) berhubung pelaksanaan
hukuman sebat itu.
Mengikut Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Pahang 2002, Sultan Pahang mempunyai kuasa mutlak untuk memberi pengampunan kepada Kartika Sari Dewi.
-- BERNAMA
Berkaitan 1:
Ulasan dan pandangan Ustazzzzzzzzz Zul 4 Bebas:
"...Mungkin pihak berkuasa perlu menimbang untuk menyemak semula hukuman rotan yang dikenakan kepada Kartika. Saya melihat beliau telah benar-benar menunjukkan keinsafan dan keikhlasan dalam kes ini. Malahan ibubapa dan keluarga beliau juga menunjukkan sikap yang sama. Saya sangat berbangga dengan sikap yang ditunjukkan oleh ibubapa Kartika. Ini satu sikap terpuji yang jarang nak dijumpai lagi hari ini.
Mungkin kita perlu menunjukkan ehsan kita. Ini tidak bermakna kita tidak melaksanakan hukuman rotan itu. Tetapi suasana dan keadaan dah berubah terlalu banyak akibat kelemahan dan kesilapan pihak berkuasa sendiri.. Bukan Kartika enggan dihukum, tetapi dengan takdir ALLAH suasana sudah berubah. Mungkin para ulama' dan ilmuan Islam, mungkin para Jawatankuasa Fatwa yang begitu ghairah nak berfatwa boleh duduk segera bermuzakarah untuk menimbang samada hukuman rotan tersebut boleh disemak semula atau tidak demi
memperlihatkan sistem keadilan dan kasih sayang Islam, wallahua'lam".*
Jadi saya ucapkan tahniah atas titah Tuanku Sultan Pahang hari ini Khamis 27 Rabi'ul Akhir 1431/ 01.04.2010 yang telah menukar dan menjatuhkan hukuman "tugasan komuniti selama 3 minggu" keatas Kartika Sari Dewi Shukarno yang telah dijatuhkan hukuman
denda dan rotan 6 kali atas kesalahan minuman arak.
Perlu ditegaskan bahawa ini bukan bermakna kita menolak hukuman rotan dilaksanakan terhadap Kartika. Hukuman telahpun dijatuhkan. Malahan saya berpendapat sepatutnya hukuman yang mematuhi syara' hendaklah digubal. Namun menjatuhkan hukuman dan perlaksanaan hukuman adalah dua perkara yang berbeza. Saya difahamkan Saidina 'Umar sendiri, semasa umat sedang berhadapan dengan kemelut kemarau dan lain-lain, telah menggantung perlaksanaan hukuman hudud bagi kes-kes curi dan lain-lain.
Malahan saya difahamkan Rasulullah sendiri telah beberapa kali dalam sirah Nabawi menunjukkan keadilan Islam, walaupun kesalahan nyata dilakukan. Dalam satu kes, seorang sahabat yang sudah mengaku melakukan pembunuhan pun Rasulullah lebih suka dia dimaafkan daripada dilaksanakan hukum qisas, hukum balas. Ini bukan kerana Rasulullah tidak mahu hukuman qisas dilaksanakan. Tetapi bagi kes khusus itu, Baginda merasakan lebih baik beliau dimaafkan.
Jadi didalam kes Kartika, hukuman telah dijatuhkan. Tetapi dalam hal perlaksanaan, sepatutnya hukuman dijalankan segera. Tetapi ALLAH lebih Maha Mengetahui dan lebih Maha Bijaksana. Apa perancangan ALLAH kita tidak tahu. Tetapi kelengahan perlaksanaan hukuman itu nampak mempunyai hikmahnya.
Dalam keadaan ruang masa kelengahan perlaksanaan itu, beberapa perkara telah berlaku iaitu:
1. Kartika telah menunjukkan kesungguhan mahu hukuman dilaksanakan dan tidak menunjukkan beliau mempermainkan hukum;
2. Kartika menunjukkan sikap penyesalan dan rasa bersalah yang jelas terhadap kesilapan beliau;
3. Kartika dan suaminya menghadapi tekanan yang begitu hebat sehingga berlaku perceraian dan menyebabkan anak-anak mereka kehilangan bapa; adik beradik bercerai sesama sendiri;
Dalam keadaan itu, meneruskan perlaksanaan hukuman terhadap Kartika sudah tidak membawa menafaat kepada samada dirinya mahupun syiar Islam. Sebaliknya tindakan Sultan Pahang telah menunjukkan satu ciri keadilan Islam yang akan membawa menafaat lebih besar untuk Islam. Bahawa Islam bukanlah agama yang hanya tahu menghukum sahaja, sebaliknya risalah Islam adalah untuk membawa keadilan dan kesejahteraan...
Semoga berita ini tidak akan mempengaruhi orang lain untuk minum minuman yang dilarang keras dalam Islam. Arak itu ibu segala kejahatan. Jauhinya! Semoga kita juga tidak tergolong dalam golongan yang mempertikaikan hukum Allah, melabelkan hudud itu tidak berperikemanusiaan, mengatakan hukum Islam itu melanggar hak asasi manusia, dan kata-kata lain yang seumpama dengannya. Allah mencipta kita, Allah Maha Mengetahui hukuman yang terbaik untuk menyedarkan/mengajar kita.
Bagi yang bersorak gembira (antaranya), renung-renunglah diri sebelum berbuat demikian!
"Hai orang-orang yang beriman, sesungguhnya (meminum) khamar, berjudi, (berkorban untuk) berhala, mengundi nasib dengan panah, adalah termasuk perbuatan syaitan. Maka jauhilah perbuatan-perbuatan itu agar kamu mendapat keberuntungan."(Al-Maidah:90)
Berkaitan 2:
* Kartika masih rela jalani hukuman sebat
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.