[TMI] KUALA LUMPUR, 8 April — Asiasoft, syarikat didaftarkan di Singapura dan berpangkalan di Tel Aviv, tidak lagi dibenarkan memasuki ibu pejabat Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran, kata Ketua Polis Negara Tan Sri Musa Hassan hari ini.
Menurut beliau, siasatan berhubung dakwaan itu telah dijalankan dan pihaknya tidak lagi membenarkan syarikat tersebut memasuki PDRM bagi menjalankan kerja-kerja pengkomputeran.
“Dah lama kita siasat... bila isu ini timbul balik dan didedahkan di Parlimen kita siasat lagi, malah kita juga telah menyekat kemasukan syarikat tersebut,” katanya.
Difahamkan siasatan berhubung isu tersebut pernah dijalankan polis selepas menerima laporan polis yang dibuat pada 14 Julai 2008 oleh seorang wartawan bebas Johari Ismail.
Kelmarin, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim mendakwa kononnya terdapat perisik Israel di Bukit Aman.
Anwar dalam perbahasan di Dewan Rakyat berkata, beliau mempunyai dokumen bahawa perisik Israel mempunyai akses kepada maklumat strategik negara melalui Asiasoft (M) Sdn Bhd, yang merupakan subkontraktor bagi projek menaik taraf sistem komunikasi dan teknologi PDRM.
Beliau mendakwa kehadiran dua bekas pegawai tentera Israel dalam syarikat itu disedari oleh pegawai tertinggi PDRM dan juga Menteri Dalam Negeri ketika itu Datuk Seri Syed Hamid Albar.
Menurutnya Syed Hamid telah diberi taklimat berhubung perkara itu pada 23 Nov 2008 di bilik VIP Lapangan Terbang Antarabangsa KL.
Dalam penjelasannya kepada Bernama hari ini, Musa mengingatkan semua ahli politik supaya tidak mempolitikkan isu keselamatan negara untuk menarik perhatian rakyat.
Beliau berkata, isu berkaitan keselamatan negara bukan satu isu yang boleh dipolitikkan untuk meraih sokongan rakyat kerana ia merupakan satu isu sensitif yang boleh mengancam kesejahteraan negara.
“Sebagai ahli politik sepatutnya mereka boleh bezakan yang mana isu boleh cakap dan yang mana tak boleh kerana ini melibatkan soal keselamatan negara.
“Sudah banyak kali kita ingatkan mereka dan sepatutnya mereka faham,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Sementara itu, Johari dalam satu sidang media berkata pendedahan Anwar di Parlimen bertujuan menarik perhatian rakyat dengan cuba mempolitikkan isu keselamatan negara.
“Ini soal keselamatan negara jadi jangan politikkan isu ini kerana ia boleh menggugat kesejahteraan negara. Dia (Anwar) sanggup mengeluarkan isu lama untuk kepentingan peribadi tanpa memikirkan kesannya kepada negara,” katanya.
Beliau mendakwa isu tersebut pernah dikeluarkan oleh pengendali blog MalaysiaToday Raja Petra Kamaruddin dalam blognya pada tahun 2008 tetapi tidak mendapat perhatian umum.
Sementara itu di lobi Parlimen, Anwar berkata polis perlu meneruskan siasatan berhubung dakwaannya itu dan beliau sedia bekerjasama membantu siasatan.
terantuk baru nak tergadah ke TanSri
Comment by Tanpa Nama @ Jumaat, April 09, 2010 8:23:00 PGberterimakasih lah pada yang mendedahkan tu, kenapa pula nak dimarah2kan... macam2lah manusia ni hu alaa...
Comment by arizWanmerahs @ Jumaat, April 09, 2010 8:58:00 PGSebelum ini beria -ia menafikan hal tersebut dan meminta didatangkan bukti..hari ini baru nak mengaku...
Comment by exwostorian @ Jumaat, April 09, 2010 9:08:00 PGpelik sungguh si anwar tue..semua nyer nak ungkit. tapi bila org ungkit pasal dia tahu lak nak marah..
Comment by ..:: k i n a k O y u @ m a m a ' a D a m ' ::.. @ Jumaat, April 09, 2010 11:36:00 PGdah lama x nampak muka anwar bersih dan suci...