Rakan Kongsi Sosilawati Nyaris Menjadi Mangsa Ke-5 dan Dedah Kemungkinan Motif Pembunuhan
Inilah ahli perniagaan yang dimaksudkan oleh Mazidul dalam kiriman yang saya salin dan tampal semalam.
Dalam laporan akhbar di bawah ini, ahli perniagaan dan juga ahli politik itu mengatakan bahawa dirinya mungkin senasib dengan Sosilawati dan 3 yang lain jika tidak kerana menyambut Aidilfitri di kampung.
Dalam laporan di bawah ini juga didedahkan latar belakang urusan antara mangsa dengan suspek yang mungkin menjadi motif pembunuhan kejam itu. Saya petik:
[HM] KUALA LUMPUR: “Jika tidak kerana saya sudah berada di kampung kerana mahu menyambut Aidilfitri, mungkin saya juga senasib dengan Datuk Sosilawati dan tiga lagi rakan,” kata seorang rakan kongsi jutawan kosmetik itu dalam pembelian sebidang tanah seluas 30 ekar (12 hektar) di Batu Feringgih, Pulau Pinang pada Mac 2008.
Usahawan yang juga ahli politik bergelar Datuk itu berkata, suspek utama kes pembunuhan itu yang juga seorang peguam menghubunginya pada 9 September lalu dan memintanya datang ke pejabat bagi mendapatkan wang bayaran penjualan tanah berkenaan.
“Suspek minta saya datang tapi pada hari berkenaan saya tiada di Banting kerana berada kampung di Johor untuk menyambut Aidilfitri keesokannya. Ini menyebabkan dia menyuruh saya datang pada 13 September pula,” katanya ketika ditemui kelmarin.
Katanya, dia membatalkan niat untuk ke pejabat guaman suspek selepas media melaporkan Sosilawati ditemui mati dipercayai dibunuh peguam terbabit yang juga rakan kongsi pembelian tanah berkenaan.
“Saya, Sosilawati dan peguam itu sebelum ini kenalan rapat sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Sebelum itu, katanya, dia menghubungi suspek bertanyakan mengenai Sosilawati yang dilaporkan hilang sejak 30 Ogos lalu, namun peguam terbabit menyatakan tiada apa yang perlu dirisaukan dan dia hanya perlu hadir ke pejabatnya mendapatkan wang keuntungan penjualan tanah berkenaan seperti dijanjikan.
“Dalam perbualan melalui telefon itu, dia juga mengaku sudah dua kali memberi keterangan kepada polis dan memaklumkan tiada apa yang perlu dirisaukan. Beberapa hari kemudian, saya mendapat tahu dia ditahan polis,” katanya.
Menceritakan mengenai urus niaga tanah itu, Datuk berkenaan mendakwa berkata, peguam terbabit memujuknya melabur bagi membeli sebidang tanah seluas 12 hektar di Batu Feringgi milik seorang warga tempatan pada harga RM25 juta dan perlu membayar deposit RM2.5 juta.
“Saya bagaimanapun beritahu tiada wang sebanyak itu. Dia memberi idea supaya saya berkongsi dengannya, Sosilawati dan seorang lagi rakan bagi membayar wang pendahuluan berkenaan,” katanya.
Katanya, dia dan Sosilawati serta seorang lagi rakan bersetuju membeli tanah berkenaan selepas dipujuk suspek kerana dijanjikan tanah berkenaan memberikan pulangan lumayan kepada kami. “Pembelian tanah melalui syarikat Sosilawati itu diuruskan suspek yang mengambil masa enam bulan sebelum berjaya dijual kepada satu syarikat dengan harga RM29 juta,” katanya.
Katanya, semua nampak lancar apabila suspek menunjukkan dokumen perjanjian jual beli dan ketika itu tiada yang meragukan.
“Dia membayar kembali modal RM2.5 juta kepada kami dalam tempoh enam bulan selepas menerima bayaran deposit RM2.9 juta daripada syarikat yang membeli tanah berkenaan. Bagaimanapun, kami gagal memperoleh bayaran keuntungan RM4 juta seperti yang dijanjikan walaupun sudah dua tahun berlalu.
“Dalam tempoh itu, saya sering menghubunginya bertanyakan perkara berkenaan dan kadangkala marah dengan jawapan suspek kononnya ada masalah dalam pertukaran hak milik,” katanya.
Selepas dua tahun, dia dihubungi suspek menyatakan wang keuntungan berkenaan sudah diperoleh dan perlu hadir ke pejabatnya bagi mendapatkannya. Namun, takdir menyebelahinya apabila dia mendapat maklumat pada 12 September bahawa peguam itu ditangkap polis berhubung kes bunuh dan bakar Sosilawati dan tiga rakannya.
“Kemungkinan Sosilawati juga disuruh datang ke pejabat suspek bagi mendapatkan wang keuntungan berjumlah RM4 juta itu, namun kedatangannya dan tiga yang lain seolah-olah menempah ajal.
“Jika saya tidak menyedari kes pembunuhan itu, saya mungkin turut menerima nasib sama. Malah, saya diberitahu pihak berkuasa bahawa suspek dipercayai mengaku sudah merancang bagi membunuh saya dan rakan pada hari itu,” katanya....
Leave a comment
Sila lontarkan pandangan anda sama ada melalui komen di blog atau di laman Facebook.
Berikanlah pandangan yang bertanggungjawab,tidak berunsur fitnah, tanpa menggunakan kata-kata lucah & kesat melampau (dilepaskan jika sesuai), dan semolek-moleknya biarlah berkaitan dengan isi artikel.
Kepada "Anynomous", sila letakkan nama pena anda. Jangan berani bersuara, tetapi takut memperkenalkan diri!
PERHATIAN:
Komen yang disiarkan di blog atau di laman Facebook tidak semestinya menggambarkan pandangan atau pendirian Duniacacamarba (DCM).
Blog ini TIDAK BERTANGGUNGJAWAB terhadap setiap pandangan atau pendapat yang diutarakan melalui laman sosial FACEBOOK atau yang terlepas siar di RUANG KOMEN blog. Komen itu adalah pandangan peribadi pemilik akaun.
Terima kasih.